Pages

Monday, January 14, 2008

Cerdik tetapi akhlak tidak cantik

Mereka yang cerdik dan mudah memahami sesuatu perkara maka pada pandangan logik akal mereka ini mudah mendengar kata dan mudah mengikut arahan. Rupanya IQ dan EQ ini merupakan ‘kotak-kotak’ yang terpisah. Begitu juga sebaliknya mereka yang EQ nya mudah dilentur, IQ pula sukar dibentuk. Kemampuan akal memahami dan mengingati fakta tidak sama dengan emosi yang bukan sekadar memahami tetapi menghayati maklumat yang diterima dan pastinya emosi sangat berkait dengan pengalaman seseorang, didikan dari rumah,didikan dari sekolah, pengaruh rakan sebaya juga faktor status sosio-ekonomi

Baru-baru ini saya diberi peluang mengendalikan program PELAJAR HEBAT BILA IBADAHNYA HEBAT kepada para pelajar yang sedang mengikuti pengajian A Level dimana mereka akan menyambung pelajaran ke luar negara.


Berbanding pengalaman saya terlibat dengan kursus motivasi yang melibatkan pelajar yang kurang cerdik malah pelajar ‘nakal’ , saya dapati tahap emosi segelintir pelajar yang hebat akalnya hampir tiada beza. Saya tidak merujuk kepada pelajar yang disebut diatas tetapi itulah yang boleh kita lihat dikalangan pelajar lain di pusat-pusat pengajian tinggi yang lain. Bagi saya, perkataan yang lebih tepat ialah pelajar-pelajar ini lambat matang ,segelintir yang masih menonjol karektor ‘childish’ dan terserlah kecintaan mereka kepada keseronokan hiburan, seronok mempersenda rakan, seronok kepada ‘lawak bodoh’ malah ketawa terbahak-bahak kepada sesuatu yang tidak lucu pada pandangan seorang yang matang. Mereka ini juga sukar untuk bersikap serius kepada hal yang sepatutnya serius.

Gejala sosial pelajar cerdik ini kita boleh baca dan terpampang didada-dada akhbar. Beberapa hari yang lepas, di paparkan pelajar Universiti yang kononnya tension belajar, mudah menyerahkan kegadisannya kepada kenalan chatting sehingga melahirkan anak luar nikah. Kita juga pernah mendengar pelajar IPT yang ada sugar daddy yang menampung pembelajaran mereka dan ada yang berkata, 'serahkan badan tidak luak pun asalkan jangan sampai perut buncit!!'. Ini sekelumit dari jenama-jenama mungkar dan kita sudah letih mendengarnya malah yang malangnya media pula mengambil kesempatan mengekploitasi berita sebagai pelaris jualan.

Saya yakin, diluar sana, golongan yang kurang cerdik sebenarnya lebih ramai dan tentunya emosi dan tingkah laku yang lambat matang serta pelbagai gejala sosial yang lain lebih ketara dikalangan mereka

Dalam sesi ceramah dan aktiviti dalam kumpulan yang saya kendalikan, saya menekankan punca utama permasalahan dalam diri setiap individu sehingga kelihatan pelbagai jenama kemungkaran dari pelbagai tahap usia dan status ialah kerana longgarnya hubungan dengan Allah, dan kepada mereka yang sudah pun taat beribadah tetapi ibadahnya ‘mati’, kosong, tidak hidup, tidak berkualiti dan tidak dinamik.

Kita boleh berubah bila sudah disuntik semangat, motivasi, dorongan tetapi ianya bersifat sementara kerana yang tersentuh itu sekadar emosi tetapi skil, kemahiran dan kaedah untuk mengekallakan emosi itu tidak dibekalkan. Sepertimana jika kursus kemahiran matematik, kemahiran berkomunikasi, para peserta akan terdorong kerana selepas kursus mereka dibekal dan boleh mempraktik skil-skil yang diberikan.

Dalam kesempatan 4 slot bersama pelajar yang otak bergeliga ini, saya membekalkan kaedah biomekanik yang boleh di aplikasi semasa solat, semasa membaca Al Qur’an sehingga ibadah khusus ini hidup dan berkulaiti serta dengan matlamat yang jelas mendapat keredaan Allah dan yakin mendapat pahala dari –Nya. Saya juga menerapkan supaya sentiasa ada sifat rasa bimbang amalan yang dibuat tidak bermutu dan tidak diterima oleh Allah. Saya juga menjelaskan secara ringkas 20 sifat-sifat yang ada pada ibadah ( solat ) yang berkualiti dan khusyuk dari kaedah tabiie yang memenuhi fitrah biologi manusia ( bioperubatan ibadah).