Pages

Saturday, April 11, 2009

Ibadah BIOLOGI dan Ibadah RABBANI

Apabila semakin saya membaca dan mendalami ilmu perubatan alternatif seperti meditasi, hypnosis, Yoga , natural healing dan beberapa yang lain, saya dapati teknik berkesan yang mereka amalkan ialah GABUNGAN atau KESATUAN semua teknik-teknik seperti penafasan, pergerakan, fokus minda dan imaginasi. Sekiranya teknik-teknik itu tidak digabungkan atau masih berasingan, maka kesan terapi dari amalan tersebut pada tahap minima.

Sebelum ini, saya ada menyebut bahawa teknik khusyuk melalui set minda, penafasan, pandangan mata, pendengaran, berimaginasi dan pergerakan tokma’ninah adalah KHUSYUK BIOLOGI, manakala KHUSYUK RABBANI ialah kehadiran hati menikmati akan kebesaran Allah melalui makna-makna bacaan dalam solat serta gambaran jelas akan balasan dihari perhitungan nanti. Persoalannya :-

1.Adakah khusyuk biologi ini boleh membawa kepada khusyuk rabbani?
2.Apakah khusyuk rabbani diperolehi tanpa khusyuk biologi?
3. Seperti amalan alternatif tadi, adakah mesti digabungkan kedua-dua katagori khusyuk ini untuk mendapat kesan maksima sehingga setiap ibadah itu menjadi terapi?
4. Apakah yang dimaksudkan pula terapi biologi dan terapi rabbani dari amalan ibadah?
5.Apakah khusyuk itu merujuk kepada solat semata-mata?

Setelah kira-kira dua tahun, saya memperkenalkan BioMekanik solat, dan adalah tidak adil jika saya mengambil diri sendiri sebagai rujukan, dimana terdapat beberapa emel dan testimoni secara lisan yang boleh dijadikan rujukan. Apa yang dapat disimpulkan dari testimoni tersebut ialah, apabila telinga berusaha mendengar apa yang dibaca, mata sengaja tertumpu pada titik sujud, sengaja berdiri tegak, meratakan badan ketika rukuk dan menekan semua anggota sujud, juga berusaha membayangkan bentuk-bentuk huruf ayat bacaan, membayangkan bentuk Kaabah, maka dengan sendirinya otak mampu dikawal akan ‘keliarannya’ dan keaktifannya, lebih mudah memahami apa yang dibaca. Lalu semakin mudah mendapat khusyuk rabbani.

Sebaliknya, jika fokus kepada menghayati makna bacaan, atau harapan tinggi solat itu diterima Allah atau dengan kata lain kearah khusyuk rabbani tadi, ianya boleh tercapai tetapi sukar untuk dikekalkan sepanjang solat itu didirikan.

Maka khusyuk biologi sangat membantu mencapai khusyuk hakiki iaitu khusyuk rabbani dan juga sistem biologi yang kita yang dipengaruhi oleh jenis pemakanan, sumber makanan, biologi mata penglihatan dan pertuturan akan mempengaruhi khusyuk rabbani.

Sebelum ini, saya ada memberi perkongsian pengalaman, iaitu untuk memulakan khusyuk biologi bermula dengan kemahiran mendengar apa yang dibaca. Tetapi sekiranya tidak diikuti dengan memahami dan menghayati apa yang didengar itu, maka tahap khusyuk itu tidak dipertingkatkan.

Ini bermakna, seperti amalan alternatif tadi, gabungan semua khusyuk biologi akan menambah nilai solat secara fizikal dan nilai solat disisi Allah SWT.

Semoga usaha gigih yang sedang dilakukan oleh isteri saya yang ingin mengadakan ‘klinik’ atau ‘pusat’ BioIbadah akan berhasil. Dan dari situ nanti lebih memudahkan untuk mengkaji kesan ibadah sebagai terapi biologi dan terapi rohi. Dengan mengambil pendekatan ibadah secara holistik, dimana melihat kesannya secara menyeluruh terhadap spiritual dan biologi, maka cara beribadah juga mesti dilaksanakan secara holistik.

Apabila solat diterima oleh Allah SWT, maka barulah ibadah wajib dan sunat yang lain diterima. Solat akan tertolak akibat hati kita menolak kehadiran Allah semasa mendirikan solat. Orang yang sukar khusyuk dalam solat, maka usahlah mengaku khusyuk ketika membaca AlQur’an atau mengaku khusyuk ketika doa-zikir.

Terapi biologi dari ibadah ialah kesan langsung kepada penyakit-penyakit badan dan sudah saya yang hurai panjang lebar pada artikel sebelum ini dan terapi rabbani pula ialah kesan yang dicari dari ibadah yang dilakukan, yang merawat hati, mengukuhkan iman dan melonjakkan taqwa.


Beramal ibadah secara holistik adalah susulan setelah memahami Islam secara holistik. Holistik dari amalan dan bukan sekadar atas kertas atau dalam minda semata-mata.