Pages

Tuesday, June 30, 2009

Siapa yang jadi RACUN?

Saya baru sahaja membaca teks penuh ucapan Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung Rang Undang-undang Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasa (SIAP), yang menyentuh tentang penyakit kronik iaitu RASUAH dikalangan kakitangan kerajaan.



Teringat pada minggu lepas saya membeli racun rumput di sebuah kedai hardware, peniaga Cina ini merungut kerana pihak penguasa selalu buat kacau walaupun dia mempunyai lesen menjual racun. Kacau yang dimaksudkan ialah penguasa ini datang dan menuduh dia tidak mengadakan tempat yang sesuai, tiada pasir dan pintu yang sesuai menyimpan racun. Dan apabila dihulur wang RM 50, mereka ambil wang itu dengan selamba pergi dan pasti akan datang 3 bulan lagi serta ugutan akan dikenakan kompaun.


Siapa yang menjadi RACUN sebenarnya? Penjual racun atau penguat kuasa itu memberi rezeki beracun ini pada diri dan anak-anaknya.

Kisah penguat kuasa yang meminta rasuah adalah perkara lumrah dan yang memalukan ianya dilakukan oleh muslim Melayu.
Ini contoh racun dos kecil, belum lagi dos racun sebesar projek-projek mega, seperti kes terbaru di perlabuhan Klang! Dan racun-racun ini ada diambil oleh mereka yang dalam masa yang sama juga MENGAMBIL PENAWAR pada setiap hari iaitu semasa solat. Solat buat, rasuah pun buat juga. Manakala, racun ini terus mematikan hati, sengaja merosakkan hati dan istiqamah dalam dosa .
Ada yang bermewah dengan wang rasuah, boleh anda bayangkan,saya pernah berjumpa penguasa biasa ( bukan pegawai), boleh aktif bermain golf?

Durian Yang Dimakan Ulat


Sekarang ini musim durian dan sekeliling rumah kelahiran saya ( Kg Simat, Johol, N Sembilan) yang sudah 4 tahun tidak dihuni, terdapat pokok dokong, rambutan, manggis dan lebih 10 batang pokok durian yang bermacam jenis dan bermacam rasa. Kebun hasil usaha arwah ayah dan kami adik beradik antara menjadi penyebab untuk kami pulang menjenguk rumah yang biasanya meriah pada beberapa hari raya puasa sahaja. Dua minggu lepas saya sekeluarga bersama ibu menjenguk rumah dan kebun yang buah durian baru mula jatuh.


Saya dikatagorikan peminat durian dan semalam saya untuk kali keduanya membeli buah durian ini di Bandar Lukut. Biasalah seperti ditempat-tempat lain masih orang Cina juga yang menjual durian kualiti tinggi. Saya memilih buah durian yang dikatakan isinya kuning tembaga tetapi dijual murah kerana ada sedikit tompok hitam dikulitnya. Kata Cina ini, “ Ini lulian ada sikit dimakan ulat , tapi baik punya ".


Dari tujuh biji yang dibeli dan rasanya memang enak seperti yang didakwa, tetapi walaupun diluar tompok hitamnya kecil, rupanya didalam banyak biji durian yang telah rosak. Dengan kata lain, gambaran diluar tidak sama dengan keadaan didalam. Luar nampak OK, rupanya KO didalam. Sebabnya ialah saya belum mendalami ilmu durian ini.


Analogi yang boleh saya buat ialah, ada ketikanya perlu berhati-hati dengan orang belum kita kenali, diluar nampak seperti baik. Dan sifat berhati-hati dalam membuat sebarang pilihan. Umpama contoh kisah Imam Bukhari yang amat teliti dalam mencari sanad hadis, dimana beliau pernah menolak hadis dari alim yang memperolok-olokkan ternakannya ketika mahu memberi makan walaupun beliau sudah jauh mengembara untuk menemui alim ini. Bagi beliau, samalah seperti gambaran tompok hitam kulit durian tadi,jika ada kerosakan diluar maka didalam lebih rosak lagi.


Memang kita diajukan supaya sentiasa berbaik sangka dengan aip dan kelemahan orang lain,tetapi sikap berhati-hati itu lebih dituntut lagi .Dan berbaik sangka boleh diketepikan apabila semakin mengenali seseorang, maknanya boleh bersangka buruk demi membetulkannya. Buruk sangka hasil dari pengalaman lampau itu adalah ciri berhati-hati dalam tindakan.


