Pages

Saturday, October 6, 2007

Bagi Yang Berfikir, Tiada yang Biasa-Biasa Melainkan Semuanya LUAR BIASA


( petikan dari buku bakal terbit, syarah BioMekanik Solat- ibadah Yang Dinamik)

Didalam surah ArRahman sahaja sebanyak 31kali dari 78 jumlah keseluruhan ayat, Allah bertanya dan menyeru kepada manusia berulang-ulang kali supaya berfikir akan nikmat-nikmat-Nya. "Nikmat manakah yang hendak kamu dustakan!? Begitu juga terdapat lebih dari 70 ayat lain yang menyebut tentang fikir atau faham . Tetapi minda bawah sedar yang tidak terlatih akan melihat setiap penciptaan Allah itu sesuatu yang fitrah dan semulajadi. Sepatutnya harus berhati-hati bila menyebut alam, kejadian atau panorama semulajadi ini, dimana sebagai muslim yang peka kita sepatutnya berkata inilah ciptaan Allah SWT.

Bagaimana melatih minda supaya sentiasa berfikir dan melihat setiap ciptaan Allah ini bukan sesuatu yang biasa? Atau adakah apabila sudah mendapat sesuatu bencana, musibah atau sesuatu penyakit, baru teringatkan nikmat dan kurniaan-Nya? Itupun masih ramai yang sukar mahu memikirkannya, mereka masih berkata, sudah nasib badan bila gigi hilang beberapa batang dalam kemalangan jalanraya! Sedangkan lihatlah sahaja penciptaan gigi yang unik, yang berpasangan kiri-kanan, atas-bawah. Jika sebatang sahaja gigi geraham itu terpanjang sedikir, sukar untuk kita mengunyah! Apalagi jika bentuk gigi semuanya sama! Jika orang yang giginya rongak, boleh menjatuhkan imejnya yang kacak atau berpendidikan tinggi. Luar biasanya penciptaan gigi ini! Dan amat luar biasa penciptaan organ-organ lain yang lebih komplek.

Didalam AlQuran juga Allah menyuruh manusia supaya berfikir tentang penciptaan sekecil-kecil serangga seperti semut, lebah sehinggalah haiwan yang lebih besar seperti lembu dan unta. Fahamilah bagaimana luar biasanya semut-semut ini ’bertukang’ membuat rumah (sarang), lebah yang melakukan ’tarian tertentu’ untuk memberitahu rakan-rakannya dimanakan terdapat nektar yang banyak dan unta yang boleh hidup tanpa air berhari-hari lamanya!

Manusia yang mahukan kecemerlangan, impikan kegemilangan dan ingin disebut-sebut orang sehingga terbilang, bermakna mereka memilih sesuatu yang luar biasa. Setiap dari kita ada hajat yang luar biasa ini, hajat pada kejayaan anak-anak, pada pangkat, wang ringgit, kerjaya dan pelbagai lagi hajat-hajat lain.

Dan orang yang mencari sesuatu yang luar biasa, sikap, cara kerja dan cara berfikirnya juga luar biasa. Sedangkan orang sudah berusaha secara luar biasa belum tentu hasil kerjanya pada tahap biasa! Ramai pelajar yang sudah bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran tetapi keputusan peperiksaan masih biasa, apalagi jika usaha yang biasa-biasa, mungkin terus gagal mencapai keputusan yang di inginkan. Begitu juga tidak kurang usahawan yang siang malam bergelumang tetapi perniagaannya masih sekadar cukup makan sahaja!


Didalam Islam, ada hari yang lebih luar biasa dari hari-hari lain yang juga luar biasa iaitu hari Jumaat, bulan yang lebih luar biasa iaitu bulan ramadhan, malam yang lebih luar biasa iaitu malam lailatulqadar, Al Quran lebih luar biasa dari kitab-kitab nabi yang lain, Alfatihah- surah yang lebih luar biasa dari surah-surah yang lain, bahasa Arab itu lebih luar biasa dari bahasa-bahasa lain, malah nabi kita, Muhammad SAW-lebih luar biasa dari nabi dan rasul-rasul yang lain.

Kita mesti merasakan dan memahami semua perkara yang disebut tadi. Maka untuk mendekati dan menghayati yang lebih luar biasa ini memerlukan usaha yang lebih luar biasa atau paling tidak yang luar dari yang biasa-biasa.

Jika kita beranggap, penghulu hari iaitu hari Jumaat itu sebagai hari-hari biasa, maka kedatangannya masih sama dirasai, solat Jumaat sudah menjadi rutin mingguan, khutbah juga menjadi syarahan biasa.

Begitu juga, setiap kali membaca al Fatihah tidak merasai kehebatannya, surah yang mencakupi isikandung seluruh Al Quran sebagai panduan hidup sedangkan kita wajib membacanya pada setiap rakaat solat lima waktu dan ditambah pada solat sunat, MAKA kita membacanya dalam keadaan fikiran melayang-layang ketika solat atau diluar solat!

