Agak kaget sebentar apabila saya terbaca satu artikel yang di tulis seperti berikut, Allah SWT sebenarnya sangat 'sibuk' dengan urusan-Nya mengatur kehidupan manusia, alam dunia, alam barzah dan alam-alam yang bakal manusia tempuhi di akhirat kelak.
Kita sudah biasa dengan kesibukan, sejak zaman awal persekolahan lagi, malah anak-anak di tadika sibuk untuk belajar pelbagai perkara dan sehinggalah memasuki alam perkerjaan, alam perkahwinan dan seterusnya. Setelah menamatkan dunia perkerjaan formal, sibuk pula dengan hal-hal anak-anak dan cucu serta ada yang sibuk menguruskan ehwal kesihatan diri. Dan kesibukan itu 'terhenti' seketika apabila mati tetapi seperti yang kita imani bahawa ROH pula akan berterusan sibuk dengan pelbagai soalan di alam barzah nanti. Ada roh yang sibuk mendapat kerahmatan dari Allah dan yang sibuk dengan azab.
Ketika dalam senang, gembira, kesusahan,kedukaan, manusia tetap akan sibuk. Bukan fizikal sahaja yang sibuk, tetapi emosi, fikiran juga akan sibuk. Malah kesibukan fizikal lebih mudah di tangani berbanding dengan mengurus emosi dan kesibukan untuk berfikir. Memang terasa amat sibuk bila minda, emosi dan fizikal terpaksa memberi tumpuan terhadap sesuatu tugasan. Ada tugasan yang sengaja di cipta dan tugasan yang diberi oleh pihak lain.
Semakin besar kemampuan dan tanggung jawab, maka semakin sibuklah seseorang itu, persoalannya adakah fikiran dan emosi kita akan sibuk bila sedang melakukan tugasan khas bila berhadapan dengan Allah SWT. Betapa ramai dari kita, MINDAnya TIDAK SIBUK ketika solat dan berzikir? Emosi tidak ghairah untuk Allah sepertimana bila menguruskan urusan dunia!!.INi adalah tugasan yang diwajibkan dan begitu juga kita tidak sibuk untuk MENCIPTA tugasan lain seperti sibuk berpuasa sunat, bertadarus al Qur'an atau sibuk mencipta kebaikan untuk orang lain.
Jika kesibukan di dunia sudah menjadi kebiasaan dan sudah mampu di tangani, namun mengapa urusan akhirat seolah-olah kita tidak sibuk? Dan juga tidak biasa sibukkan diri untuk akhirat, sedangkan kesibukan di padang mahsar nanti tiada tolok bandingnya!