Rufai’ bin Mihran merupakan tabi’in yang sempat bersama dengan semua khalifah Rasyidin pada hal beliau adalah keturunan bangsa Iran ( Parsi) dan pernah menjadi pengikut penyembah api. Beliau adalah tokoh ilmuan dan ahli Al Qur’an , yang amat mendalami maksud dan rahsia Al Qur’an serta tokoh hadis.
Beliau masih remaja ketika tentera Islam menakluki Iran dan menjadi tawanan perang dan di bawa pulang ke Bashrah serta berkerja dengan wanita tua yang soleh dari Bani Tamim. Hidayah Allah telah menerangi hatinya, beliau dapat menguasai dan sangat mencintai mempelajari Al Qur’an. Beliau juga sangat gemar menuntut ilmu. Dan dengan kegigihan inilah, majikannya ‘membebaskan’ beliau dan dari detik itulah Rufai’ menjadi buah mulut orang ramai kerana kehebatan ilmu dan kegigihannya menuntut ilmu.
Beliau kerap berulang alik ke Madinah al Munawarah dan ketika itulah sempat bertemu dengan Saidina Abu Bakar ra. Dan ketika saidina Umar menjadi khalifah, beliau berkesempatan membaca Al Qur’an di hadapan saidina Umar dan solat dibelakangnya.
Di antara kata-kata hikmah dari Rufai’ yang terkenal ialah:
1.Latihlah dirimu supaya menerima ilmu dan kerapkanlah mencarinya. Sedarlah bahawa ilmu tidak akan datang kepada ORANG YANG PEMALU DAN ORANG SOMBONG.. Si pemalu malu bertanya kerana sifat malunya dan si penyombong tidak bertanya kerana kesombongannya
2.Belajarlah Al Qur’an. Setelah kamu mempelajarinya janganlah kamu membelakanginya. Hendaklah kamu sentiasa berada di jalan yang lurus kerana itulah Islam. Jauhilah segala hawa nafsu kerana ia mengheret kamu ke arah pemusuhan dan kebencian.
3. ORANG YANG MERINGAN TENTANG KESEMPURNAAN SOLATNYA, AKAN MENGAMBIL RINGAN DALAM SOAL YANG LAIN.
Nasihat dari Rufaii ini kemudiannya sampai kepada alim tersohor, Al Hassan al Basri dan beliau berkata, “ Kamu telah diberikan nasihat oleh Abu Al Alitah ( Rufai’) dan demi Allah apa yang di ucapkanya itu adalah sangat benar.”
Nasihat ketiga diatas, adalah satu prinsip kukuh yang beliau pegang bilamana beliau mahu menuntut sesuatu ilmu dari seseorang.
Rufai’ ’pantang’ mendengar nama-nama orang alim, beliau akan mengembara walaupun jauh untuk menuntut ilmu dari orang alim itu. Apa yang beliau lakukan sebelum mendapatkan si alim tadi ialah beliau akan turut beberapa kali solat di belakangnya. Dan perkara pertama yang Rufai’ amati ialah kesempurnaan solatnya. Sekiranya beliau dapati ada ketidak sempurnaan solat si alim tadi , beliau akan berlalu pergi dan tidak akan menuntut ilmu maupun mendapat nasihat darinya!!
Apa yang boleh kita pelajari dari kisah Rufai’ ini ialah, ilmu dan kewarakan seseorang itu dua perkara yang berbeza. Walaupun tinggi ilmu seseorang tetapi apabila hubungannya dengan Allah masih longgar khasnya ketika solat, dan lebih khusus lagi ketika solat hatinya tidak sempurna hadir dan benar-benar berkomunikasi dengan Allah.
Tentulah si alim yang ingin di temui oleh Rufai’ tadi bukan calang-calang orang dan tentulah sudah sempurna wuduk dan perlakuan solatnya, TETAPI BAGI MEREKA YANG SUDAH BIASA KHUSYUK DAPAT MERASAI SOLAT ORANG LAIN TIDAK KHUSYUK!!!
ORANG YANG TIDAK KHUSYUK ketika solat, adakah mampu khusyuk hatinya di luar solat? Maka dengan alasan kukuh inilah, Rufai’ tidak menuntut ilmu dan nasihat dari orang yang meringankan solatnya.
Pelajaran seterusnya, solat adalah segala-galanya sebelum amal kehidupan yang lain-lain.
Persoalannya berapa ramai ahli ilmuan, ahli duat, ahli agama, pentadbir agama, tok-tok guru, mas’ul-mas’ulah yang tersohor dan yang tidak tersohor yang sentiasa dan istiqamah LALAI ketika solatnya?
Berpandukan nasihat dan pengalaman dari Rufai’ , perlukah kita tidak menerima nasihat dari mereka? Atau sekadar boleh di dengar? Atau katakan padanya, ” perbetulkan hubungan intim dengan Allah yang merupakan santapan Rabbani kerana ilmu itu santapan minda.??
Mengambil nasihat Rufai’ tadi, sudah pasti yang meringankan solat, akan meringan urusan-urusan yang lain. Ibubapa yang solatnya tidak hidup, maka tidak hairan hati-hati anaknya tidak hidup!. Dan kepada sesiapa sahaja, selagi hubungan yang longgar dengan Allah, maka adakah amal-amal dunia itu di kira sebagai ibadah?
Begitu juga, bila para duat yang tidak menjaga kuantiti dan kualiti ibadahnya, maka tidak hairan dakwahnya ’mandul’, usrahnya juga ’mandul. Sekian lama berusrah dan berdakwah, tetapi dakwahnya ekslusif. Dakwahnya kemas dan cantik di atas kertas tetapi tidak terpancar secara praktikalnya. Juga tidak terpancar pada individu-individu yang bergelar daie.
Juga apabila berlaku aktiviti dakwahnya tidak menonjol , orang ramai tidak sibuk dengan dakwahnya tetapi si duat ini merasakan beliau sudah sibuk dengan dakwahnya!, maka kembalilah bermunasabah diri akan kualiti hubungan dengan Allah.
Apabila aktiviti sekadar mengisi program demi program sedangkan tidak mencapai indikator pencapaian dakwahnya. Kadang-kadang aktiviti ini tiada beza dengan kursus-kursus atau seminar yang dikendalikan oleh konsultan biasa. Mengapa begini keadaannya? Kerana bila program-program itu di kendalikan oleh hati-hati yang tidak hidup, hati yang rapuh hubungannya dengan Allah SWT iaitu hati-hati yang tidak rabbani.