Pages

Friday, November 2, 2007

Berpayungkan Daun Pisang



Menarik ungkapan pada Khutbah Jumaat dua hari lepas iaitu 'berpayungkan dengan daun pisang', walaupun tidak diulas panjang tetapi memberi analogi yang besar. Manusia berlindung dan berpayung kepada ilmu, akal, material, anak-anak, kenalan untuk hidup aman tenteram. Namun tempat berlindung dan payung utama ialah kepada Allah SWT, Al Baqarah: 256-257 " Allah Pelindung bagi orang-orang beriman. Allah mengeluarkan mereka dari kegelapan ( kekafiran) kepada cahaya ( iman). Dan orang-orang kafir, pelindung mereka ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka itu penghuni neraka, mereka kekal didalamnya".

Panas dan hujan merupakan ujian dan cabaran kepada manusia, lalu manusia mencari payung untuk berlindung. Payung ini bersifat sementara bilamana mereka memerlukannya dan payung ini disimpan untuk kegunaan pada masa datang, malah payung yang rosak akan diganti dengan yang baru!. Tetapi didalam keadaan terdesak, daun pisang boleh digunakan berlindung dari hujan. Dan satu lumrah, daun pisang itu akan dibuang setelah digunakan.

Analogi berpayungkan dengan daun pisang ini mengambarkan sifat manusia yang suka mengambil kesempatan meminta bantuan orang lain apabila tersepit atau dalam kesusahan. Walaupun mungkin tidak terkesan kepada orang yang diminta bantuan tetapi sikap kacang lupakan kulit ini biasa berlaku sesetengah individu atau kelompok masyarakat. Daun pisang itu mungkin seorang pemimpin, seorang ahli politik, seorang ilmuan, seorang dermawan atau orang yang berpangkat. Maka jadilah daun pisang yang boleh memberi perlindungan dan usah bimbang kerana akan tetap dibuang juga. Dan semoga tidak menjadi seperti orang yang mencari daun pisang sebagai pelindungnya!!

Analogi kedua ialah, daun pisang bukanlah pelindung yang sebenar malah masih boleh basah kuyup. Kita lihat berapa ramai manusia merasakan hartanya, sijil akademik, kendiri, kesihatannya dan seumpamanya sebagai pelindung dari kedaifan, kemiskinan, kesakitan sehingga mereka lupa pelindung dan pemberi sebenar ialah Allah SWT. Manusia menjadi sangat sibuk dengan urusan mencari payung dan pelindung ini sehingga payung sebenar mencari redha Allah bocor dan tidak mampu menampung di hari pengadilan kelak. Dan segelintir dari kita mencari payung-payung dari tok bomoh, tok pawang atau penilik yang mana ada dikalangan mereka berkawan secara langsung dengan syaitan.


Payung-payung 'daun pisang' ini sentiasa diperbaiki, diperindah, ditokok tambah sedangkan manusia sedar, sampai masanya payung daun pisang ini akan dibuang dan akan direbut oleh mereka yang masih mencintai daun pisang itu.