Wednesday, October 10, 2007
Berpuasa Sebagai Terapi Biologi ( U.Malaysia, 10 okt 07,m/s 10)
TERAPI BIOLOGI MELALUI PUASA (artikel original)
Terapi biologi bukan sekadar bermaksud merawat peyakit-yakit fizikal tertentu atau menambah baik tahap kesihatan anggota tubuh badan tetapi juga bermaksud merawat dan menambah baik biologi minda dan biologi emosi seseorang
Pemahaman yang mengatakan melakukan ibadah wajib seperti Solat, Puasa di bulan ramadhan, Haji dan amal sunat seperti doa, berzikir merupakan amalan spiritual semata-mata adalah satu pemahaman yang sempit dan persepsi sebegini seharusnya ditukar.
Solat lima waktu yang merupakan satu anugerah Allah, yang difardukan ditempat yang paling tinggi sudah pasti mempunyai nilai yang teramat tinggi malah orang beriman sepatutnya merasakan solat itu wajib ada seperti mana manusia wajib menghirup oksijen untuk hidup. Allah SWT mewajibkan solat ini tanpa sebarang kompromi kepada lelaki muslim yang baligh walaupun seluruh anggota badannya lumpuh tetapi selagi otaknya masih berfungsi, dia wajib solat. Dan juga diwajibkan kepada wanita muslim yang baligh kecuali ketika datang haid dan nifas. Didalam buku yang penulis tulis, BioMekanik Solat, ada dibincangkan solat itu sebenaranya sebagai perawat kepada penyakit-penyakit fizikal manusia, solat boleh merawat penyakit darah tinggi, kemurungan malah boleh merawat penyakit kronik, solat boleh merubah sikap, solat merubah personaliti , solat dengan menggunakan kedua-dua otak, solat merubah gelombang otak juga solat boleh mencergaskan minda. Persoalannya solat yang kuantiti dan kualiti yang bagaimana? Bagaimana pula dengan puasa, benarkah puasa merawat atau mengawal penyakit atau benarkah dengan berpuasa boleh merubah sikap dan tingkah laku seseorang? Lagi sekali persoalannya, puasa yang bagaimana?
Penulis suka mengingati diri sendiri dan pembaca sekelian supaya persepsi puasa itu bukan hanya pada puasa dibulan ramadhan semata-mata, dan semoga tulisan ini akan memotivasikan diri untuk lebih teruja supaya amalan puasa menjadi amalan rutin mingguan. Yakinlah dengan berpuasa, biologi badan kita lebih terjaga dan tentunya kita mencari jalan untuk dekat dengan Allah SWT.
Puasa satu ibadah yang juga pernah diwajibkan kepada umat Nabi dan Rasul terdahulu. Sepatutnya apabila kita benar-benar memahami hakikat puasa ini, kita juga akan berkata, bahawa manusia yang harus merasakan wajib untuk berpuasa seperti mana mesin , engine atau komputer wajib diservis! Komputer yang dijangkiti virus dan jika dibiarkan boleh merosakan program atau data-data yang tersimpan. Begitu juga dengan engine kereta yang wajib masuk bengkel untuk penyelengaraan berkala.
Perut umpama engine kereta tadi atau hard disk didalam sebuah komputer. Didalam blog penulis, bioibadah.blogspot.com, terdapat satu artikel bertajuk, ” Sepatutnya kita berpuasa dua bulan dan bukannya sebulan!”, dimana kajian pakar pemakanan, purata masa perut sepatutnya aktif menghadam makanan ialah lapan ke sepuluh jam sehari, tetapi apabila polar pemakanan harian kita yang bersarapan pagi, minum lagi pada jam sepuluh pagi, makan tengahari, minum petang dan diikut makan malam, purata proses pengkhadaman mengambil masa kira-kira enam belas jam. Ini bermakna dalam sehari, perut kita sudah berkerja overtime enam jam! Dengan diwajibkan berpuasa, maka perut kita akan diservis semula. Bagi mereka yang lebih pintar, mereka tidak menunggu setahun sekali diservis, tetapi perut mereka diservis paling kurang seminggu sekali.
Jangan disempitkan pemahaman kaitan puasa dengan kesihatan iaitu sekadar kaedah berkesan untuk menurunkan berat badan seperti umum mengetahuinya.
Merujuk kepada beberapa penulisan dari pakar pemakanan yang mengkaji tentang kelebihan berpuasa ini dan sebahagiannya ditulis oleh mereka yang bukan Islam walaupun rujukan mereka puasa yang diamalkan oleh anutan agama masing-masing.
