Ketam tidak pernah berjalan kehadapan melainkan mengiring kekiri atau kekanan untuk bergerak. Bijaknya orang Melayu zaman dahulu yang memerhatikan tabiat ketam ini, sehingga ada bidalan yang menyebut seperti ketam menyuruh anaknya berjalan lurus. .
Yang tersirat ialah menyuruh orang lain berbuat baik, sedangkan diri sendiri tidak baik. Mungkin ada dua keadaan orang yang seperti ini iaitu pertama melarang orang lain supaya tidak melakukan keburukan yang pernah dia buat sebelum ini, dan mungkin untuk menutup kelemahan yang ada pada dirinya agar dipandang mempunyai imej yang baik.
Ketika zaman ledakan media sosial, adalah amat mudah menyuruh atau mengajak atau memberitahu sesuatu kebaikan dengan hanya 'memforwardkan' mesej melalui FB, twitter, whasapp, telegram atau instagram. Kadang-kadang mesej itu dibaca sekali lalu atau tidak ditapis dan terus dihantar kepada orang lain. Dakwah melalui media sosial ini amat mudah dan biasanya bagi mereka yang agak rendah diri sekadar menulis copy paste dari orang lain. Pernah terdapat komentar dari ibubapa yang menyuruh berpakaian sopan dan tidak ketat pada anak-anak gadis, sedangkan anak gadisnya sendiri berpakaian ketat. ( mungkin mahu menegur anak yang sudah jadi rebung, tetapi sepatutnya bukan di khalayak).
Tidak kurang juga terdapat forum dan perbincangan didalam media sosial ini terutamanya dalam isu agama dan politik. Masing-masing memberi pendapat mengikut kecetekan ilmu dan pengalaman, malah kadang-kdang berbincang dengan mereka yang tidak pernah dikenali. Adalah lebih baik tidak membuang masa berbicang tanpa taaruf dan tanpa kesimpulan yang konkrit.
Dalam keadaan lain, apabila merasakan orang lain tidak mengenali dirinya siapa iaitu dengan menggunakan nama samaran atau nama betul dimana satu keadaan negatif yang berleluasa ialah memberi teguran yang menggunakan kata-kata kesat keatas sesuatu tulisan , yang mungkin tidak kan terkeluar oleh mereka yang menjaga kewarakan. Seolah-olah merasakan amalan buruk itu terlepas dari dicatat oleh malaikat. Sudahlah jalan mengiring, menyepit orang pula.