Pages

Wednesday, October 3, 2007

Mencari Atau Menunggu Lailatulqadar?


Ada sesetangah surau atau masjid yang mengadakan qiamulail pada malam-malam ganjil sepuluh malam terakhir ramadhan malah ada yang tidak dibuat lansung, sunyi sepi seperti malam-malam biasa.

Persepsi sempit begini harus diubah. Ada kenalan penulis yang sangat yakin pernah ‘merasai’ akan malam lailatulqadar dan ianya berlaku pada malam genap, dimana kebetulan pula dimasa itu negara kita terlewat sehari mula berpuasa dari negara Arab.

Mesej utama mencari lailatulqadar pada setiap sepuluh malam terakhir ini ialah melatih diri untuk bersungguh atau dengan kata lain usaha yang ekstrem untuk mendapat sesuatu yang ekstrem. Sedangkan berkerja bersungguh belum tentu menghasilkan seperti yang dihajati apalagi kerjanya sambil lewa. Adalah tidak dinafikan, berjaga sejak jam tiga pagi sehingga subuh dan esoknya terpaksa berkerja,ianya bukan perkara mudah. Jika mula beribadah semula pada jam empat pagi atau sejam sebelum sahur,bermakna kita masih qiamulial seperti malam-malam biasa sahaja dan belum bersungguh beramal pada malam lailatulqadar.

Kadang-kadang penulis terfikir, apakah makna sebenar mencari lailatulqadar ini? Mengapa tidak digunakan istilah menunggu malam lailatulqadar? Bila sudah beramal sepanjang malam pada sepuluh malam terakhir, bermakna kita sentiasa menunggu kedatangannya, kehadiran rahmat Allah, malaikat turun memenuhi bumi. Jika mencari lailatulqadar dan sekiranya sudah merasakan sudah mendapatnya, maka malam-malam seterus tidak bersungguh beramal kerana yang dicari sudah ditemui, boleh tidur lena sehingga waktu sahur. Apapun itu hanya istilah bahasa, yang penting kita berusaha menunggu dan mencari malam gemilang ini yang ada hanya sekali dalam setahun.

Menunggu dan mencari lailatulqadar ini sebenarnya bermula sejak waktu maghrib lagi kerana lalilatulqadar tidak bermula selepas jam 12 malam! Maka bersungguhlah meningkatkan kualiti dan kuantiti amal, termasuk ’hanyut dalam dunia tarawih’, 'hanyut bertahajud', bertadarus, hati yang sayu berdoa dan terus berkomunikasi dengan Allah SWT.
Ramai dari kita tergolong dari mereka yang hebat, kreatif dan bersungguh mencari habuan dunia, ada yang dapat banyak, ada yang sedikit. Maka mengapa tidak kita jugaa hebat, kreatif dan bersungguh mendapatkan habuan akhirat yang kekal itu. Malah ianya membantu kita lebih kreatif dan hebat menikmati nikmat dunia!!

Yakinlah, yang menunggu sambil beramal pada setiap malam pada sepuluh malam terakhir akan mendapat lailatulqadar kerana itulah keyakinan kita melainkan dengan izin-Nya, lailatulqadar itu lebih awal lagi untuk kali ini, wallah’uklam.