Seorang Saintis bernama Steve Meyerowits menulis didalam bukunya, Fasting and eating for health, ” Tikus putih yang tidak diberi makan sela empat hari sekali, didapati usianya lebih lama dari tikus yang setiap hari diberi makan”. Manakala didalam buku Juice fasting, the power of healing ,Richard schult menulis,” Apabila kita tidak makan, sistem pengkhadaman akan berehat dimana darah dan tenaga akan dialirkan ke tisu-tisu yang lain. Dengan itu akan mempercepatkan proses penyembuhan dan juga akan berlaku pembuangan bahan-bahan toksik”.
Bagi menambahkan keyakinan terhadap fungsi puasa terhadap biologi badan, Phyllis Balch didalam bukunya Prescription for Nutritional Healing telah mengariskan empat faedah bila berpuasa iaitu
1. Dengan berpuasa, serum lemak didalam darah akan menurun dimana sel darah putih dan tisu yang beroksijen berfungsi lebih efisien.
2. Beban sistem imunisasi akan berkurangan dan sistem pengkhadaman bebas dari inflamasi apabila tidak alergik kepada makanan tertentu.
3. Penurunan gula dalam darah semasa berpuasa, akan merangsang hormon pengeluaran opiod yang boleh membantu seseorang lebih fokus kepada sesuatu perkerjaan
4. Berlaku pengurangan pengumpulan bahan toksin dari makanan dan sebaliknya toksin yang sedia ada akan dikumuh.
Ini adalah sebahagian dari kajian terhadap puasa malah ada kajian kaitan berpuasa dengan kadar denyutan jantung, terhadap pengeluaran hormon seperti encephalin, pengurangan kesan jet lag, malah kesan puasa terhadap kitaran tidur. Penulis tidak berhajat untuk membincangkan secara terperinci tetapi cukuplah mengambarkan dan sudah sepatutnya kita berkata,” Manusia perlu ’mewajibkan’ diri berpuasa untuk mencapai tahap kesihatan yang optima”.
Terapi biologi kepada minda dan emosi apabila berpuasa ialah displin menjaga waktu, seperti mana solat yang sangat ketat jadual waktunya kerana orang yang berjaya hidupnya berjadual, puasa melatih minda untuk bersungguh melawan kepenatan, bersungguh supaya minda sentiasa sedar yang kita sedang berpuasa kerana inilah kepayahan sebenar untuk meningkatkan kualiti berpuasa berbanding tidak sukar dari berlapar dan menahan dahaga sepertimana anak kecil ramai yang mampu berpuasa.
Begitu juga sengaja melatih emosi supaya bersimpati dan merasai kelaparan yang selalu dirasai oleh orang yang fakir. Melatih sikap zuhud terhadap nikmat makan minum yang wajib dihentikan kira-kira dua belas jam sehari. Walaupun pengertian zuhud itu bersifat subjektif tetapi zuhud terhadap makanan adalah perkara asas selain zuhud terhadap nikmat kediaman, kenderaan, pakaian dan lain-lain. Puasa juga membentuk sifat santun dan bersabar, sabar terhadap beban kerja harian malah bersabar melawan tuntunan nafsu terhadap juadah berbuka. Bagi penulis, apabila kita meletakan harapan dan matlamat yang tinggi terhadap puasa ini akan mengatasi emosi ceria yang berlebih-lebih untuk hari raya aidil fitri.
Maka itulah hikmahnya dan kita disuruh bersungguh beribadah dimalam sepuluh terakhir mencari lallatulqadar tetapi berapa ramai dari kita sibuk pula memikirkan persediaan menyambut hari raya. Pada siang hari badan semakin penat kerana berbelanja di pasaraya dan tentulah pada malam hari kepenatan serta ditambah mood puasa semakin menurun, mood raya semakin memuncak! Marilah kita menukar persepsi puasa itu bulan pesta ibadah sehingga penghujung ramadhan.
Akhirnya, yakinlah semua ibadah khusus yang khusus difardukan kepada umat Islam bukan sahaja melonjak tahap keimana dan ketaqwaan tetapi juga boleh memberi kesan langsung kepada bioenergi. Jika amalan ciptaan manusia seperti meditasi, yoga, hipnosis boleh merubah sikap dan emosi serta merawat penyakit, mengapa tidak dengan solat, puasa? Pelajarilah bagaimana mereka begitu bersungguh dan tafakur dengan mengatur pernafasan, tumpuan minda, tumpuan pendengaran, berimaginasi dan bisikan hati, sedangkan semua ini ada ketika kita mendirikan solat, ketika berpuasa, berdoa malah ada juga ketika membaca Al Qur’an!
Dr Yusof Abbas
Perunding Perubatan Sains Sukan
AJK Ikatan Muslimin ( ISMA), cawangan Johor.