Pages

Thursday, June 26, 2008

Harta Benda Yang Sihat Cergas

Sanad dari isteri saya, apabila dia menceritakan kepada salah seorang dari kenalannya yang juga seorang doktor akan seorang doktor wanita yang juga di kenali sudah menjadi jutawan, kenalan isteri saya itu seolah-olah tidak percaya cerita jutawan muda itu. Jutawan yang bukan doktor pakar itu membuka sebuah klinik bersalin di salah sebuah negeri di utara Semenanjung dan khabarnya kini hidup bergaya.

Dalam kisah yang lain, seorang kenalan saya pula, dia dan isterinya merupakan pegawai kerajaan ( bukan doktor), pernah berkunjung ke rumahnya yang ruang tamu di letakkan sofa yang sudah uzur dan terkoyak serta langsir rumahnya yang kelihatan dhaif. Juga kelihatan susun atur rumahnya yang ’menyemakkan’ mata.

Dan satu kisah lagi, seorang kerabat saya yang bergaji sederhana yang menyewa rumah pangsa, memiliki kereta kancil, perabut rumahnya sederhana dan kemas serta sedap mata memandang.

Perkara yang ingin saya bincangkan di sini ialah tentang imej diri dan melihat keperluan dunia secara menyeluruh serta sudut pandangan pihak ketiga.

Maksud dari sabda Nabi SAW iaitu manusia tidak pernah merasa puas dengan rezekinya, jika diberikan sebuah gunung emas, dia terus teruja untuk memiliki gunung emas yang lain.

Terdapat kisah-kisah sahabat, tabiien sehinggalah orang soleh yang lain akan melihat nikmat dunia dengan ’sebelah mata’ serta tidak berbekas di hati. Begitu juga ada kisah mereka yang merasai nikmat dunia dan juga tidak berbekas dalam hatinya. Abdul Rahman bin Auf , jutawan yang di janjikan syurga, memiliki penampilan seorang ahli perniagaan antarabangsa di zamannya. Ketika saidatina Aisyah seolah-olah ’menegur’ kumpulan debu-debu yang dari jauh sudah kelihatan akibat dari ribuan unta-untanya yang membawa barang dagangannya, beliau terus menginfakkan sebahagian besar keuntungan perniagaannya untuk jalan Allah. Imam Malik pula, sejak kecilnya sehingga menjadai ulamak terkenal, sentiasa berpakain kemas dan berwangian. Dan beberapa kisah alim ulamak yang mempunyai imej tersendiri tetapi hati mereka tidak terpaut pada dunia.

Jiwa yang tidak kuat hubungan dengan Allah, dan apabila di beri rezeki yang lebih, bukan sahaja sukar untuk hidup bersederhana, malah bicara-bualnya juga tentang hal-hal keduniaan. Begitu juga, ada orang yang di beri rezeki kelebihan pada kecerdikan anak-anak yang agak lebih dari orang lain, dan dengan perasaan 'bangga’, ada ibubapa yang 'tersasul’ menceritakan hal-hal anak mereka kepada orang lain

Sebelum ini, saya ada menulis iaitu ada orang yang merasakan sudah berzuhud dan hidup ’cincai’ tetapi sebenarnya itulah kemampuan kewangannya. Berbalik kepada kisah orang yang berkemampuan seperti kisah kedua diatas tadi, memanglah tidak salah dan sofa yang koyak masih boleh digunakan, tetapi apakah mesej yang ingin di bawa?

Jika imej bersederhana dengan dunia, tetapi keadaan rumah yang ’berkecamuk’ itu juga membawa maksud bersederhana atau zuhud? Sebagai orang ingin membawa mesej dakwah kepada orang lain, rumah kita sangat-sangat mengalu-alukan kehadiran jiran tetangga, ahli kariah dan saudara-mara. Dan mereka datang dengan pelbagai status dan pelbagai kefahaman. Usah 'menakutkan’ orang lain dengan imej Islam yang sebenar atau beginikah gaya hidup untuk mengambil Islam secara syumul? Dan ada juga yang langsung tiada sofa di rumah, sekadar bersila di atas karpet usang!! Juga sebagai nota tambahan, keadaan dalam keretanya juga 'berceramuk’ dan hapak pula baunya!!! Moga di fahami imej holistik seorang daie.

Begitu juga sebaliknya, ada insan duat yang berlebih-lebih pula jenis kenderaan, dan hiasan rumah ala-ala Bali!! Harta benda yang sihat amat membantu kehidupan dan melancarkan urusan akhirat. Jadilah ORANG YANG TIDAK MENYUSAHKAN ORANG LAIN DAN DALAM MASA YANG SAMA MAMPU MENYENANGKAN ORANG LAIN. Ramai orang yang tidak meminta-minta tetapi dia tidak dapat memberi bila di minta darinya.

Mesej seterusnya ialah JADILAH DAN BERUSAHALAH MENJADI JUTAWAN DI AKHIRAT kerana impian menjadi jutawan di dunia ini adalah sukar dan mudah merosakkan jiwa. Dan kita semua sedia maklum, lebih mudah menjadi jutawan di akhirat namun ianya bersyarat. Bukan sahaja ibadah khusus dan ibadah kehidupan yang berkuantiti tetapi berkualiti.