Jika ada yang mendakwa, mulut bisa/laser tetapi hati baik, tetapi sepatutnya hati yang baik, mulut pun sepatutnya akan baik. Dan kadang-kadang adalah benar kulit buku menceritakan isinya. Ekpresi muka dan penampilan seseorang boleh mengambarkan isi hatinya. Apa yang dipakai, rumah yang didiami atau kenderaan yang dipandu juga boleh mengambarkan apa yang ada didalam hati seseorang

Ibubapa yang 'berdosa'

( sambungan dari artikel ibubapa Fisiologi )

Anak-anak yang TIDAK mengenang jasa ibubapa LEBIH ramai dari ibubapa yang INGINKAN jasa-jasa mereka mesti dibalas. Anak derhaka lebih ramai dari ibubapa yang derhaka pada anak-anak. Dan anak yang berdosa pada ibubapa lebih ramai dari ibubapa yang berdosa pada anak-anak mereka.

1) Ada ibubapa yang menjaja dan berbangga dengan kejayaan dunia anak-anak mereka . Begitu juga menganggap pelaburan wang ringgit itu MESTI dibalas oleh anak-anak suatu masa nanti. Walaupun ramai yang menafikan perkara ini, tetapi tersemat didalam hati dia membanding-bandingkan anaknya. Segelintir ada ibubapa yang menuntut supaya perasaan dan hatinya WAJIB dijaga oleh anak-anak, malah terdapat anak soleh yang tersepit dalam masalah ibubapa yang tidak soleh emosinya.

2) JIka ada Tuhan yang kedua, dia ialah ibu atau suami kepada mana-mana isteri. Ada ibubapa yang menggunakan kuasa veto dan kuasa lumrah dunia ini, yang mana kata-kata ibubapa itu keramat dan benar belaka. Berapa ramai hati-hati anak dilukai oleh ibubapa tidak soleh ini, dan memendam rasa. Ibubapa boleh dan mudah menuduh anak durhaka, tetapi belum tentu lagi disisi Allah.

3) Ada kes ibu atau bapa yang TERPAKSA dihantar oleh anak-anak mereka ke rumah jagaan orang tua, tetapi mudahnya masyarakat menuduh mereka anak yang tidak berhati perut. Kerenah emosi orang tua yang bermacam walaupun kesenangan kebendaan telah disediakan oleh anak-anak. Mungkin setelah habis ihtiar,rumah jagaan orang tua lebih sesuai. Ada orang tua yang lebih selesa dengan anak perempuannya sahaja. Malah ada kes si anak perempuan yang hanyalah anak angkat yang terpaksa menjaga ibunya yang lumpuh bertahun-tahun sehingga meninggal dunia- alasannya kerana tidak sesuai dengan anak-anak lelakinya ( mungkin lebih tepat tidak sesuai dengan menantu). Terdapat usaha sesetengah pihak yang mengambil inisiatif rumah orang tua ala pondok agama. Konsep yang baik ini juga menjadi bahan fitnah oleh segelintir masyarakat.

4) Kita merasakan fahaman tradisional yang menyebabkan ibubapa yang menuntut bukan-bukan pada anak-anak tetapi kefahaman ini akan terus DIWARISI oleh generasi tua sekiranya masih beranggapan mereka adalah RAJA yang kehendak mesti dipenuhi.

5) Tidak dinafikan ada segelintir ibubapa yang mudah benar menuduh anak-anak mereka derhaka atau merajuk dan begitu juga anggapan oleh kebanyakan masyarakat.

6) Kesilapan selalu diletak pada anak-anak, sedangkan pendidikan agama dan akhlak ketika anak-anak masih kecil terabai dan tidak dititik beratkan

7) Anak yang soleh sentiasa berusaha membahagiakan ibubapa semasa didunia dan doa menajat diteruskan ketika ibubapa mereka di alam barzah.
8) Jadilah ibubapa yang terdidik emosi, kerana semakin tua semakin kembali ke emosi keanak-anakan dan hargai nikmat usia serta nikmat dunia yang anak-anak sediakan.

