Sehingga dilagukan dan dipuisikan bahawa iman seseorang itu tidak akan diwarisi dari ibubapanya, namun begitu tidak kurang anak-anak lebih soleh dari ibubapa mereka sendiri! Rata-rata kita menerima ungkapan bahawa IMAN TIDAK DIWARISI ini. Dengan kata lain kualiti dan darejat keimanan adalah hasil usaha seseorang namun begitu usaha awal mencorak kain putih dan melentur buluh ini sejak manusia dari rebung lagi oleh penjaga yang diamanahkan.
Bagaimana pula dengan kemungkaran? Jika penulis mengatakan kemungkaran boleh diwarisi, anda bersetuju? Penulis mulakan begini. Kita biasa membaca atau melihat atau mendengar pelbagai ragam kemungkaran dan kemaksiatan yang dikatakan bermula dari bangun tidur, di dalam rumah, diluar rumah sehinggalah kita tidur semula dan penulis biasa menggunakan istilah 'sudah tiada ayat atau bahasa lagi yang sesuai untuk mengambarkan jeliknya gejala maksiat'. Dan jika anda perasan, dihujung ayat atau ceramah yang kita biasa dengar itu ialah perkataan kemungkaran PADA HARI INI.
Seolah-olah kemungkaran dan maksiat yang ada pada hari ini TIDAK SAMA DENGAN MAKSIAT SEBELUM-BELUM INI? Adakah remaja zaman 60an, 70an, 80an ( sezaman penulis) atau 90an dan tahun dua ribu ini berbeza kemaksiatannya? Yang berbeza ialah peluang dan kecenderungan melakukanya sedangkan jenis maksiatnya SAMA. Maksiat sekarang lebih universal dan ada dihujung jari sahaja.
Kalau dulu pada tahun 60an-70an, remajanya (kini merupakan ibubapa remaja sekarang ) juga 'dibuai' dengan irama pop yeh,yeh, irama pop, dangdut, kelab-kelab malam, funfare, joget lambat, dan pelbagai gejala hiburan yang melekakan. Ganja pula bukan perkara baru dan pusat penagihan dadah sudah lama ditubuhkan. Rasuah juga bukan juga perkara baru, bezanya rasuah ikan bilis atau jerung, penipu kolar biru atau kolar putih. Orang dulu juga ketagih todi, orang sekarang ketagih arak malah ketagihan rokok langsung tiada bezanya dulu dan sekarang. Pergaulan bebas remaja ago-go dulu dengan sekarang juga tiada bezanya, beza dari kaedah komunikasi mereka, dulu melalui posmen tak bergaji, kini dengan sms sahaja sudah terpacul depan pintu. Pakaian muda mudi ago-go juga sendat malah skitnya atas lutut, juga tiada beza. Perzinaan dikalangan remaja dulu berlaku mungkin lapuran media tidak seperti sekarang yang mana dalam internet boleh dilihat video free remaja Islam bercumbuan dan berzina (tahniah kepada mereka yang telah berusaha memantau laman lucah tempatan ).Orang dulu juga ada yang berperangai gangster, kaki judi, kaki pukul, perosak harta awam, mendera anak, memukul isteri DAN PELBAGAI LAGI SENARAI KEMUNGKARAN.
Bolehkah kita katagorikan kemungkaran ini 'boleh diwarisi' dari generasi ke generasi yang lain?. Terbayangkah anda lagi 10-20 tahun,teknologi manusia semakin canggun ( cinggih + anggun), sedangkan maksiat juga akan ikut canggun. Dan pastinya generasi akan datang akan 'mewarisi'nya, persoalannya apakah kaedah dan pendekatan untuk menyekat kebanjiran pelbagai bentuk kemungkaran ini?
Orang yang sedar tidak pernah duduk diam berusaha mengatasi gejala akhlak 'ahli neraka' ini, dari pemerintah, orang politik, badan NGO, para ulamak, sehinggalah kepada individu yang mencemuh dari hatinya sahaja. Ratusan jutaan wang sudah dihabiskan, pelbagai jenama kempen, pelbagai biro ditubuhkan, pelbagai seminar, kursus, konferansi malah jutaan ringgit untuk membaik pulih mereka yang sudah rosak terjebak dalam gejala kemungkaran ini. Namun ramai yang mengeluh akan keberhasilannya malah umpama api dalam sekam, maksiat demi maksiat yang tidak pernah reda.
Sekiranya kita mengatakan seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, mungkin ada yang sensitif, tetapi kena terima hakikat kebenarannya. Kempen membenteras rasuah, sebaliknya 'ketam rasuah' itu masih senget jalannya. Mengingatkan anak-anak muda supaya jangan leka dengan lipur lara keterlaluan, tetapi kita dihidangkan dengan beberapa program realiti sehingga ke realiti tarian seksi dan realiti untuk orang-orang veteran! Kempen merokok, pemimpin sendiri di lobi Parlimen asap rokok berkepul-kepul , si ayah perokok tentu sukar melarang anaknya dari merokok!. Menyuruh masyarakat bersivik, sebaliknya yang menyarankan itu rendah siviknya! Menyuruh meningkatkan ilmu dengan membaca tetapi kita dihidangkan dengan bahan-bahan bacaan berunsur lucah yang mudah dibeli dikaki-kai lima, majalah hiburan yang umpama cendawan tumbuh atau akhbar yang isikandungannya rojak dan mengelirukan pembaca( pernah disentuh pada tulisan sebelum ini). Dan banyak lagi contoh-contoh ketam yang tetap jalan senget dalam kontek membetulkan perkara yang tidak betul ini. ATAU ANAK-ANAK DIBERI MADU OLEH IBUBAPA TETAPI ADA PIHAK LAIN MEMBERI MEREKA RACUN. Ada yang 'kebal' dari racun bila dos madunya mencukupi dan ada yang rosak kerana setitis racun sahaja.
Kerja mencegah mungkar ini memang meletihkan dan memeningkan banyak pihak tetapi lebih letih lagi bila pendekatan yang diambil sama seperti mencantas daun atau rantik-rantik yang rosak, sebaliknya akar tidak diracun malah terlupa untuk diberi baja yang sesuai. Akhirnya, daun-ranting yang rosak ini akan terus rosak dan akan menghasilkan buah yang rosak!!
__________________________________________________________________
Apabila terlalu diwar-warkan dan terlalu terperinci lapuran di dada-dada akhbar dalam kes jenayah seksual di mahkamah atau yang belum masuk mahkamah (sebaliknya tidak pula disebut secara terperinci oleh pembaca berita televisyen), adakah ianya membantu menyedarkan khalayak akan kes jenayah atau sekadar sensasi atau berita jenayah seksual ini menjadi bahan 'komersial' perniagaan!!!....atau akan mengalakkan lagi jenayah ini? (I.Allah , artikel akan datang)