Pages

Sunday, March 29, 2009

Adab dan iman, dua rumah berbeza? ( siri2)

Adab itu adalah perincian terhadap akhlak atau tingkah laku seseorang. Adap dipengaruhi oleh bangsa, adat , dan agama yang dianuti, malah ada adap yang di warisi turun menurun . Adap yang dimaksudkan disini ialah adab yang positif dan baik. Ada adap yang telah menjadi satu budaya. Sebagai contoh, suatu ketika dahulu, orang Melayu di kaitkan dengan lebih lembut dan bersopan, tetapi menjadi isu kebenarannya buat masa sekarang!

Adakah kerana beragama Islam, adapnya lebih baik dari orang bukan Islam? Atau adakah semakin beradap bilamana tahap keimanan seseorang semakin tinggi?

Juga fikirkan kenapa orang Islam yang berlainan bangsa, berlainan geografi, ketara berlainan adap susila mereka? Di kalangan orang-orang Arab sendiri yang berlainan Negara juga berbeza adab! Ada adab yang sudah diterima baik oleh orang-orang Arab ini, tetapi dianggap kurang sopan oleh orang Melayu.Umum mengetahui orang Arab lebih kasar perwatakkannya, melangkah kepala orang lain di saf solat adalah perkara biasa dan mereka dikatakan kurang bersabar dijalanraya, sehingga hon kereta sama penting dengan break ! Bagi mereka ini bukan tidak beradap ataupun biadap.

Manakala adap orang Arab untuk menegur seseorang, mereka lebih berhemah dengan suka mengambil cara yang ‘berbelit-belit’ berbanding dengan orang Melayu yang terus kepada tajuk. Dan mereka sangat meraikan para tetamu. TETAPI adakah adab baik ini ada pada orang Arab Islam sahaja dan tiada pada Arab bukan Islam? Jawapannya ianya juga ada pada orang Arab Kristian kerana itu adalah adap yang diwarisi oleh nenek moyang mereka.

Saya masih ingat lagi ketika di Kuching, Sarawak, seorang pesakit saya berbangsa Iban menceritakan beberapa adat khas ( acara khas) anak-anak muda walaupun sudah berada dalam arus kemodenan, mereka sangat menghormati atuk-nenek mereka yang masih hidup. Dan kisah dahulu mereka yang berpindah randah didalam hutan dimana tidak akan merosakkan pokok-pokok besar kerana menurutnya tumbuhan juga Tuhan yang hidupkan. Ya. Mereka jauh dari aqidah Islam, tetapi masih beradab sebagai manusia.

Orang Thailand dan orang Jepun pula terkenal dengan adab terhadap tetamu dan Raja. Begitu juga bangsa-bangsa yang lain, tersendiri adab mereka ketika makan, bercakap, menegur, pemaaf, bergaul dengan orang lebih tua dan sebagainya.

Kerana adab-adab yang baik inilah manusia yang berlainan agama dan bangsa boleh hidup bermasyarakat. Walaupun ada bangsa yang umumnya lebih pengotor, cakap dengan kuat, biasa bercakap bohong dan lain-lain adab yang negatif. Saya berpengalaman berkenalan dengan seorang Ustaz berbangsa Cina ( mualaf), tetapi masih ada ciri-ciri ‘keCinaan’ nya yang kurang pembersih dan suka bercakap kuat walaupun cuma bertiga sahaja.

Namun begitu, ada bangsa yang tidak beragama Islam itu, adab mereka terhadap isteri, ibubapa, adik beradik, jiran , terhadap orang kurang upaya lebih baik dari orang Melayu!
Baru-baru ini saya mendengar satu rancangan dokumetari tentang orang buta di radio Ikimfm, dan saya tersentuh dengan komentar sebahagian besar orang buta Melayu yang ditemuramah itu memberitahu bahawa, orang-orang bukan Islam yang lebih ramai untuk membantu mereka melintas jalan atau menjawab soalan tunjuk arah kepada mereka, berbanding dengan orang Melayu celik .Malah saya sendiri berpengalaman melihat dua orang gadis Cina membantu wanita Melayu buta melintas jalan.