Apabila merasai Al Quran itu tidak luar biasa, maka tidak teruja untuk membacanya pada setiap hari apalagi mahu menghafal serta mendalami isikandungannya. Ada yang beranggapan, bila hendak jadi ustaz atau bijak pandai agama, baharulah belajar tafsirnya. Ada yang tidak tahu berapakah jumlah surah? Atau ada rajin bertadarus pada bulan ekslusif beribadah iaitu pada bulan ramadhan. Malah terdapat pandangan yang sempit, badan akan jadi ’panas’ bila terlalu lama bertadarus, dan pandangan ini keluar dari mulut ahli agama!!

HANYA hati yang mahu mendekati Allah secara bersungguh, yang sangat mencintai Islam, yang mahu beramal dengan Islam semaksima yang mungkin didalam setiap aspek kehidupan akan sentiasa memikirkan luar biasanya ciptaan dan aturan Allah ini. Muslim yang mencintai Islam dan yang ingin beramal dengan amalan Islam yang syumul itu, mereka muslim yang luar biasa, kerana muslim yang biasa-biasa, amalan Islamnya bercampur aduk dan mengelirukan.

Pemahaman untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup, ianya hasil ilmu yang sahih, aqidah yang sahih dan sifatnya juga luar dari kebiasaan. Sekian lama Islam sudah menjadi dagang atau dengan unggkapan yang lebih tepat, Islam tidak lagi luar biasa malah dianggap biasa dan setaraf dengan nilai-nilai lain. Maka tidak hairan Islam dipraktik mengikut keserasian pada naluri masing-masing.

Walaupun sudah ramai yang mendakwa telah mempraktikan Islam dalam banyak bidang, perbankan Islam, ekonomi islam, takaful Islam, pajak gadai Islam, tadika Islam, sekolah Islam, Universiti Islam tetapi didalam sistem hidup yang lain Islam tidak diamalkan. Hukum hakam manusia masih di agungkan dalam perundangan, ekonomi makro masih ikut fahaman manusia, politik untuk kepentingan individu atau golongan tertentu, pemimpin dikalangan yang berpengaruh, popular dan yang berkuasa, riba berleluasa, media massa yang carca merba ( semua ada), sehingga kepada amalan dalam kelompok masyarakat yang keliru dengan nilai Islam sebenar bila mengadakan majlis perkahwinan, menyambut perayaan hari raya, dunia hiburan menjadi satu kemestian pada setiap peringkat umur, masjid-masjid sekadar tempat solat dan ceramah agama, jumlah jemaahnya mungkin 10 peratus dari jumlah kariah, juga menyempitkan amal ibadah itu adalah amalan rohi semata-mata. Walaupun sudah ramai memahami makna ibadah itu dalam setiap amal perbuatan tetapi ianya masih di minda dan tidak pada praktikalnya bilamana tidak disertakan dengan niat secara sengaja dan sedar.

Saranan untuk menjadi orang yang luar biasa untuk mengecapi sesuatu yang luar biasa itu, maka luar biasalah dalam semua amal. Bermula dari amal utama sehinggalah sekecil-kecil amal. Orang biasa, solatnya lalai, orang luar biasa berusaha untuk khusyuk!. Orang biasa, sesekali bertadarus, orang luar biasa berusaha khatam sekerap yang boleh, orang biasa tidak menghayati isi kandung al Quran tetapi orang luar biasa bermentelaah maksud kata-kata Allah itu. Orang biasa, solatnya dirumah, orang luar biasa suka berjemaah mencari ganjaran lebih besar dan bermesra dengan kariahnya. Orang biasa, subuhnya dirumah, orang luar biasa bukan sahaja berjemaah tetapi subuhnya menjadi amal diawal pagi yang memotivasikan hidupnya untuk sepanjang hari. Orang biasa, puasanya di dalam bulan ramadhan sahaja tetapi orang luar biasa, mewajibkan puasa pada hari lain, khasnya hari isnin/khamis. Orang luar biasa juga istiqamah berjaga malam dan terus berusaha mendekatkan fizaikal dan hati kepada Allah SWT.

Orang biasa, tetap beribadah tetapi masih mengambil sistem riba, masih leka seronok dengan hiburan, seronok dengan pesta makanan di bulan ramadhan, sekadar seronok beramai-ramai bertarawih, berlebih-lebih menyambut hari raya sebaliknya orang yang luar biasa, dia mengambil Islam tanpa memilih-milih, dia bersungguh mendapat lalilatulqadar, masih berjemaah pada bulan-bulan lain, berhati-hati dengan hiburan dan memilih zuhud secara holistik mengikut kemampuan dan status dirinya.

Sedangkan Islam itu sangat luar biasa, setiap amal khusus, solat, puasa, zakat, haji , doa, zikir adalah amalan yang sangat luar biasa kepada yang menghayati dan mengkajinya. Islam sangat luar biasa kesesuaiannya dalam setiap inchi kehidupan.

Bersamalah berusahalah menjadi individu yang luar biasa dalam setiap aspek kehidupan.Luar biasa ini juga bermakna memilih BERBEZA dari yang lain. Adakah anda seorang remaja yang berbeza dari remaja lain, anda ibubapa yang berbeza dari ibubapa yang lain, anda seorang pelajar, guru-pensyarah, eksekutif, pekerja biasa, ustaz-ustazah, imam, ahli politik, pemimpin, peniaga yang berbeza dari yang lain-lain atau anda DAIE yang berbeza dari daie yang lain?