Tiada ibubapa yang mahu anak-anaknya hidup dalam kesusahan dan tidak sanggup anak-anak membesar dalam kepayahan seperti mereka dahulu. Ada dua kesusahan yang saya maksudkan, iaitu susah dari harta benda dan kewangan, dan kesusahan kedua ialah kekurangan kemudahan dan pasarana, seperti tiada jalanraya, bekalan air paip, letirk, gas memasak, kenderaan hawa dingin dan sebagainya. Sekitar sepuluh tahun selepas kemerdekaan Malaysia, rata-rata orang Melayu, susah harta benda dan susah mendapat kemudahan pasarana.
Pada zaman teknologi informasi sekarang, dimana terdapat segelintir pelajar sekolah rendah pun memiliki telefon tangan, banyak kemudahan pasarana dihujung jari sahaja. Orang yang hidupnya agak susah, juga boleh berkongsi banyak kemudahan, dimana tidak perlu mencari kayu api untuk memasak, tiada lagi jalan lecak, tidak perlu lagi membanting padi kerana diganting oleh traktor pengisar malah jarang benar melihat orang dewasa masih berbasikal di kampung-kampung. Sekolah kampung pun sudah ada kemudahan komputer. Ada pelajar sekolah rendah yang pernah melihat gambar lucah di internet sekolahnya.
Anak-anak orang yang susah dari segi kebendaannya, juga banyak kemudahan yang mereka diperolehi , seperti anak nelayan di Terengganu yang mencapai 20A dalam keputusan SPMnya baru-baru ini. Malah saya pernah diberitahu oleh seorang warden sekolah yang berasrama, ada anak-anak orang susah yang menjadi ‘manja’ dan tidak tahu membantu ibubapanya ketika bercuti kerana kononnya sudah terbiasa selesa semasa di asrama. Dan tidak menghairankan pula, anak-anak yang dirumahnya tersedia orang gaji, lebih malas dan mungkin dalam mindanya, apa yang dingininya akan diperolehi semudah dia dihadapan keyboard komputer atau telefon tangannya.
Saya yakin lebih ramai anak-anak pada masa ini tahap kehidupan jauh lebih senang berbanding ibubapa mereka dan banyak kemudahan untuk belajar, pakaian, tempat kediaman serta alatan komunikasi didalam rumah berbanding mereka yang serba kekurangan.
Mereka jauh lebih senang dari ibubapa mereka yang baru mahu merasa senang selepas susah ketika zaman kecilnya. Ibubapa remaja sekarang, yang paling muda pun lahir pertengahan 1960an, dimana ketika mereka di sekolah rendah, ramai yang berasal dari kampung yang kurang pasarana dan kurang kebendaan.
Ramai yang tidak sedar, bahawa kesukaran hidup kita dahulu , yang membuatkan anda lebih senang pada hari ini dan boleh berdikari walaupun tidak memiliki segulung ijazah. Pengalaman melakukan sendiri banyak kerja-kerja rumah, berjalan kaki ke sekolah, jalan kampung yang tidak sempurna, kasut sekolah hanya sepasang dan banyak kedaifan yang lain, sebenarnya membentuk peribadi anda secara tidak langsung. Anda menjadi orang yang tahan lasak minda dan SUDAH BIASA SUSAH, dan ada yang SUDAH biasa dengan KEGAGALAN
Terlalu banyak buku dan imbauan sejarah yang menceritakan orang yang berjaya dalam pelbagai bidang berasal dari orang yang susah. Samada meraka berasal dari orang yang susah kebendaan dan/atau susah pasarana kehidupan. Dan begitu juga kisah anak orang kaya dan bangsawan yang sengaja menyusahkan dirinya dan akhirnya menjadi orang yang sangat berjaya dalam hidupnya, sebagai contohnya Salman AlFarisi r.a, Sultan Nurudin Mahmud, Sultan Salahudi AlAyubi. Juga dikatakan, kebanyakan Presiden Amerika yang terawal seperti Presiden pertama G Washington ( 1789), mereka adalah orang miskin ketika zaman kanak-kanaknya.
Dan tatapi sejarah kesusahan hidup Rasulullah SAW, kesusahan dalam bentuk emosi dan fizikal ketika zaman kecil dan remajanya. Kesukaran emosi apabila lahir tanpa ayah, ibunya meninggal ketika usianya terlalu mentah dan tinggal pula dengan keluarga besar bapa saudaranya, Abu Talib. Baginda SAW pernah mengembala kambing, iaitu bintang yang mencari makan secara sendirian dan sukar untuk dikumpulkan.
Manakala ramai tokoh peniaga yang menjadi jutawan yang mana kesukaran hidup waktu kecil menjadi aset penting kejayaan mereka seperti Lim Goh Tong , empunya Genting Highland yang pernah menjadi tukang rumah ketika mula sampai ke Malaysia dan Syed Bukhari iaitu tokoh terkini Korperat Melayu yang bukan kron yang sangat berjaya , beliau tidak memiliki kelulusan yang tinggi, lahir sebelum merdeka dan hidupnya pernah susah .
Bagaimana kita mahu menyusahkan anak-anak yang pasarana kehidupan sekarang sudah serba menyenangkan ? Dan patutkah kita melihat mereka susah dari segi kewangan atau sukar mendapat sesuatu yang mereka hajati, sedangkan hidup kita tidak susah?
Ada segelintir ibubapa yang melarang atau tidak mengalakkan anak-anak membasuh kasut, mencuci pakaian sendiri, menyapu lantai, membersihkan laman rumah, mencuci kereta atau kerja-kerja rumah yang lain dengan alasan sudah ada pembantu rumah atau dengan alasan boleh menganggu pelajaran!!
