Pages

Thursday, April 3, 2008

Hidup Ini Lakunan Atau Kena Berlakun Untuk Hidup?


Semasa perjumpaan majlis HiTea anjuran TAMRIN pada 28 mac yang lalu, saya teringat ketika seorang wartawan meminta beberapa orang 'beraksi sedang berbual' dengan Penasihat Tetap TAMRIN, Datuk Dr Fadillah Kamsah untuk rakaman lensa kamera. Terpacul lembut dari mulut Dr Fadillah Kamsah, "kita ni manalah reti nak berlakun!. Kebetulan saya berdiri disebelah beliau lalu kami pun berbual sambil di dengar oleh rakan-rakan yang lain tentang kejadian saya terkena bahang api di muka dan tangan pada 5 minggu yang lalu. Ianya bukan lakunan tetapi aksi dan cerita yang original.

Kerjaya seorang perlakun, kerjanya ada imbuhan dan mereka melakunkan watak-watak yang diberikan. Walau sehebat mana lakunannya, pelakun itu bukanlah orang yang sebenar sepertimana dalam wataknya itu. Penerbit adalah tuan punya filem atau drama, manakala pengarah, penulis skrip, pekerja produksi adalah orang yang terpenting, manakala para pelakun pula adalah pemegang watak mengikut kreditibiliti masing-masing tetapi masih tertakluk kepada arahan pengarah dan skrip.

Manusia dibumi ini adalah para pelakun tadi, skrip lakunan kita seperti mana yang tertulis di dalam Al Qur'an, dan di arah oleh Nabi Muhammad SAW yang dibantu oleh para produksi yang lain iaitu para sahabat baginda dan alim ulamak seterusnya dan pastilah Allah SWT yang tuan empunya.

Seperti mana pelakun tadi, sehebat mana penghayatan melakunkan wataknya tetapi jika jalan cerita dan bertukar mesej dialognya tidak seperti dalam skrip, bermakna dia mengingkari arahan pengarah. Bukan sahaja lakunannya gagal, malah filem/drama itu juga gagal dan tidak layak ditayangkan.

Kita tetap mendapat imbuhan, dalam bentuk pahala atau dosa dari watak-watak yang kita pegang di dunia ini. Semakin mematuhi arahan pengarah dan mendapat sanjungan penerbit, maka semakin besar ganjarannya, itulah mematuhi sunnah baginda SAW dan mendapat keredaan dari Allah SWT



Kita lihat betapa ramai orang yang gagal mengikuti skrip dari Al Qur'an, gagal mematuhi arahan pengarah iaitu Nabi SAW yang sebenarnya sudah mendapat arahan langsung dari empunya dunia ini. Tidak kurang juga yang membuat skripnya sendiri termasuk skrip ketika untuk berniaga, berpolitik, bermasyarakat, perundangan dan lain-lain.

Dalam artikel QUDWAH HASANAH YANG HOLISTIK, saya berpesan pada diri sendiri supaya supaya tunjukkan secara original dan bukan dengan berlakun mempamerkan apa yang di ucapkan, bikin seperti yang di cakapkan atau bukan 'makhluk dua alam'.

manusia tidak terlepas buat silap,berdosa, buat maksiat tetapi jangan istiqamah dalam kesilapan, selalu dalam berdosa dan malaqah berbuat maksiat.