Pages

Wednesday, December 9, 2009

Masa sudah berlalu dan terbuang......

Apabila membuka dan membaca beberapa buah buku nota dan dairi lama yang sudah bertukar warna kekuningan, mengembalikan nostalgia lama berada dalam latihan memperbaiki diri ini. Perkataan tarbiyah dan dakwah itu sudah menjadi bahasa biasa, dan mungkin tidak terbilang bilangan kehadiran didalam usrah, beriadah, berdaurah, mukhaiyam maupun katibah dan seumpamanya.

Juga masih segar dalam ingatan teman-teman seperjuangan yang usianya kini pada awal 40an dan majoritinya melepasi 45 tahun. Dan sesekali bertanya, dimana mereka sekarang? Dalam pengetahuan saya, ada 3 golongan, pertama yang kekal dalam harakah Islamiah, yang masih dalam saf tanpa harakah dan golongan ke 3 ialah yang tidak dalam saf lagi. Manakala yang kekal berharakah pula, ada yang terus menjadi penumpang dan segelintir yang menjadi pemandu. Ketiga-tiga golongan ini, bukan sedikit masa berpengalaman dalam kerangka dakwah, malah ada yang belasan tahun, tetapi kini menjadi pemerhati sahaja, paling tidak menjadi mukmin yang berperibadi.

Sebelum itu, maksud tulisan ini ialah untuk menjadi panduan kepada generasi baru pendakwah dan dinasihatkan jangan diulang akan kesilapan yang sudah berlaku pada generasi terdahulu yang saya nyatakan diatas.

Dan wujud kebimbangan bilamana saya melihat SKRIP lama ini seolah-olah sedang diulang dan dipraktis oleh generasi baru ini!

Kualiti dan kuantiti , sepasang istilah yang berbeza umpama langit dengan bumi. Manakala masa itu adalah kehidupan.

Apabila terlebih menjaga kualiti, tidak dinafikan sudah banyak masa digunakan, iaitu dengan kata lain masa sudah terbuang untuk menghasilkan yang terbaik.

Manakala apabila terlebih menjaga kuantiti, juga tidak dinafikan telah gagal untuk menghasilkan sesuatu yang baik, iaitu buang masa sahaja menghasilkannya kerana kualitinya rendah.
Kuantiti lebih mudah berbanding menjaga kualiti. Ini disebabkan, masa yang lama dan penyelidikan yang mendalam diperlukan untuk menghasilkannya.

Menghasilkan sesuatu yang berkualiti dalam kuantiti yang banyak adalah sesuatu yang sukar. Bukan sahaja dalam kontek menghasilkan barangan, tetapi dalam kontek kemanusiaan.
Manusia yang berkualiti, kuantitinya sedikit, manakala SELALUNYA kelompok manusia yang berkuantiti, kualitinya rendah. Malah golongan majoriti tetapi lemah ini, boleh merosakkan golongan minoriti yang berkualiti.

Apakah saya bermaksud setelah melihat kualiti ahli-ahli usrah sezaman saya dahulu, maka sebenarnya telah banyak masa digunakan dan adakah masa terbuang begitu sahaja ketika berusrah, beriadhah, berqiam dan sebagainya?

Memang benar, semua itu amalan soleh yang berpahala, tetapi yang ingin dilihat ialah hasilnya! Sebagai contoh, sekian lama duduk dalam sistem asas tarbiyah, iaitu usrah ( malah ada yang tidak terkira bertukar kumpulan usrahnya), tetapi hasilnya mereka sudah pun terpecah kepada 3 golongan tadi! Sekian lamanya diajukan supaya beriadhah, tetapi boleh dituding dengan jari mereka yang kekal mengamalkan hidup cergas pada usia 40an.
Gabungan pelbagai program ilmuan yang sengaja dirancang, tetapi tidak juga melahirkan pemidato, penceramah, penulis atau pemimpin / tokoh dalam masyarakat! Sedangkan dalam kerjaya dunia, mereka ini hebat dalam jawatan dan hebat jenama namanya!

Dan seperti dalam tulisan yang lalu, saya suka ulang sebut- sepatutnya sistem tarbiyah ini yang sekian lama masa diambil, sudah melahirkan ramai Ustaz dikalangan yang bukan Ustaz dan melahirkan ulamak di kalangan ustaz/zah serta melahirkan ulamak yang berketerampilan dalam semua bidang.

Menganjurkan, menyusun pelbagai program itu adalah kuantiti program. Takwim tahunan mudah diisi dan boleh diulang program yang sama pada tahun berikutnya. Tetapi yang menjadi persoalan ialah kuantiti setiap program yang dianjurkan.

Walaupun mendakwa program itu berobjektif dan terarah, tetapi kajilah berapa banyak usrah yang benar-benar berkualiti? Berapa banyak pula program internal lain yang benar-benar terkesan pada setiap yang hadir?

Begitu juga, adakah membuang masa atau masa sudah terbuang apabila program eksternal pula sekadar diadakah? Menjadi kesilapan besar, apabila masih menjadikan mempopularkan organisasi sebagai objektif utama pada tahap sekarang ini. Sepatutnya sudah mengorak langkah kepada objektif pencapaian sesuatu program dan dalam masa yang sama meneruskan objektif organisasi terus dikenali oleh khalayak.

Pengalaman demi pengalaman sudah diperolehi tetapi mengapa tidak belajar dari pengalaman? Kejayaan mengadakan seminar yang besar atau sesuatu konvensyen bukanlah kayu ukur yang tepat atau untuk mengukur kesatuan hati dalam berukhwah, kerana orang lain yang termasuk orang kafir juga boleh mengadakan program ‘high impact’ ini dan bilangan tenaga kerja mereka tidak ramai.

Saya sangat mengalu-alukan generasi baru ini menimba sebanyak-banyak pengalaman dalam menjaya program dakwah ini dalam pelbagai versi, tetapi selain menitik beratkan kesannya pada orang ramai, hendaklah kemas sistem susulan atau timbal baliknya. Ianya sukar, tetapi yang sukar inilah yang dinamakan pengorbanan.
( bersambung....)