Juga ada segelintir ibubapa yang tidak mahu mengajar anak-anaknya berkongsi makanan yang boleh dikongsi bersama dengan adik beradik, seperti mereka berkongsi ikan atau ayam ketika makan bersama, atau mengajar mereka membahagikan sepeket coklat, sebungkus kerepek untuk dibahagi sama rata. Apa yang biasa dilakukan ialah ayam/ikan/coklat tadi mesti seorang seketul/sepeket
Begitu juga konsep sengaja melengahkan permintaan anak-anak yang tidak terdesak hajatnya atau mengikut kemahuannya untuk membelikan sesuatu yang berjenama dan mahal. Anak saya yang duduk diasrama ada memberitahu saya, ada rakannya yang ayahnya juga seorang doktor tetapi dari cara pakaiannya dari baju-T sehingga ke selipar seolah-olah dia anak orang susah. Menurut rakannya lagi, sejak kecil ibubapanya biasa membelikannya pakaian murah dan tidak berjenama, malah pernah dan tidak malu naik bas untuk balik rumah dengan selipar yang koyak. Rakan anak saya itu ialah abangnya sendiri.
Sebaliknya ada anak-anak remaja yang keluarganya orang susah ,tetapi malu jika pakaiannya tidak berjenama. Sebahagian dari kita, ada yang pening kepala bila anak semakin membesar , perbelanjaan juga semakin besar kerana mengikut kemahuan mereka ingin bergaya dan mahu pakaian berjenama. Mengapa? Kerana sejak kecil kita sudah mendidiknya mudah untuk mendapatkan apa yang dihajati dan emosi kesombongan boleh terbentuk kerana dia rasa lebih dari rakan-rakannya.
Setelah anak-anak kita tidak dibebani dengan kesusahan hidup dan mereka juga tidak mengalami kesukaran dengan pelajarannya, dengan kata lain semuanya mudah diperolehi dan jarang GAGAL, maka adakah kita yakin anak kita itu akan lebih berjaya dari kita suatu masa nanti?Ya. Mungkin dia lebih berjaya dari segi akademik, tetapi bagaimana dari segi emosi dan tahap kematangannya?
Bagi anak-anak yang biasa gagal atau kurang cemerlang dalam pelajaran, ianya satu hikmah untuk mematangkan dan kelasakan emosinya. Dan berapa ramai orang yang lambat berjaya ini, akhirnya memiliki juga ijazah malah ada yang memiliki PhD.
Kematangan dan kelasakan emosi anak juga boleh dididik dengan menyusahkan emosi mereka dengan menegur dan memarahi kesalahan yang dilakukannya dan saya yakin, kita biasa melakukannya tetapi masih ada segelintir ibubapa yang tidak pernah merotan anak, konon berpsikologi dalam mendidik. Namun ada segelintir ibubapa yang terlebih merotan dan menghambur kata-kata kesat pada anaknya! Latihan menegur bukan menakutkan mereka dari berkomunikasi dengan kita , atau mencari salah tetapi mengurangkan dari mengulangi kesilapan yang sama. Sebagai contoh, anak bongsu saya lambat boleh membaca berbanding abang –abang dan kakaknya yang boleh membaca ketika di tadika lagi. Saya amat jarang memarahinya dan cuma pernah mencubitnya ketika usia 6 tahun. Bila mula bertegas dan tunjuk garang, dipertengahan darjah satu, baru agak lancar bacaan dan mengira.
Satu kajian pada 1995 oleh Universiti Tokyo yang mengkaji sikap dan cara fikir eksekutif muda mereka, antara yang ketara :-
a. Mereka lebih suka mengarah dari mematuhi arahan
b. Tidak sabar terhadap hasil yang lambat
c. Ego yang tinggi
d. Melihat silap orang lain dari silap sendiri
e. Sukar untuk berkerjasama dan sukar menerima komentar dari orang lain.
f. ‘Coping emotional’ yang rendah dan mudah terasa
g. Sukar menerima kegagalan dan daya juang yang kurang mengatasi masalah rumit
Di Malaysia, menjelang tahun 2010, perkerja muda ialah sebahagian besarnya terdiri dari mereka yang seperti rakyat Jepun tadi yang sudah lama menikmati kemodenan ketika zaman kecilnya.
Saya sangat setuju sesekali anak-anak ini disusahkan dan disuruh berdikari ketika kem motivasi atau perkhemahan. Denda dan meletihkan fizikal mereka antara kaedah yang boleh mendidik minda dan emosi mereka. Mereka rasai susah didalam hutan, banyak nyamuk, harungi lumpur, bergelap dalam hutan dan lakukan kerja sendiri serta berkumpulan ketika perkhemahan itu.
Bukan senang untuk senang. Bersusah-susah dahulu untuk senang. Ramai yang biasa senang, akan mudah rasa susah bila di timpa sesuatu yang tidak menyenangkan, kemudian:-
1. Susahkan otak dengan banyak membaca, berfikir dan berbincang
2. Susahkan jantung dan otot –otot dengan kerap mengaktifkannya dengan bersenam
3. Susahkan diri dengan hadiri keramaian dan ke masjid/surau
4. Ramai yang biasa menyusahkan otak untuk berjaya dalam pelajaran
5. Susahkan poket dengan menghulur wang kepada yang memerluakn
6. Susahkan hati dan emosi dengan melihat kesusahan orang lain.
Adakah kerana halangan yang tidak susah dalam berdakwah di Malaysia ini, kesan dakwahnya kurang memberangsangkan? Yang susah ialah halangan dalam diri sendiri. Kemudahan berdakwah sangat banyak dan canggih tetap susah nak nampak kesan dakwahnya!