Tuesday, June 23, 2009

Ibu Bapa Fisiologi

1. Pada 21 jun yang lepas disebut sebagai hari Bapa. Walaupun tidak semeriah hari Ibu, namun ianya sesuatu yang baik untuk kita mengenang akan jasa ketua keluarga ini.
2. Fitrah emosi kejadian manusia dan haiwan akan menyayangi anak-anak mereka. Dengan kasih sayang inilah si bapa akan bersungguh-sungguh untuk menjaga dan mengawal anak-anaknya dari sebarang bahaya serta berusaha untuk menyenangkan segala urusan mereka. Jika haiwan pun akan menyerang pemangsa yang cuba menyerang anaknya, apalagi manusia! Sehingga biasa kita dengar si bapa sanggup mengadaikan nyawa untuk si anak yang di sayanginya.
3. Begitu juga pengorbanan besar si ibu dan haiwan betina yang mengandungkan anaknya. Bersusah payah menjaga anak-anak ketika kecil dan diberi perhatian sepenuhnya.
4. Ianya tidak terbatas pada mana-mana bangsa, agama, keturunan, zaman, pangkat atau demografi, walaupun tidak dinafikan memberi kesan kepada ibubapa dalam menjaga anak-anak mereka. Ibubapa yang bergelumang dengan maksiat atau yang tidak percaya kepada Tuhan juga mengharapkan anaknya menjadi baik dan tidak menjadi seperti mereka.
5. Persoalannya, apakah yang lebih mendorong ibubapa menjaga dan membesarkan anak-anak mereka? Adakah kerana rasa tanggung jawab atau kerana fitrah biologi tadi, iaitu kurniaan Allah yang Maha Adil untuk semua mahkluknya? Bagi saya, jawapan yang tepat ialah kerana fitrah biologi kepada manusia yang dikurniakan akal. Dan bagi binatang kerana fitrah biologi dengan naluri 'emosi' nya yang tersendiri.
6. Manakala perasaan tanggung jawab dan bebanan membesarkan anak-anak itu akan lebih di perkuatkan kerana fitrah semulajadi itu.
7. Mesej yang ingin saya sampaikan ialah, PATUTKAH ibubapa menuntut kembali akan pengorbanan mereka dibalas semula oleh anak-anak yang sudah dewasa dan boleh berdirikari suatu masa nanti?
8. Memang benar setiap individu ada hak seperti mana hak ibubapa terhadap anak DAN LEBIH-LEBIH lagi hak anak kepada ibubapa mereka.
9. Islam menuntut hak dari anak-anak kepada ibubapa mereka. Tetapi apabila salah faham terhadap 'kuasa besar' ibubapa terhadap anak-anak mereka, ramai ibubapa yang tidak sedar menyusahkan anak-anak mereka dalam keadaan yang tidak sepatutnya.
10. Jarang atau mungkin janggal bunyinya apabila kita menyebut akan ibubapa yang berdosa terhadap anak-anak mereka. Ramai ibubapa yang menyalah gunakan 'kuasa besar' ini, sehingga boleh mengoncang kerukunan rumah tangga anak-anak mereka. Bagi mereka anak-anak wajib taat kepada perintah dan kemahuannya! Umum sudah menerima bahwa kebenaran dan hak itu sentiasa ada pada PIHAK IBUBAPA! Sedangkan Saidina Umar pernah menyebut akan ibubapa yang DERHAKA kepada anak-anaknya.
11. Kesimpulannya, anak-anak mesti tahu akan tanggung jawab terhadap ibubapa mereka, tetapi sebaliknya ibubapa jangan salahguna 'kuasa' sehingga menuntut sesuatu yang tidak kena pada tempatnya terhadap anak-anak. Juga usah hanya menggangap anak-anak sahaja yang kerap melakukan salah-dosa terhadap ibubapa, kerana tidak kurang ibubapa melakukan salah-dosa terhadap anak-menantu mereka.
12. Anda yang bakal dan sedang menjadi ibubapa kepada anak-anak yang dewasa dan sudah berkahwin, ambillah iktibar dan gunakan ilmu serta pengalaman hidup agar tidak MENUNTUT yang bukan-bukan dari anak. Bagi saya ibubapa tidak perlu menuntut kewangan atau kekerapan kepulangan anak-anak, kerana itu bukan matlamat akhir atau balasan ketika membesarkan mereka melalui fitrah biologi tadi atau merasakan sudah banyak pelaburan wangringgit menyekolahkan anak-anak dan merasakan anak-anak mesti menyumbang semula untuk mereka!. Tetapi anak-anak yang terdidik dengan ilmu dunia dan akhirat akan maklum akan tuntutan hak terhadap ibubapa mereka. Dan bersabar dengan kerenah ibubapa yang semakin tua dan ambil teladan dari salah faham terhadap tuntutan terhadap anak-anak.
13.Aset utama kita sebagai ibubapa ialah, pertama adalah sedekah jariah; kedua ilmu yang bermanfaat dan ketiga anak soleh yang mendoakan orang tuanya. Solehkan anak kita?
14.Jika dikatakan ibubapa boleh menjaga ramai anak, tetapi anak yang ramai belum pasti menjaga ibubapa mereka. Dimana silapnya? Yang biasa kita dengar ialah silap anak-anak, sedangkan ada ibubapa yang membuat silap menuntut hak dari zuriatnya itu.

