Pages

Tuesday, June 23, 2009

Ibu Bapa Fisiologi

1. Pada 21 jun yang lepas disebut sebagai hari Bapa. Walaupun tidak semeriah hari Ibu, namun ianya sesuatu yang baik untuk kita mengenang akan jasa ketua keluarga ini.
2. Fitrah emosi kejadian manusia dan haiwan akan menyayangi anak-anak mereka. Dengan kasih sayang inilah si bapa akan bersungguh-sungguh untuk menjaga dan mengawal anak-anaknya dari sebarang bahaya serta berusaha untuk menyenangkan segala urusan mereka. Jika haiwan pun akan menyerang pemangsa yang cuba menyerang anaknya, apalagi manusia! Sehingga biasa kita dengar si bapa sanggup mengadaikan nyawa untuk si anak yang di sayanginya.
3. Begitu juga pengorbanan besar si ibu dan haiwan betina yang mengandungkan anaknya. Bersusah payah menjaga anak-anak ketika kecil dan diberi perhatian sepenuhnya.
4. Ianya tidak terbatas pada mana-mana bangsa, agama, keturunan, zaman, pangkat atau demografi, walaupun tidak dinafikan memberi kesan kepada ibubapa dalam menjaga anak-anak mereka. Ibubapa yang bergelumang dengan maksiat atau yang tidak percaya kepada Tuhan juga mengharapkan anaknya menjadi baik dan tidak menjadi seperti mereka.
5. Persoalannya, apakah yang lebih mendorong ibubapa menjaga dan membesarkan anak-anak mereka? Adakah kerana rasa tanggung jawab atau kerana fitrah biologi tadi, iaitu kurniaan Allah yang Maha Adil untuk semua mahkluknya? Bagi saya, jawapan yang tepat ialah kerana fitrah biologi kepada manusia yang dikurniakan akal. Dan bagi binatang kerana fitrah biologi dengan naluri 'emosi' nya yang tersendiri.
6. Manakala perasaan tanggung jawab dan bebanan membesarkan anak-anak itu akan lebih di perkuatkan kerana fitrah semulajadi itu.
7. Mesej yang ingin saya sampaikan ialah, PATUTKAH ibubapa menuntut kembali akan pengorbanan mereka dibalas semula oleh anak-anak yang sudah dewasa dan boleh berdirikari suatu masa nanti?
8. Memang benar setiap individu ada hak seperti mana hak ibubapa terhadap anak DAN LEBIH-LEBIH lagi hak anak kepada ibubapa mereka.
9. Islam menuntut hak dari anak-anak kepada ibubapa mereka. Tetapi apabila salah faham terhadap 'kuasa besar' ibubapa terhadap anak-anak mereka, ramai ibubapa yang tidak sedar menyusahkan anak-anak mereka dalam keadaan yang tidak sepatutnya.
10. Jarang atau mungkin janggal bunyinya apabila kita menyebut akan ibubapa yang berdosa terhadap anak-anak mereka. Ramai ibubapa yang menyalah gunakan 'kuasa besar' ini, sehingga boleh mengoncang kerukunan rumah tangga anak-anak mereka. Bagi mereka anak-anak wajib taat kepada perintah dan kemahuannya! Umum sudah menerima bahwa kebenaran dan hak itu sentiasa ada pada PIHAK IBUBAPA! Sedangkan Saidina Umar pernah menyebut akan ibubapa yang DERHAKA kepada anak-anaknya.
11. Kesimpulannya, anak-anak mesti tahu akan tanggung jawab terhadap ibubapa mereka, tetapi sebaliknya ibubapa jangan salahguna 'kuasa' sehingga menuntut sesuatu yang tidak kena pada tempatnya terhadap anak-anak. Juga usah hanya menggangap anak-anak sahaja yang kerap melakukan salah-dosa terhadap ibubapa, kerana tidak kurang ibubapa melakukan salah-dosa terhadap anak-menantu mereka.
12. Anda yang bakal dan sedang menjadi ibubapa kepada anak-anak yang dewasa dan sudah berkahwin, ambillah iktibar dan gunakan ilmu serta pengalaman hidup agar tidak MENUNTUT yang bukan-bukan dari anak. Bagi saya ibubapa tidak perlu menuntut kewangan atau kekerapan kepulangan anak-anak, kerana itu bukan matlamat akhir atau balasan ketika membesarkan mereka melalui fitrah biologi tadi atau merasakan sudah banyak pelaburan wangringgit menyekolahkan anak-anak dan merasakan anak-anak mesti menyumbang semula untuk mereka!. Tetapi anak-anak yang terdidik dengan ilmu dunia dan akhirat akan maklum akan tuntutan hak terhadap ibubapa mereka. Dan bersabar dengan kerenah ibubapa yang semakin tua dan ambil teladan dari salah faham terhadap tuntutan terhadap anak-anak.
13.Aset utama kita sebagai ibubapa ialah, pertama adalah sedekah jariah; kedua ilmu yang bermanfaat dan ketiga anak soleh yang mendoakan orang tuanya. Solehkan anak kita?
14.Jika dikatakan ibubapa boleh menjaga ramai anak, tetapi anak yang ramai belum pasti menjaga ibubapa mereka. Dimana silapnya? Yang biasa kita dengar ialah silap anak-anak, sedangkan ada ibubapa yang membuat silap menuntut hak dari zuriatnya itu.