( petikan...)
Dalam solat seharian, kita diwajibkan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat. Malah, menurut jumhur ulamak melalui sesetengah hadis, mereka menfatwakan bahawa tak sah solat itu jika tidak disertai oleh al-Fatihah. Bahawa, dalam surah al-Fatihah itu sendiri terkandung suatu doa yang sangat agung. Iaitu "Tunjukilah kami ke jalan yang lurus." (al-Fatihah:6)
Maka sebab itulah sebelum Rasulullah s.a.w wafat, diriwayatkan tidak lekang bibirnya itu daripada menyebut 'umatku' dan 'as-Solat'. Menurut hemat saya, solat itulah yang terawal diperintah ke atas Nabi Musa a.s ketika baginda bertemu dengan Tuhan di puncak sebuah bukit tatkala mahu mengambil percikan api di atas bukit tersebut.
"Dan, dirikanlah solat untuk mengingatiKu!" demikianlah firman Tuhan kepada Musa a.s tatkala baginda berdiri di atas Bukit Thursina.
Oleh kerana Musa menerima perintah solat di tempat yang tinggi seperti bukit maka pada masa Nabi Muhammad pula, Allah mengangkatnya ke tempat tertinggi tatkala menerima perintah solat, iaitu baginda menerimanya di langit tertinggi dalam kes Isra' Mikraj.
Tidak cukup dengan itu, Allah s.w.t mempertemukan semula Nabi Musa dengan nabi kita untuk berunding mengenai satu perkara berhubung solat ke atas umat Muhammad.
"Mintalah dari Allah, pengurangan solat itu wahai saudaraku Muhammad. Sesungguhnya umatku sendiri terbeban dengan sebab solat," demikian wasiat Musa terhadap saudaranya yang tercinta, Muhammad s.a.w.
Sebagai seorang yang selalu kasih akan umatnya, baginda akur dengan pesan saudaranya di alam roh itu. Lalu baginda naik semula dan turun semula bertemu Musa untuk beritahu akan jumlah pengurangan itu. Musa berkeras dengan katanya:
"Minta dikurangi lagi.. masih besar bebanan solat itu," demikian Musa mendesak.
Turun naik Rasulullah s.a.w itu akhirnya menjadikan bilangan solat yang diwajibkan tadi cuma tinggal lima waktu, seperti yang ada pada zaman kita ini. Allah mengurangkan nilai rakaat dan waktu. "Cukup-cukuplah wahai saudaraku Musa. Aku khuatir.. setiap kali naik, Allah kurangkan kepada 5. Jadi, sekarang tinggal 5. Kalau naik kali ini, jangan-jangan sudah tiada apa-apa yang tinggal untuk umatku," demikian hujah baginda. Musa pun akur.
Maka, solat ke atas umat Nabi Muhammad s.a.w ini sangat istimewa sifatnya. Ini kerana, baginda Rasulullah s.a.w dijemput naik ke langit untuk menerima perintah solat. Hal ini tidak seperti rasul-rasul yang terdahulu.
Solat umat Muhammad s.a.w, dibahas Musa a.sKedua, tidak seperti nabi-nabi lain, wasiat terakhir sebelum baginda wafat ialah umatku dan solat. Kisah pesanan terakhir ini tidaklah termasyhur dalam kalangan rasul terdahulu. Cuma ia termasyhur dalam kisah perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w sahaja.
Ketiganya, solat ke atas umat baginda ini telah dikupas, dibahas serta didebatkan seorang nabi dan rasul yang sangat terkenal kisah perjuangannya di dalam al-Qur'an. Kepada nabi Musa, kita patut berterima kasih, kerana dengan sebab pesannya, maka kita mendapatkan keringanan yang sangat besar. Tidak terbeban rasanya menjalani kehidupan ini.
Solat ke atas umat-umat terdahulu, tiada 'campurtangan' oleh nabi-nabi sebelumnya. Dan, saat mendapat perintah solat itu, Rasulullah s.a.w menerima penghormatan menjadi imam solat di mana makmum baginda adalah sekalian nabi yang terdahulu daripadanya.