Wednesday, June 17, 2009

Kembara 35 Jam

Pada Jumaat yang lalu, 12 jun 09 , bermula dari jam 11 malam, kami dari ISMA, N Sembilan dari 3 cawangan iaitu Seremban, P.Dickson dan K Pilah telah mengadakan jaulah ( kembara) ke Jerantut, Dungun, Kemamam dan Kuantan. Seramai 28 orang dari usia19 tahun ke 47 tahun menyertai jaulah ini yang bermula dari Masjid Jamek K.Pilah dan kembali semula ke tempat masing-masing pada pagi ahad, saya sampai di Springhill pada jam 4 pagi. Pada tahun lepas ISMA NS berjaulah ke Dumai, Indonesia.

2. Pemantapan ukhwah dan memahami dakwah di tempat lain serta ketahanan fizikal adalah antara objektif utama jaulah ini. Sesuatu yang menarik kembara ini tanpa henti dan 80 peratus masa dihabiskan dalam kenderaan dan tidur berbaring beberapa minit sahaja dalam tempuh 35 jam ini.

3.Lokasi singgahan pertama pada jam 4 pagi ( Sabtu ) ialah Masjid Jerantut, sempat berehat seketika sebelum subuh dan destinasi pertama selepas subuh ialah rumah Cikgu Anuar yang jaraknya 5 minit dari masjid. Cikgu Anuar ialah bekas S/U ISMA P. Dickson yang kini bermastatutin di Jerantut sejak januari yang lalu.

( Gambar: Selepas subuh di Masjid Jerantut)


4. Tanpa di rancang, saya di minta untuk memberi tazkirah dan mesej yang terlintas ialah lakukan sesuatu dalam keadaan berbeza dan luar biasa. Ukhwah dan persaudaraan itu diucap oleh semua orang, orang kafir pun berukhwah, peniaga MLM juga kuat ukhwahnya, tetapi apakah yang BERLAINAN dalam ukhwah badan dakwah dan di kalangan para duat? Ukhwah ini sesuatu yang praktikal dan perlu kreatif untuk mencernakannnya dimana jaulah ialah antara kaedahnya.
(gambar: cenderahati kepada cikgu Anuar)


5. Saya memberi analogi 'ukhwah' antara ikan keli, puyu dan ikan koi dalam kolam buatan sendiri , saiz 4' x x 10', di belakang rumah saya ( baru seminggu). Pada peringkat awal ikan ini asshobiah dan tidak bergaul tetapi selepas 3 hari, ikan-ikan ini boleh bergurau sesama mereka. Cuma ikan koi yang kurang sedikit kelasakkannya, beberapa ekor menemui ajal bila tidak tahan dengan air kolam yang belum stabil lagi. Ada juga segelintir duat yang menjadi seperti ikan koi ini sepanjang perjalanan dakwah.
6.Dan analogi kedua, iaitu bagaimana cara fikir yang berbeza dan positif yang membuatkan beras jenama Faiza terkenal, pada hal dia menjual beras mahal dan tidak mampu dibeli secara berterusan oleh orang kebanyakkan.

7. Seterusnya selama 5 jam kami berjaulah pula ke Dungun, dan sempat berjumpa 4 orang ahli Isma di sana dan wakilnya, Us Jailani telah memberikan tazkirah kepada kami. Kami berjumpa di pantai Dungun, berhadapan dengan UiTM.


