Pages

Saturday, October 20, 2007

Sukar Untuk Ingat, Mudah Untuk Lupa

Syukur kehadrat Allah SWT, penulis bersama keluarga selamat sampai ke J.Bahru sebentar tadi pada jam 2 petang dan memohon maaf kerana blog ini terhenti buat seketika disebabkan talian streamyx terlalu perlahan pada beberapa hari yang lepas di Rembau ( rumah mertua).

Terdapat satu sirah seorang sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW iaitu dia berasa kesal dan gelisah apabila kembali bersukaria, kembali lalai dari mengingati kematian dan kembali seperti sedia kala bila mana bersama semula dengan anak isteri, teman-teman selepas mengikuti program ilmu bersama baginda SAW.

Inilah fitrah hati manusia yang amat mudah lupa dan sukar pula untuk sedar akan matlamat sebenar kehidupan ini. Penulis yakin, sebahagian kita mudah lupa apabila sudah bersama dengan sanak saudara, rakan taulan sepanjang menyambut eid fitri baru-baru ini. Tentunya keseronokan ini akan terbekas pada hati dan sukar untuk sedar supaya tidak larut dalam suasana kemeriahan rancangan televisyen, akhbar atau kemeriahan ketika duduk beramai-ramai dalam suasana hati bergembira. Syaitan pula sudah sedia bebas dan mencari ruang-ruang merosakan hati dan melayan nafsu.

Pada kesempatan dan tawaran yang besar kepada mereka yang terus berpuasa sunat pada enam hari pada bulan syawal , maka sepaatutnya kita 'mewajibkan' diri untuk melakukannya. Mengapa 6 hari? Tidak 3 hari atau lebih lagi?

Ada ulamak yang mentafsirkan maksud puasa enam hari ini ialah sebaik-baiknya jumlah hari berpuasa pada setiap bulan. Dalam sebulan, purata ada 4 minggu dan ini bermakna ada 8 hari digalakan berpuasa pada iiatu hari isnin dan khamis. Maka purata 6 hari sebulan berpuasa sunat ini sangat ideal kepada sistem ruh dan fizikal mukmin dan satu amalan yang mampu mendidik hati-hati kita selepas minima 17 rakaat mendirikan solat dalam sehari. Amalan puasa isnin / khamis ini sudah penulis ulas dalam artikel terdahulu yang bertajuk 'sepatutnya kita berpuasa dua bulan!'.

Fitrah hati yang mudah lalai, maka secara fitrah juga Allah merencana setiap ibadah itu untuk hati kekal dalam fitrah. Dan yakinlah semua ibadah khusus ini untuk mengembalikan kita kepada fitrah.

Sepatutnya pada setiap hari kita kekal dalam fitrah bila setiap hari solat, setiap Jumaat diberi peringatan dalam khutbah, satu atau dua hari setiap minggu berpuasa sunat, sebulan berpuasa wajib dalam setahun, sekali setahun berzakat fitrah dan harta dan sekali seumur hidup kembali kepada fitrah dengan menunaikan haji. Persoalannya mengapa masih sukar untuk ingat mengekalkan fitrah ini!!

Juga sepatutnya tiada ruang untuk kita sentiasa leka dari memfitrahkan spiritual dan memfitrahkan biologi sekiranya amalan harian, mingguan, bulanan dan sekali seumur hidup ini benar-benar hidup dan berkualiti.

Berkualitikah ibadah-ibadah khusus dan ibadah-ibadah yang lain? Allah Maha mengetahui dan kita sendiri tahu akan jawapannnya!!