Pages

Monday, September 8, 2008

Sains Ramadhan

Perkembangan sains bukan sahaja mengkaji apa sahaja benda yang ada dimuka bumi ini, tetapi bagi hati yang berfikir akan memikirkan sains yang ada pada setiap perentah dari yang Maha Khalik dan tentunya secebis kajian saya terhadap sains yang ada pada solat dan dikembangkan kepada sains pada puasa, berzikir, bertilawah alQur'an, sains yang ada dalam Al Qur'an serta sains dalam ibadah haji.

Namun begitu BUKAN KERANA KEHEBATAN PENEMUAN SAINS yang dalam ibadah itu yang membuatkan kita lebih teruja beribadah kerana semua itu adalah terbatas pada akal manusia. Hanya Allah yang Maha mengetahui akan segala syariatnya.

TERAPI biologi bukan sekadar bermaksud merawat penyakit fizikal tertentu atau menambah baik tahap kesihatan anggota tubuh badan tetapi juga bermaksud merawat dan menambah baik biologi minda serta emosi seseorang.

Oleh itu antara terapi biologi paling baik untuk tujuan ini adalah melalui aktiviti-aktiviti ibadat yang sering dilakukan oleh umat Islam.

Justeru pemahaman yang mengatakan ibadah wajib seperti solat, puasa di bulan Ramadan, haji dan amalan sunat seperti doa, berzikir merupakan amalan spiritual semata-mata sebenarnya adalah satu persepsi sempit dan harus ditukar.

Seperti ibadat solat, Allah s.w.t mewajibkan solat tanpa sebarang kompromi kepada lelaki Muslim yang baligh walaupun seluruh anggota badannya lumpuh. Selagi otaknya masih berfungsi, dia wajib menunaikan solat.

Ibadat ini juga diwajibkan kepada wanita Muslim yang baligh kecuali ketika datang haid dan nifas. Di dalam buku yang dikarang oleh penulis yang bertajuk Biomekanik Solat, ada dibincangkan solat itu sebenarnya sebagai perawat kepada penyakit-penyakit fizikal manusia.
Antaranya solat boleh merawat penyakit darah tinggi, kemurungan, penyakit kronik, ubah personaliti, solat dengan menggunakan kedua-dua otak, solat merubah gelombang otak dan juga solat boleh mencerdaskan minda.

Bagaimana pula dengan puasa, benarkah puasa mampu merawat atau mengawal penyakit atau benarkah dengan berpuasa ia boleh merubah sikap dan tingkah laku seseorang?
Puasa sebenarnya bukan sahaja amalan pada bulan Ramadan semata-mata sebaliknya ia merupakan satu ibadat yang boleh dilakukan secara mingguan iaitu pada hari Isnin dan Khamis serta pada bulan-bulan afdal seperti bulan Rejab dan Syaaban.
Yakinlah dengan berpuasa, biologi badan kita lebih terurus dalam usaha kita mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

Puasa adalah satu ibadah yang pernah diwajibkan kepada umat nabi dan rasul terdahulu dan ia diumpamakan sebagi satu kaedah untuk ‘menservis’ tubuh badan manusia.
Sepertimana kenderaan dan komputer, dua alat tersebut perlu diselenggara secara berkala bagi memastikan operasinya tidak terganggu.

Komputer yang dijangkiti virus dan jika dibiarkan boleh merosakkan program atau data-data yang tersimpan. Begitu juga dengan kereta yang tidak diselenggara sudah tentu akan sering mengalami kerosakan.

Perut manusia umpama enjin atau hard disk sebuah komputer. Di blog penulis, bioibadah.blogspot.com, terdapat satu artikel bertajuk, ‘Sepatutnya kita berpuasa dua bulan dan bukannya sebulan!’, yang mana kajian pakar pemakanan mendapati purata masa perut sepatutnya aktif menghadam makanan ialah lapan ke sepuluh jam sehari. Tetapi apabila polar pemakanan harian kita yang bersarapan pagi, minum pada pukul 10 pagi, makan tengah hari, minum petang dan diikuti makan malam, purata proses penghadaman akan mengambil masa kira-kira 16 jam.