8. Kemudian pada jam 3 petang kami singgah di Taman Islam ( sekolah pondok moden),Kemaman yang sudah beroperasi sejak 37 tahun yang lalu. Dan sekitar jam 10 malam kami sampai ke Pejabat ISMA, Kuantan. Dari sini, pada jam 11.45malam, kami bertolak menuju semula ke masjid K.Pilah.

9. Beberapa iktibar dan tajribah dari jaulah ini ialah seperti kelekaan dari membuat persediaan yang rapi, kerana ada kenderaan yang perlu di tukar tayar spare di tengah jalan kerana kehausan bunga. Dan beberapa arahan yang tidak jelas dan 'tidak tegas', rasanya mungkin tidak ramai anggota rombongan yang sempat menghabiskan 2 juzuk Al Quran sepanjang jaulah ini. ( saya sekadar 1 juzuk setengah)


10. Apapun jaulah ini sesuatu yang sangat baik untuk lebih kenal sesama. Tanpa ukhwah yang mantap, semua kerja tidak lancar seperti terserlah ketika berjaulah ini. Dakwah dan ukhwah umpama aur dengan tebing

Monday, June 15, 2009

AlQuran 'Menegurnya' Di Dunia


1. Ramai sedia maklum kita diberitahu bahawa AlQur'an akan menjadi teman berbual serta penerang kegelapan semasa di alam barzah dan pemberi syafaat ketika di mahsyar kelak.


2. Satu kisah sahih yang diterima, seorang kenalan yang sentiasa menatap dan membaca Al Qur'an hampir setiap hari, dimana baru-baru ini beliau mendapat sakit kaki dan deman panas selama 3 hari. Selama itu beliau tidak membuka Al Qur'an dan sekadar membaca Al Qur'an semasa zikir mathuratnya.


3. Pada malam ke empat, beliau bermimpi yang beliau gugup dan tersangkut-sangkut membaca Ahl Qur'an dalam satu majlis tadarus dan berasa amat malu sekali. Sebaik sedar dari mimpi, beliau termenung seketika, dan itu adalah jawapannya apabila beliau mengabaikan teman bicaranya itu selama 3 hari.


4. Sila rujuk kembali pada artikel yang pernah saya tulis disini, ' Sehari tanpa handfon!'

Thursday, June 11, 2009

Johor Bahru, Juga Bandar Maksiat?

1. Ketika di J.Bahru, saya tertinggal charger PDA dan puas merata mencari charger lain dengan jenama yang jarang diguna, dopod.
2. Berhadapan Pasar Seni, saya terlihat beberapa individu yang menjual ubatan-ubatan lelaki ( tenaga batin), dan sebelum saya masuk kesebuah kedai handfon juga ada dijual di kaki lima. Saya terlihat ubat Viagra dan Cialis dijual secara bebas serta beberapa ubat lain malah ada gambar lucah pada kotaknya. Saya bertanya pada penjualnya yang bercakap loghat Kelantan iaitu adakah Viagra dan Cialis ini original, dia menjawab original sambil menunjukkan vigra buatan China. Dan bila saya amati dan dengan dibandingkan yang dijual diklinik biasa, rasanya original.
3. Saya juga bertanya kepada penjual ini mengapa ramai yang menjual ubat-ubat ini disekitar kawasan ini dan memberitahu ubat-ubat ini adalah ubat kawalan. Dia cuma tersengeh dan memberitahu dia sudah lebih 10 tahun berniaga serta memberitahu di sekitar sini banyak tempat 'perempuan'. Malah katanya depan pejabat penguatkuasa MBJB pun ada hotel yang banyak pelacur dan beberapa lagi hotel murah lain tidak jauh dari KOMTAR!!.
4. Berdakwah itu hanya ada dua perkataan, seru pada maaruf dan cegah mungkar. Banyak badan dakwah yang terlupa dengan usaha mencegah mungkar ini walaupun tahu badan Islam Kerajaan dan penguatkuasa tempatan hilang taring atau 'malas melayan' dalam kes kronik sebegini yang banyak di bandar besar untuk sekian lamanya! Mengapa tidak badan dakwah yang sebahagiannya sudah ada badan gabungan menjadi BADAN PENDESAK secara berkala dan istiqamah supaya kegiatan hitam ini disifarkan sebagaimana kempen sifar miskin atau sifar setinggan.

