Pages

Friday, October 5, 2007

Seolah-olah Rahmat Allah ada dalam bulan Ramadhan sahaja? Ramadhan bulan Ekslusif?



Menarik khutbah yang baru penulis dengar sebentar tadi yang mengulas sebahagain besar dari umat Islam berpusu-pusu beribadah di masjid terutama solat tarawih, yang mampu membaca Al Qur'an setiap hari, yang ringan bersedakah tetapi malangnya amalan ini TIDAK diteruskan sebaik sahaja masuk bulan syawal sehinggalah bulan sya'ban berikutnya! Dalam khutbah tadi, khatib bertanya, adakah Allah itu ada dalam bulan ramadhan sahaja? Atau sifat kerahmatan, keampuanan Allah itu selama sebulan?

Seperti yang penulis pernah nukilkan pada 13 sept, artikel yang bertajuk " Sebelum ini pergi mana?", dimana inilah persepsi sebahagian masyarakat Islam, dan kata-kata ramadhan sebagai bulan latihan, madrasah ramadhan atau sekolah ramadhan itu sekadar di minda .

Kita juga bimbang kehadiran yang ramai berjemaah itu bukan kerana ikhlas yang jitu tetapi kerana adat, kerana kebiasaaan, atau terikut-ikut atau kerana nafsu memberitahu orang lain yang dirinya juga beribadah sebelum ini tetapi lebih suka 'menyorok' di sudut rumah masing-masing .

Ramadhan akan berakhir lagi beberapa hari , tidak dinafikan, sudah kelihatan bilangan jemaah tarawih semakin susut dan marilah berazamlah serta perbetulkan niat agar amalan berpuasa wajib ini dapat diteruskan pada bulan-bulan lain seperti puasa sunat hari isnin, khamis atau hari-hari tertentu, datanglah berjemaah di masjid-surau dan mulakan dengan solat maghrib-isyak dan seterusnya solat subuh. Teruskan bertadarus membaca al Qur'an dan bukan sekadar menunggu setiap malam Jumaat untuk membaca yassin serta malam itu sahajalah anda muncul seminggu sekali berjemaah!!

Cuba anda bayangkan, sekiranya madrasah ramadhan ini benar-benar dihayati dan ramai yang berjaya, pasti masjid-surau akan bertambah jemaahnya, bertambah mesra kariah, rumah-rumah harmoni dengan ayat-ayat Allah, rumah tangga semakin tenang dan tentunya masyarakat semakin tenang mendekatkan diri kepada Allah.

Bila kerahmatan Allah diperolehi maka mudahlah untuk menerima nasihat, seronok menimba ilmu dan seterusnya seronok untuk menerima Islam sebagai cara hidup. Penulis yakin, ramai yang tahu Islam itu sempurna dan syumul tetapi dalam praktikal kehidupan harian masih terbatas, praktis nilai Islam yang terpilih ikut kesesuaian dan Islam yang 'bertompok-tompok'. Persoalannya bukan tidak faham tetapi tidak senorok malah tahu tetapi tidak terpanggil ( artikel pada 21 sept) kerana kita tidak bersungguh mencari kerahmatan Allah tadi.

Begitu juga seolah-olah ramadhan ini bulan eklusif untuk beribadah dimana apabila ramai yang terus gagal meningkatkan kualiti ibadah khusus, juga apabila hasad dengki, batu api, seronok berhibur, sangat mencintai dunia dan lain-lain kemungkaran datang semula sejurus ramadhan berlalu pergi.

Marilah jadikan ramadhan ini berbeza dari ramadhan sebelumnya, kerana mereka yang suka perbezaan yang positif itu akan mendapat natijah positif yang juga berbeza. Jumpa lagi dalam artikel akan datang ' Berbeza Dari Orang Dan Berbeza Dari Yang Lain'.