Pages

Wednesday, July 23, 2008

Keyakinan Manusia Yang Terbatas

Kira-kira dua bulan yang lalu, bapa mertua saya, Hj Alias tiba-tiba terasa sukar untuk berjalan dan kaki serta tangan kirinya semakin lemah. Isteri saya terus mengambil inisiatif untuk pemeriksaan CTscan kepala dan disahkan terdapat ketumbuhan sebesar 6cm x 4cm, meningioma ( ketumbuhan selaput otak yang bukan barah) di sebelah kanan parietal otak.

Setelah beberapa siri pemeriksaan kesihatan di HUKM, dan ketika itu kedua-dua kaki dan tangan kiri 'tidak berfungsi' lagi, beliau di dapati 'fit' untuk pembedahan, dimana beliau memang seorang pengidap kencing manis dan asma serta pernah salur jantung tersumbat. Pada 3 minggu lepas beliau di masukkan ke wad neuro surgeri HUKM dan pembedahan selama 3 jam di lakukan. Tidak sampai dua hari di ICU, beliau keluar dari ICU dalam keadaan sihat dan bertenaga. Malah beliau sendiri menelepon keluarga dan kenalannya yang beliau sudah sembuh dimana kedua-dua kaki dan tangan kirinya sudah boleh diangkat.

Kami sekeluarga gembira dengan perkembangannya, dan bertambah yakin beliau akan aktif berkerja di halaman rumah , suka melakukan kebajikan pada tetangga dan memandu seperti biasa pada usia 75 tahun

Dengan penyusunan Allah, tiba-tiba pada hari ke 4, beliau mendapat serangan asma dan paras gula darah amat tinggi (kesan ubat steriod untuk mengurangkan bengkak selepas pembedahan), dan paru-parunya dijangkiti kuman. Pada zahirnya jangkitan dan serangan asmanya dapat di kawal dan pada hari ke 10, dimana beliau dalam pertimbangan untuk di bawa pulang ke rumah di Padang Lebar, Rembau, beliau tiba-tiba pengsan dan di dapati paru-parunya di penuhi oleh air dari perut.

Beliau di masukkan semula ke ICU dan pada tahap sepsis ( jangkitan menyeluruh), akhirnya seperti tertulis dalam ketentuan-Nya, beliau kembali ke rahmatullah pada jam 5.15 pagi, isnin lepas.

Bukan sahaja kami sekeluarga yang menaruh harapan tinggi, begitu juga 'team' pakar-pakar bedah saraf HUKM yang merasakan pembedahan itu sebenarnya berjaya, tetapi komplikasi dari masalah kesihatan yang lain sebagai sebab pemergian beliau.

Semoga rohnya bersama orang-orang soleh yang mendapat kelapangan kubur dan terlepas dari azab kubur dan kami yang melihat jenazahnya semasa dimandikan, beliau akan mendapat syurga-Nya,iaitu alam kekal yang di impikan oleh setiap dari kita.