Seksanya Dengan Alergik

1. Apabila melihat dan merawat pesakit yang menderita penyakit asma dan sakit kulit memang menginsafkan. Faktor keturunan memainkan peranan penting.
2. Sehari selepas balik dari J.Bahru, saya dengan dibantu oleh dua anak bujang lelaki menyimen kolam ikan buatan sendiri bersaiz 4' x 10' dibelakang rumah. Manakala disebelah malam, seperti biasa setiap malam Jumaat, saya beriadhah badminton dengan pemuda-pemuda lingkungan usia 24- 35 tahun.
3. Pada keesokan harinya, saya merasakan kesakitan pada betis kanan sebelah bawah dan rasa hairan juga kerana tidak terseliuh semasa bermain. Apabila kulit semakin merah dan membengkak, isteri saya mengagak kemungkinan saya alergik dengan simen yang dibancuh semalam. Pada malam harinya semakin bengkak dan suhu badan naik mendadak. Tiga hari lamanya kaki saya membengkak dan hingga kini masih belum pulih sepenuhnya.
4. Saya tidak mengalami sebarang alahan sebelum ini, cuma alah pada makanan pedas. Mulut boleh tahan podeh, maklumlah orang nogori, tetapi perut tak tahan- IBS-irritable bowel syndrome. Manakala ada juga orang yang 'alergik' pada makanan tertentu, iaitu alergik jumpa, dia kemaruk
5. Alergik biologi terutamanya kulit dan sistem pernafasan adalah penyakit yang sukar dikawal atau sembuh sepenuhnya, namun alergik rohi lebih banyak menyerang kita. Simptom serangannya menyerang dan mengotorkan hati . Alergik rohi ini ada didalam dan diluar rumah.
6. Dan sejauh mana alergik kita terhadap perkara yang sentiasa menyerang kita ini? Imunitinya terletak pada kualiti amal dan kesenambungannya

Wednesday, June 3, 2009

Bumi Ambia' Dan Bumi Firaun

1. Ketika ini saya sekeluarga menginap di hotel Pacifik Puteri di Johor Bahru iaitu hotel yang sama didiami oleh beberapa pasukan hoki remaja piala dunia yang akan berlangsung di sini bermula pada hari ahad ini. Dan diantara pasukan yang bertanding ialah pasukan Mesir.


2. Saya sempat berbual dengan salah seorang pegawai pasukan Mesir ini dan menurutnya sukan hoki ini tidak popular di sana berbanding sukan bolasepak. Walaupun tidak popular dan diminati seperti di Malaysia, pasukannya layak memasuki peringkat taraf dunia. Saya sempat berseloroh dengannya, iaitu sukan bolasepak diMesir sudah menjadi 'Tuhan', dia sekadar tersenyum. Setahu saya, Mesir ialah juara bolasepak peringkat Afrika ( Utara ) dan tarafnya jauh bermutu dari pasukan Malaysia. * Semasa dibangku sekolah, sukan hoki ini merupakan sukan berpasukan kegemaran saya selepas bolasepak.


3.Sekilas pandang orang Mesir yang saya jumpa ini dan para pemainnya tiada beza dengan pemain 'mat saleh' yang lain.


3. Pernah beberapa kenalan yang pulang menuntut dari negeri dakwah Nabi Musa AS ini berkata bahawa sistem sekular dan gaya hidup barat orang-orang Mesir hampir tiada beza dengan orang Malaysia ini. Dan menurutny lagi, segelintir pelajar khasnya lelaki yang hilang wajah sebagai bakal ustaz apabila hidup berfoya-foya dan berseronok. Di Universiti AlAzhar yang bersistem wakaf itu TIDAK MEWAJIBKAN kehadiran mengikut kelas pengajian dan duit pula banyak ( tukaran wang serta barangan lebih murah), maka tidak hairan ada pelajar yang leka dalam ilusi keseronokan dan ponteng kelas serta ada yang 'kemaruk' melihat tarian gelek di sekitar sungai Nil. Akhirnya ada yang terpaksa lebih lama belajar dan bila balik ke Malaysia menjadi ustaz lulusan Azhar!! Malah menurutnya lagi, pernah seorang Ustaz lulusan Azhar yang sudah berusia 50an datang semula ke Mesir dan antara tempat pertama yang beliau lawati ialah ke tempat gelek itu!!


