Wednesday, August 29, 2007
Displin Dan Hukuman
Pada malam tadi, penulis dijemput memberi ceramah Isra’ mi’raj di Kolej Tentera Darat di Kem Ulu Tiram. Ceramah ini dihadiri oleh bakal-bakal pegawai kedet, para-para pegawai dan kaum keluarga masing-masing serta Kolonal, Kem Komandan yang rupanya juga orang 'warih’ , berasal dari Tampin, 'dokek' dari kampung halaman penulis di Johol.
Sebut saja tentera ('sojar' kata orang nogori) , sudah terbayang akan tahap displin mereka terutama semasa dalam latihan, dengan ’muko bongih-bongih’ pegawai atasan memberi atasan, masuk dewan ceramah juga mesti tersusun kawat dan tata cara duduknya.
Bagi orang awam, jika mengikuti arahan displin dan cara latihan tentera ini, mungkin ' domam ’ seminggu. Sebegini hebat tahap displin para tentera dimana-mana negara sekalipun kerana tentera ini mestilah 'samikna wa athokna’, kami dengar dan kami patuh. Jika mengingkari arahan, tentunya hukumannya berat pada pandangan orang awam tetapi sudah biasa oleh para tentera ini.
Untuk mencapai kualiti kerja yang terbaik, displin adalah kemestian, termasuk displin menepati waktu, menepati janji, displin pakaian, displin bercakap, displin pada majlis-majlis tertentu dan sebagainya
Maka itulah, Allah SWT sudah mengariskan displin-displin yang mesti dipatuhi untuk mendapatkan kualiti ibadah yang terbaik. Kerana hukuman keras dari Allah SWT sekiranya ibadah itu tidak berkualiti apalagi meninggalkannya.
Jika gagal mendisplinkan waktu untuk bersedia berjemaah subuh, berjemaah zuhur, asar, maghrib dan penutupnya isyak pada hari ini, walaupun kita memang boleh mengatur waktu serta berkelapangan bermakna kita tidak tergolong dari mereka yang tidak berdisplin. Terlepas waktu yang pendek ini, samaada kita akan masbuk atau terlepas terus berjemaah, terlepas pahala 27 kali ganda, maka kita sekadar berpuas hati ganjaran solat sorang-sorang.
Lebih malang lagi solat sendirian ini, minda dan hati pula merewang-rewang, sudahlah pahalanya kecil, kualiti khusyuk tidak dijaga. Yakinlah dengan janji Allah kepada orang yang tidak berdisplin menjaga kualiti solat, seperti termaktub dalam surah an Maa’un-4-5 "Maka CELAKAlah mereka yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dalam solatnya”. Mereka lalai ketika solat dan lalai mencari solat yang terbaik, iaitu berjemaah.
Manakala janji dan tawaran besar oleh Allah SWT kepada mereka berdisplin menjaga dan menyempurnakan solat, seperti yang penulis nukilkan di dalam artikel terdahulu iaitu ayat AlMukminin 1-11, ganjaran syurga bagi mereka yang khusyuk dan taksub menjaga kualiti solat.
Jika kita mampu berdisplin didalam ususan dunia, seperti tentera tadi, juga kita orang awam yang berdisplin untuk masuk dan keluar pejabat, anda pelajar yang berdisplin mengikuti kuliah atau pengajaran guru-guru, dan pelbagai displin kehidupan lain, mengapa tidak kita MENJAGA DISPLIN DALAM BERIBADAH kepada Allah SWT. Yakinlah semua ibadah khusus, solat, puasa, zakat, termasuk doa dan zikir ada displin yang tersendiri, khususnya Haji dan Umrah yang akan dikenakan denda ( dam) jika melanggar displin-displin yang sudah Allah SWT tetapkan.
Begitu juga displin-displin yang mesti di patuhi bilamana ingin melaksanakan hukum-hukum Allah dimuka bumi ini, melaksanakan hukum Islam dalam sistem ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, bermuamalat malah ada displin yang mesti dipatuhi dalam berdakwah.
Yang membezakan displin ini ialah samada displin internal atau displin eksternal, jika displin eksternal yang menguasai diri, ianya bersifat sementara tetapi displin internal yang lahir dari taqwa yang hanya tercerna dari amal ibadah yang sahih dan kemantapan iman.