Semua ini menyebabkan solat umat Nabi Muhammad terpandang sebagai istimewa. Dan, kerana wujudnya 'campurtangan' Musa a.s ke atas tatacara solat terhadap umat Rasulullah s.a.w inilah, maka kita patut berasa berbangga kerana Nabi Musa mengiktiraf, menyetujui tatacara solat umat Nabi Muhammad ini.
Sekali gus, kisah Isra' Mikraj ini adalah suatu tamparan hebat ke atas dakwaan Yahudi ini bahawa solat umat Islam meniru-niru solat umat Yahudi. Malah kaum Yahudi perlu sedar bahawa junjungan mereka sendiri, Nabi Musa telah mengiktiraf solat umat Muhammad di dalam peristiwa bersejarah itu. Jadi, kenapa tidak diikutkan saja tatacara solat kita?
Bani Israel diminta bersolat bersama umat Islam"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama mereka yang rukuk." (al-Baqarah: 43)
Ada riwayat menyebut bahawa dalam solat umat Yahudi tiada rukun yang bernama rukuk dan sebab itulah di dalam ayat di atas, Allah s.w.t memerintahkan Bani Israel untuk terus bersama-sama umat Muhammad, meneruskan solat sebagaimana solat yang telah diiktiraf oleh junjungan besar mereka, Nabi Musa a.s sendiri, iaitu solat yang ada rukuk.
Maka, Tuhan berpesan kepada Bani Israel, rukuklah bersama orang yang rukuk. Sebab, di dalam solat Bani Israel, tiada rukun yang bernama rukuk. Wallahu'alam..
Dalam sebuah paparan klip video yang tersebar luas di internet YouTube ada ditunjukkan mengenai betapa solat umat Islam itu sendiri telah meniru-niru tatacara solat Yahudi. Hal ini sepatutnya didebat bersama jika mereka benar-benar jujur menerima kebenaran.
Lihatlah juga pendapat Buya Hamka melalui tafsirnya yang terkenal, iaitu Tafsir al-Azhar berhubung surah al-Baqarah, ayat 43 tersebut.
Kemudian mengapa disuruh lagi rukuk bersama dengan orang yang rukuk? Tidakkah cukup dengan perintah sembahyang saja? Apakah ini bukan kata berulang?
Bukan! Ada juga orang yang berfaham bahawa asal aku sudah sembahayang sendiri di rumahku, tidak perlu lagi aku bercampur dengan orang lain. Itulah yang salah! Sembahyang sendiri pun belum sempurna, tetapi rukuklah bersama-sama dengan orang yang rukuk, bawalah diri ke tengah masyarakat. Pergilah berjemaah!
Maksud kedua, arti rukuk ialah khusyuk. Jangan hanyaa asembahyang asal sembahyang, sembahyang mencukupi kebiasaan sehari-hari saja, tidak dijiwai oleh rasa khusyuk dan ketundukan.
Inilah yang diserukan kepada Bani Israel itu yakni agar mereka teruskan saja agama yang diajarkan Musa kepada lanjutannya, iaitu yang diteruskan oleh Muhammad s.a.w agar mereka menjadi Muslim, menyerah diri kepada Tuhan, dan hiduplah sebagai Muslim yang sejati.
Sekian catatan, nukilan dan pandangan Buya Hamka. Umat Muhammad s.a.w sepatutnya berbangga dan bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberi keringanan dalam solat itu. Juga, patut berterima kasih atas kasih sayang Rasulullah s.a.w yang berusaha kerasa demi mendapatkan keringanan solat itu kepada kita.
Tidak dilupa juga, kita perlu melebarkan dakwah kepada umat Yahudi, mengajak mereka bersolat dan rukuk bersama kita kerana memang itulah perintah Allah ke atas mereka dan sebagai lafaz tanda terima kasih kita ke atas Nabi Musa a.s yang telah membantu baginda Rasulullah s.a.w dalam urusan memberi idea untuk meringankan beban solat kita ini.
5:07 petang, 4 Zulkaedah 1429 Sekolah Pemikiran Kg Baru. _
di petik dari: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17678&Itemid=1