4. Semasa zaman pelajarnya, beliau juga pernah diingatkan oleh pelajar seniornya bahawa jangan lupa bumi Mesir ini juga ialah bumi Firaun laknatulah pernah memerintah, maka tempias maksiat firaun masih berleluasa di sana dan lama dijajah oleh British.


5. Ramai dari kita tahu akan sikap pemerintah Mesir sekarang terhadap rakyat Palestin yang tertindas dan masih bersikap keras mereka terhadap badan-badan dakwah sejak zaman Presiden Jamal Naser lagi .


6. Dari segi kekayaan bumi, akademik dan kekuatan persenjataan, Mesir adalah negara Arab yang terkehadapan berbanding negara Arab yang lain.


7. Saya sangat yakin, sekiranya Mesir berjaya ditukar kepada pemerintahan yang berjiwa Islamik, maka akan merubah senario politik di Asia Barat , khasnya bumi Palestin dan mampu menular ke negara Islam yang lain.


8. Mesir adalah bumi dakwah Hassan AlBanna sejak hampir 70 tahun yang lalu dan telah melahirkan ribuan para pejuang yang sedang merubah masyarakat disana dan negara lain.
9. Jika bumi para ambia' kini dipenuhi berjenis maksiat, apalagi di Malaysia!. Tetapi ini bukanlah alasan untuk tidak berjuang menegakkan syariat Allah. Bumi nusantara ini adalah bumi bukan Arab pilihan Allah dan sudah bertapak sejak lebih 800 tahun yang lalu.

Monday, June 1, 2009

Kawin Biologi dan kawin 'Rohi'

1. Dalam tempuh 2 minggu cuti sekolah ini, ramai dari kita menerima banyak jemputan kenduri kahwin. Ada yang menerima 3-4 jemputan dalam sehari.

2. Tahniah kepada Sdr Khairudin dan Pn Hidayat yang menetap di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, kerana menerima dua menantu serentak. Semoga bertambah keceriaan hidup dan bertambahnya tanggung jawab dengan penambahan bilangan keluarga. Kebetukan isteri saya berkursus selama 4 hari di J.Bahru, maka saya sekeluarga sempat menghadiri majlis walimahtulurus ini. Sudah setahun saya tidak menjejak kaki ke J.Bahru ini dan seronok berjumpa semula sahabat lama seperti Us Hairozi, Sdr Zainal Sidi, Sdr Hafiz, sdr Md Nor, Dr Mazlan, Dr Baharudin, Dr Mazwar, dan beberapa orang lagi.



3. Bukan sahaja orang Melayu sibuk berkenduri kahwin, begitu juga dengan bangsa dan agama lain. Dunia perkahwinan ialah fitrah bagi manusia normal. Perkahwinan adalah sejarah besar bagi individu. Berkahwin itu biologi dan perkahwinan yang mengutamakan iman dan rohi, pasti mendapat redha Allah.

{saya bersama En Khairudin dan pengantin (anak sulung beliau)

4. Begitu juga bukan sahaja pasangan pengantin yang bergembira, malah ada ibubapa yang memaksa diri dengan berhutang seperti membuat personal loan yang mudah diperolehi sekarang ini. Dan tidak kurang yang memikirkan ' berniaga' dengan kenduri ini, dimana terasa terkilan jika tetamu tidak menghulur. Suatu masa dahulu, saya pernah terdengar ada ibubapa yang tersenyum lebar, kerana pelaburan kendurinya berbaloi bila 'kutipan derma' melebihi wang yang dikeluarkan.

( isteri saya bersama Pn Hidayat( Berkaca mata)

5. Tidak kurang juga ada majlis kenduri ini diselangi dengan acara maksiat,bila diiringi dengan muzik yang keterlaluan, hiasan melampau , menunjuk-nunjuk dan persandingan 'melampau'. Ada yang bersanding dan berganti pakaian sebanyak 3-4 kali.


6. Pasangan pengantin akan memulakan nikmat baru iaitu nikmat penyatuan kasih sayang, berkeluraga dan nikmat biologi seksual , dan harus diingat bahawa kenikmatan berhubung sesama manusia ini akan lebih bermakna bila merasai nikmat berhubung dengan Allah SWT. Berusaha merasa nikmat ketika solat, lazat ketika berzikir dan ibadah lain yang telah menjadi rutin.