Apabila melakukan pekerjaan yang rutin, kita mudah melakukan kesilapan, kurang bermotivasi, kurang kreatif, terlupa matlamat asal, kurang berfikir malah sudah menjadi reflek bila melakukannya, bahasa mudahnya sudah menjadi SATU KEBIASAAN ( unconscious mind), contohnya setiap hari keluar ketempat kerja, melakukan kerja pejabat yang sama, pelajar pula setiap hari pergi sekolah, pergi kuliah, naik kenderaan yang sama, makan di kedai yang sama, suri rumah yang melakukan kerja yang sama dan termasuk rutin harian mendirikan solat lima waktu. Kajian menunjukkan terdapat 8o peratus dari orang awam yang tergolong dari rutin hariannya hampir sama dengan hari semalam dan sebelum-belumnya. Mereka ini terdiri dari pekerja am, operator kilang, kerja pengkeranian, pekerja hospital, pegawai tadbir, ahli akademik, pelajar sekolah, penuntut Universti, mereka yang makan gaji, pemandu kenderaan termasuk pilot kapal terbang dan banyak lagi.
Manakala 80 peratus pula masa yang diambil melakukan kerja rutin harian ini ( 19jam sehari, tidur juga rutin harian). Bagi penulis ,termasuklah para duat yang polar dakwahnya rutin yang berulang-ulang, ulangan perbincangan yang sama, rutin mingguan, rutin bulanan, rutin jumpa muka-muka yang sama, mad’u baru tidak nampak muka, maka hilang motivasi, jarang memikirkan masa depan dakwah apalagi untuk sentiasa berfikir kualiti dakwahnya. Manakala 95 peratus di kalangan ahli politik, pengurus syarikat besar, para usahawan dan peniaga polar kehidupan mereka kerab berubah-ubah. Ada yang maju kehadapan, ada yang bertahan dan tidak kurang yang kecundang.
Tentunya rutin ini sudah menjadi sebahagian dari kehidupan kita, kerana disitulah kia mencari rezeki dan berkerjaya.
Bagi mereka yang rutin kerja harian sudah memulangkan pendapatan yang memuaskan atau keputusan pelajaran yang baik atau dakwahnya sudah banyak menyentuh hati orang ramai dan orang ramai di sibukan dengan dakwahnya, berbanding dengan mereka sekadar cukup makan sahaja, sekadar lulus peperiksaan atau sekadar berdakwah pada golongan terpelajar sahaja atau seperti tulisan Muhamad Ahmad ArRashid iaitu 'tanzim bentuk ekslusif’ tentulah sesuatu perlu dilakukan untuk BERUBAH. Begitu juga rutin harian solat lima waktu jika sekadar 'cukup makan’ atau sekadar dibuat, bermakna sesuatu mesti dilakukan untuk peningkatan mutu solat.
Malanglah mereka yang 'hanyut’ dan leka dalam rutin harian ini sedangkan dia masih boleh berusaha meningkatkan pendapatan atau pencapaian akademik yang lebih baik atau atau dakwah yang terkesan kepada orang ramai atau solatnya lebih khusyuk.
Di dalam buku BioMekanik Solat, penulis menekankan tiga kata kunci utama iaitu lakukan secara SENGAJA tanpa paksaan, lakukan dalam SEDAR dan pastikan mampu DIKEKALKAN. Inilah tiga displin utama bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti solat tetapi kualiti kehidupan kita. Ada orang yang sedar akan kekurangan punca pendapatan atau kurang baik pelajarannya tetapi dia perlu di paksa untuk berubah, tidak berani untuk berubah, tidak berani untuk mencuba, alasan lebih banyak dari kemahuan atau sudah melakukan perubahan tetapi sekadar dipinggiran, tidak istiqamah. Hangat-hangat tahi ayam dan berbau busuk pula, busuk pada diri sendiri dan orang lain pun dapat baunya.