Begitu juga adab orang Eropah yang tidak suka berebut-rebut, dan sudah menjadi adat budaya beratur untuk membeli tiket atau menaiki bas awam. Ini antara beberapa contoh adab sopan yang diamalkan oleh mereka yang tidak beriman.

Dan ramai yang lupa bahawa adab itu satu perbuatan, dan tiap perbuatan itu ada skil dan kemahiran untuk dipelajari. Iman tidak menentukan senyuman kita lebih menawan! Begitu juga dengan sikap lebih suka mendengar dari member pendapat! Atau biasa memotong-motong kata orang lain! Atau mengalihkan muka ketika bercakap / bersalaman! Atau mimik muka / bahasa badan yang menunjukan dia lebih tahu ! Atau lebih dahulu menegur orang lain! Dan iman juga tidak menentukan seseorang itu lebih peramah dan lebih mesra!
Tetapi dengan iman yang tinggi dan sesetengah adab itu mesti dipelajari dan sentiasa di baiki, baharulah terserlah adab susila dan indahnya akhlaknya sesama manusia. Adab menjaga hati orang lain bukanlah mudah.

Sepertimana seorang peniaga atau jurujual atau pelayan kaunter diajar skil-skil bahasa badan, apalagi sebagai seorang Islam, sebagai ibubapa, sebagai anak untuk mempelajari ilmu kemahiran komunikasi ini yang selalu dianggap remeh dan ilmu dari pengalaman sahaja! Apalagi, anda seorang pendakwah!

Semakin hebat beribadah dan berkualiti menjaga hubungan dengan Allah SWT, bukanlah secara automatik kemahiran hubungan sesama manusia akan berkualiti! Sebagaimana ada kemahiran untuk meningkatkan hubungan dengan Allah, begitu juga kemahiran menjaga adab susila dengan insan lain.

Sesetengah perunding motivasi atau buku-buku motivasi oleh bukan beragama Islam, di mana kaedah dan pendekatan komunikasi antara manusia, tidak dinafikan mereka lebih menonjol dari para ilmuan Islam sendiri. Dan tentunya mereka tidak menyebut tentang suruhan dan larangan Allah SWT dan Sunnah kehidupan Nabi SAW.

Dan tidak hairan, ramai yang bukan Islam lebih hebat adabnya terhadap ibubapa atau pada keluarga terdekat berbanding dengan orang Islam yang beribadah!! Malah mungkin tiada adab yang istimewa yang membezakan adab mereka dengan kita atau mungkin orang kita ada kelebihan ketika adab si isteri mencium tangan suami atau anak-anak mencium tangan ibubapanya. Saya pernah melihat si gadis berpakaian menjolok mata mencium tangan si teruna yang ranggi, yang mana saya yakin mereka ini bukan suami isteri!!

Tetapi yakinlah, orang yang benar-benar terkesan dari ibadah yang dilakukannya, akan menambahbaik hubungan dengan manusia lain, namun skil dan kemahiran mesti dipelajari , diperhatikan dan dipraktik, kerana adab itu bukan teori semata-mata.

Yang beriman dan beribadah, ada yang longgar adapnya di hadapan Al Qur'an, masih mentertawaakan orang yang sumbang berteranum dan/atau sumbang suaranya, sedangkan terlupa yang dibaca ialah ayat Allah dan si pembaca pula tidak beradap dengan kesumbangannya itu. Tidak ukur baju dibadan sendiri. AlQur'an sekadar dilagu dan diperbetulkan tajwid, sedangkan ramai yang tidak memahami, apalagi bertadabbur.

Yang solat berjemaah pun terlupa adab, bila masih berbual-bual setelah iqamah atau berbual ketika berwuduk.

Yang menunaikan fardu haji, lihat sahajalah kegelojohan dan selfish sebilangan jamaah haji ini.

Persoalannya bukan kerana kurang iman tetapi kerana kualiti imannya rendah maka adapnya juga rendah.