Pages

Sunday, September 16, 2007

Berbaloikah Berniaga Dan Anda Mengunjungi Bazar Ramadhan?



Bukan mahu menjadi seperti anjing menyalak bukit bila berbicara tentang pesta bazar ramadhan yang sudah lama bertapak di dalam masyarakat kita, tetapi sekadar satu pandangan dan semoga boleh di jadikan satu renungan bersama.

Niat utama orang berdagang ialah mahukan keuntungan dan sebahagian besar dari peniaga bermusim di bazar ramadhan ini berniaga kerana untuk 'mencari wang tambahan untuk hari raya’ nanti dan tidak di nafikan ada sebahagian berniaga makanan itu adalah bisnes hariannya dan diteruskan di sepanjang ramadhan.

Tulisan ini khas di tujukan kepada mereka yang berniat mencari wang tambah untuk hari raya dan cuba renungkan berbaloikah dengan masa dan keuntungan yang diperolehi dari berniaga setahun sekali ini berbanding dengan 'peluang beramal setahun sekali’ ini yang biasanya terganggu bila sibuk mencari wang raya yang tidak seberapa itu. Dari awal lagi sudah cenderung memeriahkan sambutan hari raya dan ini bukanlah ciri-ciri orang yang 'lulus' dari berpuasa. Malah budaya orang kita ini menjadi kehairanan oleh pak-pak Arab, kerana budaya mereka memeriahkan suasana sepanjang ramadhan terutama pada malam hari dan bila aidil fitri disambut ala kadar berbanding kemeriahan hari raya qurban.

Tanyalah kepada mereka yang berniaga di pasar ramadhan itu, bagaimana sibuk membuat persediaan jualan dari pagi hari lagi seterusnya masa diperuntukkan berjual. Sibuk melayan pelanggan dan dalam masa yang sama tanpa di sedari mata , telinga, percakapan dan deria bau yang sibuk itu akan menganggu kualiti puasa.

Penulis pernah terbaca artikel, iaitu para perniaga ini bijak mengambil kesempatan memenuhi nafsu pelanggan yang 'haus dan kelaparan’ ini dengan mempelbagaikan jenis dan bentuk juadah sehingga makanan yang pelek-pelek dijual dan tidak ada dijual semasa bulan-bulan lain. Semasa dan selepas berniaga, letihnya pula bukan kepalang, malah kebiasaan berbuka juga ditempat berniaga, tidak bersama keluarga di rumah dan waktu maghrib masih ditapak bazar serta tidak terurus kesempurnaan solatnya. Dalam beberapa keadaaan, kerana keletihan, waktu maghrib berlalu begitu sahaja. Dan ada yang layu keletihan semasa solat tarawih. Keuntungan berniaga tidak seberapa, keuntungan besar beribadah depan mata di biarkan. Maka berbaloikah mereka yang berniaga setahun sekali ini dan memenuhi kantung khas untuk hari raya sedangkan kantung pahala ramadhan masih nipis. Jika keuntungan yang besar dan bukan pula untuk memeriahkan suasana hari raya, ya! mungkin berbaloi juga, boleh dibelanjakan untuk persekolahan anak-anak atau perbelanjaan harian.

Penulis dan anda yang juga menjadi pengguna, tentu sudah banyak nasihat-nasihat di berikan supaya tidak gelojoh dan membazir ketika berbuka tetapi masih ada yang 'tidak tahan’ bila menengok pelbagai ’kaler’ air, dari warna unggu sehinggalah warna biru! Juga ’tidak tahan’ melihat pelbagai jenis cendol, dan ada kes dimana semasa sujud, 'cendol lain' keluar melalui hidung kerana kekenyangan. Nafsu mata mengalahkan jatidiri orang yang berpuasa, jika masih anak-anak lagi boleh di maafkan tetapi yang berselera ini si ayah dan si ibu anak-anak tadi.

Sebenarnya apabila sudah berada di bazar ramadhan, agak sukar untuk kita menjaga mata, melihat pelbagai jenis makanan, pelbagai aksi manusia, pelbagai fesyen pakaian orang, pelbagai gaya percakapan , melihat aurat orang lain serta telinga juga sukar di jaga. Maka boleh mengempiskan lagi kantung pahala berpuasa setelah kempis semasa di pejabat dan urusan kerja harian yang lain. Ada yang berkata, pesta bazar yang beraneka makanan ini setahun sekali, sedangkan peluang memenuhi kantung pahala puasa ini juga setahun sekali.

Dengan niat menjadikan bulan ini sebagai madrasah mendidik hati, maka jika ada keperluan ke bazar ramdahan, jadilah pengguna yang bijak dan berada di sana pada masa yang singkat. Dan sekiranya perbelanjaan membeli makanan pada bulan ini masih sama atau lebih tinggi dari bulan-bulan biasa, bermakna anda sengaja ’merosakkan’ penat jerih berpuasa dan tidak merancang menjadikan bulan ini satu latihan yang boleh membentuk spiritual malah biologi badan juga tidak mendapat manafaat dari puasa yang kita lakukan.

Pesta bazar ramadhan ini juga membayangkan kefahaman masyarakat kita terhadap hakikat puasa itu sendiri, dan lihatlah lesunya malam-malam ramadhan. Yang bertadarus boleh dikira dengan jari, sebaliknya 'bertadarus' depan TV sebaik balik dari tarawih lebih ramai. Itu belum lagi bila tiba 10 hari terakhir ramahdan yang mana siang hari sibuk ke pasaraya, lebih kenyanglah peniaga-peniaga bukan Islam itu. Kita beraya, mereka semakin kaya, tetapi bila mereka raya, kita putus bekalan makanan, putus pre paid handfon!!

Alangkah baiknya tumpuan kita terhadap puasa yang semakin meninggalkan kita dengan mencari lalilatulqadar, lagi sekali sekalung tahniah kepada mereka yang sudah pun memohon cuti sepanjang 10 hari terakhir demi mahu bersungguh beribadah.

Kepada para duat sekelian, rupanya kerja kita terlalu besar, inilah dia nilai yang ada dan nilai popular di kalangan umat sebangsa. Rupanya mereka masih sibuk dengan kecintaan dunia yang tinggi sehingga ketika berpuasa, dunia masih mengengkang dan rupanya juga kerja dakwah kita tidak menyibukkan mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ke manakah arah hidup mereka dan di mana kita?