Pages

Thursday, July 9, 2009

Hafaz Tetapi Tidak Hafaz Intipati Al Qur'an

Berbanding sekitar tahun 1970-80an, di akui kurangnya sekolah swasta agama intergrasi begitu juga dengan pengajian tahfiz. Ketika itu pandangan masyarakat terhadap pengajian agama masih tradisional dan memandang pengajian agama ini sebagai kelas ke 2.

2. Pada masa ini bukan sahaja semakin pesat pihak swasta malah pihak kerajaan juga mengambil inisiatif untuk melahirkan ramai para tahfiz Al Qur'an dan fenomena ini juga berlaku di negara lain. Sambutan dari orang ramai juga amat menggalakkan walaupun terpaksa melabur ratusan / ribuan ringgit sebulan.

3. Ada banyak kaedah menghafal Al Qur'an ini dan saya juga turut menghantar anak ke 2 saya sekolah tahfiz ini di Tahfiz Hira', Jeram , Kuala Selangor, selama 2 tahun dan tahun berikutnya akan mengikut pengajian kelas biasa. Insya Allah akan di ikuti oleh abangnya ( selepas mengambil PMR) juga berusaha memasukkan adik perempuannya pada tahun hadapan. Pada hari Jumaat lepas, ibubapa dipanggil untuk melihat prestasi anak-anak, alhamdulillah anak saya Ahmad Ammar sudah hafal 10 juzuk selepas 6 bulan.

4. Dari maklumat yang saya tahu, kebanyakan kaedah hafazan di Malaysia ini ( mungkin kerana bangsa Melayu), pelajar menghafal secara langsung dan tidak melibatkan makna, maksud dan tujuan ayat yang di hafal. Memang benar jika pelajar Melayu ini di minta memahami makna hafazannya, dikatakan boleh melambatkan kelancaran hafazan.

5. Akhirnya mereka menjadi hafiz tetapi tidak faham apa yang di baca. Dan menjadi insiatif sendiri untuk pelajar agar HAFIZ akan intipati surah yang telah di hafal.

6. Hafal akan intipati surah bermaksud pelajar akan faham dan hafal akan maksud tujuan sesuatu surah. Walaupun tidak hafal ' jalan cerita' keseluruhan 114 surah itu tetapi menguasai sebahagian besar dari surah.

7. Kaedah menghafal 'jalan cerita' surah ini popular di beberapa pengajian tahfiz di Indonesia dan beberapa negara lain.

8. 'Jalan cerita' surah bukan bermaksud pelajar mahir dengan tafsir, kerana ada pelbagai tafsir yang terkemuka dan tafsiran itu pula mengikut pemahaman pentafsir dan berbeza zamannya. Tetapi memahami dan hafal mana-mana ayat yang ada sejarah penurunannya ( asbabul nuzul) dan mesej perenggan ayat tertentu juga hubungkait antara surah.

9. Tentunya menghafal bacaan Al Qur'an lebih mudah dari menghafal maksud Al Qur'an, tetapi inilah generasi holistik yang ingin di lahirkan.

10. Ada segelintir pelajar tahfiz yang tidak mendapat ROH dari Al Qur'an yang di hafalnya, apabila telatah dan akhlaknya tiada beza dengan pelajar biasa. Orang ramai melihatnya hebat dan luar biasa kerana boleh menjadi hafiz, tetapi Al Qur'annya itu di minda dan di bibir sahaja. Juga ramai yang sekadar PERNAH menjadi Al Hafiz, kerana semakin lupa dan 'berkarat' hafazannya.
11. Anak-anak menguasai hafazan, dan saya suka bertanya pada diri sendiri- bagaimana pula dengan tahap hafazan ibubapa ?
12. Ada ibubapa yang tekun mengikuti pemantapan kelas tajwid, tetapi selepas itu tidak tekun membaca pada masa lain, apalagi untuk memahami maksud dan menghafalnya.