Pages

Tuesday, June 24, 2008

Beri Penghormatan Seadilnya Pada Akal

Tiga asas utama untuk diberi penghormatan, iaitu pertamanya memberi perghormatan teragung kepada Pencipta kita, iaitu Allah SWT. Kemudian memberi penghormatan kepada diri sendiri dan seterusnya kepada orang dan makhluk lain. Manakala asas utama penghormatan kepada diri ialah menghormati akal dan emosi.

Kita akur dengan meletakkan anggota badan yang paling mulia, iaitu dengan meletakkan kepala ( dahi) ditempat yang paling rendah ketika sujud dalam solat. Itulah semulia-mulia penghormatan manusia kepada khalik. Dan semulia-mulia sujud ialah di lakukan dalam keadaan sedar, ikhlas dan dengan kehadiran hati.

Begitu juga penghormatan akal ialah pengisian akal terhadap pengtauhidan kepadaNya dan penuh kerelaan mengambil syariatnya untuk kehidupan kita. Dan beruntunglah mereka yang akalnya cenderung pula untuk mengajak orang lain kepada Islam yang sebenar.

Tetapi dalam masa yang sama, setelah tingginya penghormatan ilmu atau fikrah di dalam minda masing-masing terhadap Islam, mengapa kita cemari pula dengan perkara yang remeh dan melalaikan? Walaupun pencemaran itu tidaklah sampai merosakkan akidah tetapi ianya telah merosakkan imej fikrah yang mulia itu.

Tidak dinafikan, kita memempunyai kecenderungan kepada hiburan, hobi dan keseronokan seperti mana manusia lain, termasuk manusia lain yang kafir. Jika kesukaan semasa yang diperkatakan oleh khalayak, iaitu tentang sukan bolasepak dan tidak lama lagi sukan olimpik, mengapa pula fikrah Islam yang di dukung selama ini di cemari dengan kesukaan yang tidak jelas tujuan dan matlamatnya. Keseronokkan yang orang lain bincang dan perbualkan. Dalam masa yang sama kita tidak menafikan kesan negatif pembentukkan roh yang hidup dan keseronokkan itu bercampur aduk dengan kemaksiatan.

Mungkin, kita boleh ambil tahu, tetapi usahlah teruja pula di bincangkan dengan rakan atau di bincang di dalam media maya. Mengambil nasihat Imam Hassan Al Banna dan Ust Umar Thilmasani, iaitu kata mereka, " pemilik fikrah Islam ini sebenarnya adalah semulia fikrah yang harus di jaga dan di hormati sehingga tidak di rosakkan oleh perkara yang tidak memberi manafaat. Dan tentulah yang tidak bermanafaat itu juga tidak akan membantu peningkatan keimanan".

Sepintas lalu, mungkin ada yang berpandangan apa salahnya melihat, menonton, bercakap, berseronok dengan sukan atau hiburan, tetapi mari kita tanya hati kecil kita, adakah akan tertingkat keimanan dan ketaqwaan selepas rasa terhibur dengan sukan atau sebarang nyayian itu?

Jika masih teruja juga, eloklah simpan dalam diri masing-masing, usah pula di beritahu orang lain, yang kita juga tergolong dari orang yang tidak berbeza dengan mereka yang lalai, sedangkan akal kita memiliki fikrah Islam. Dan sebaik-baik kealpaan itu tidak di lakukan secara istiqamah, tidak di ketahui oleh orang lain, manakala penghormatan kepada kealpaan ialah penyesalan dan bertaubat.

Sehingga ketahap asyik menonton, lalu asyik di bicarakan, tetapi ketika beribadah, kita tidak pula asyik berkomunikasi dengan Allah!!!! Dan panjang lagi senarai keasyikkan hal keduniaan ini.

Penghormatan yang lain terhadap diri sendiri ialah terhadap menghormati kurniaan sihat-cergas, wang-harta, dan tidak ketinggalan memberi penghormatan terhadap masa. Jika orang lain tidak cukup 24jam sehari demi memenuhi tuntutan dunianya, tetapi sedarkah kita terutama di kalangan para duat yang terlebih masa, bilamana masa emasnya untuk berdakwah di sibukkan dengan 'keseronokan' dan 'keselesaan' dunianya.

Ada yang merasakan tidak cukup masa untuk berdakwah, semoga kata-kata itu di lafaz selepas benar-benar bermuhasabah akan 'kualiti masa' yang telah di guna untuk 'dakwah yang berkualiti'.