Ini bermakna dalam sehari, perut kita sudah kerja lebih masa selama enam jam. Melalui amalan berpuasa, maka perut kita akan diservis semula. Bagi mereka yang lebih pintar, mereka tidak menunggu setahun sekali diservis, tetapi perut mereka diservis paling kurang seminggu sekali.
Seorang saintis barat bernama Steve Meyerowits di dalam bukunya, Fasting and eating for health, berkata: ‘‘Tikus putih yang tidak diberi makan selang empat hari sekali, didapati usianya lebih lama daripada tikus yang setiap hari diberi makan”.

Di dalam buku Juice fasting, the power of healing, Richard Schult menulis: ‘‘Apabila kita tidak makan, sistem penghadaman akan berehat di mana darah dan tenaga akan dialirkan ke tisu-tisu yang lain. Dengan itu ia akan mempercepatkan proses penyembuhan dan juga akan berlaku pembuangan bahan-bahan toksik’'.

Bagi menambahkan keyakinan terhadap fungsi puasa terhadap biologi badan, Phyllis Balch di dalam bukunya Prescription for Nutritional Healing telah menggariskan empat faedah bila berpuasa iaitu;

* Dengan berpuasa, serum lemak di dalam darah akan menurun di mana sel darah putih dan tisu yang beroksigen berfungsi lebih berkesan.
* Beban sistem imunisasi akan berkurangan dan sistem penghadaman bebas daripada inflamasi apabila tidak alahan kepada makanan tertentu.
* Penurunan gula dalam darah semasa berpuasa, akan merangsang hormon pengeluaran opiod yang boleh membantu seseorang lebih fokus kepada sesuatu pekerjaan
* Berlaku pengurangan pengumpulan bahan toksin daripada makanan dan sebaliknya toksin yang sedia ada akan dikumuh.

Ini adalah sebahagian daripada kajian terhadap puasa. Penulis tidak berhajat untuk membincangkan secara terperinci tetapi cukuplah diberikan gambaran bahawa manusia perlu ’mewajibkan’ diri untuk berpuasa bagi mencapai tahap kesihatan yang optimum.

Terapi biologi dengan berpuasa adalah berbentuk mendidik serta melatih minda dan emosi. Kita harus sedar puasa bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi ia adalah lebih daripada itu. Paling penting ialah cara mana minda dan emosi boleh membantu kita melakukan puasa yang berkualiti. Kita mahu semua tubuh badan ini turut sama berpuasa.

Puasa juga mengajar kita merasai kelaparan yang sering dirasai oleh orang yang fakir. Puasa juga membentuk sifat santun dan bersabar iaitu sabar terhadap beban kerja harian termasuk juga bersabar melawan tuntunan nafsu terhadap juadah berbuka.

Sebaik-baiknya sepanjang bulan yang mulia ini kita mengambil peluang untuk bersungguh-sungguh beribadat kepada Allah dan kesungguhan itu perlu ditingkatkan pada sepuluh malam terakhir. Ini kerana pada salah satu malam itu Allah akan kurniakan malam Lailatulqadar.
Bagaimanapun berapa ramai antara kita yang sibuk mencari Lailatulqadar. Kebanyakannya sibuk memikirkan persediaan menyambut Hari Raya. Bagi penulis janganlah terlalu sibuk membeli belah hingga kita mengabaikan amal ibadat sepanjang bulan ini.

Marilah kita menukar persepsi puasa iaitu sebagai bulan pesta ibadah sehingga penghujung Ramadan.

Akhirnya, yakinlah semua ibadah khusus difardukan kepada umat Islam bukan sahaja bertujuan meningkatkan keimanan dan ketakwaan tetapi juga boleh memberi kesan langsung kepada bioenergi.

Jika amalan ciptaan manusia seperti meditasi, yoga, hipnosis boleh merubah sikap dan emosi serta merawat penyakit, mengapa tidak dengan solat dan puasa?