Adalah menjadi kesilapan besar kepada pengiat dakwah jika lebih memfokuskan golongan remaja, pelajar sekolah, pelajar pengajian tinggi dan golongan awal dewasa sebagai sasaran untuk berdakwah. Dan saya yakin gerakan dakwah dimana sekali pun khasnya di Malysia mempunyai perancangan yang rapi terhadap golongan ini. Ianya bermula dengan menubuhkan tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Walaupun bilangannya sangat sedikit dan mungkin kurang dari 5 % dari anak-anak serta remaja belajar di instituisi ini berbanding instituisi pendidikan biasa tetapi usaha kecil itu tetap diteruskan. Ada juga badan dakwah yang taraf pendidikan tadika dan sekolah kehadapan, sedangkan dakwah umumnya tertinggal dibelakang.
Begitu juga program dan modul-modul sudah sedia dibentuk dalam gerakan dakwah ini untuk golongan diatas. Ada program yang mungkin bentuknya ’ touch n go’ atau yang ’ touch n keep’ dan tidak kurang ala ’ smart kad’ ( sentuhan dari jauh sahaja). Dan ada mad’u muda yang mungkin tidak masuk dalam senarai, apabila mereka sekadar memasuki institusi yang bertaraf sijil atau kemahiran vokasional semata seperti kolej kominiti, kolej Perubatan, Kolej Jururawat, Institut kemahiran berbanding penuntut universiti yang menjadi ’buruan’ gerakan dakwah.
Kesimpulannya tumpuan mad’u muda ini sentiasa dititik beratkan dan tentunya lebih tumpuan lagi terhadap pentarbiyahan anak-anak ’pendakwah’ itu sendiri. Disini saya tidak berhajat untuk membincangkan mad’u muda ini yang memiliki pelbagai potensi dan yakin setiap gerakan dakwah jelas akan hala tuju masing-masing. Sebenarnya potensi mad’u muda ini sangat ramai dan ada dimana-mana sahaja. Dengan kata lain kerja pengiat dakwah sangat banyak terhadap golongan ini tetapi kemampuan terbatas. Keterbatasan ini lebih sukar lagi apabila para duat itu pula membataskan kemampuan masing-masing.
Saya yakin setiap duat memahami bahawa skop mad’u itu cukup luas, dan perbincangan yang ingin saya kongsi bersama ialah para mad’u golongan yang lebih dewasa iaitu golongan yang sudah berkerja atau yang sudah berumah tangga. Baik lelaki dan wanita, di kampung tradisional, kampung nelayan, kampung moden, bandar kecil, bandar besar atau di Kotaraya. Sebelum itu perbincangan ini lebih tertumpu kepada muslim berbangsa Melayu sahaja yang berumur dari 35 tahun keatas sehinggalah kepada warga emas.
Mari kita analisa secara pandangan umum bagaimana pemahaman, pengamalan dan penghayatan golongan ini terhadap Islam? Dan memikirkan apakah mauduk utama yang ingin kita dakwahkan pada golongan ini dan kemana ingin kita bawa mereka?
Saya ingin bermula dari golongan pesara iaitu dari umur 55-80 tahun. Di Malaysia, pada usia ini, pendakwah sendiri sangat kurang dan lebih sedikit golongan yang mendapat pendidikan dalam gerakan harakah, namun tidak dinafikan masih ramai para ustaz . Malah kebanyakkan ulamak dikaitkan dalam lingkungan usia ini.
Dan tidak kurang dari para duat berfikir, orang awam pada usia ini sudah ’terlepas’ dan tidak masuk dalam senarai mad’u lagi!!. Sedangkan potensi mereka masih banyak walaupun kita sangat faham untuk merubah cara fikir dan cara hidup mereka bukan satu perkara mudah. Segelintir dari mereka menumpukan beribadah dengan mendekatkan diri dengan masjid dan surau walaupun ada dikalangan mereka menjadikan surau/masjid itu seperti kedai kopi atau sidang parlimen kedua mereka!
Kebanyakkan dari mereka tidak lagi berkerja dan masa dihabiskan dengan aktiviti tidak formal. Juga tidak dinafikan ada yang masih berkerja atau terpaksa berkerja kerana desakan ekonomi. Anak-anak mereka sudah besar dan mempunyai kehidupan sendiri. Mereka sudah mendidik anak-anak dengan cara mereka sendiri, ada anak yang menjadi dan yang membawa masalah kepada masyarakat.
Dan saya yakin, pendakwah pada lingkungan usia dibawah 40 tahun sekarang ini, ibubapa mereka tergolong dari golongan ini.Dari itu cara didikan yang pernah para duat dapati dari mereka, pasti akan mempengaruhi cara kita berfikir dan cara kita berkerja. Inilah sebagai perbandingan, suatu hari nanti sepatutnya akan berlaku perbezaan yang besar kualiti duat yang ibubapanya juga seorang duat.
Persoalannya, kemana mahu kita halatujukan golongan pesara ini dalam gerakan harakah? Kita mahu mereka duduk dalam usrah? Bersama dengan program umum, sedangkan program itu tidak atau belum kita sediakan untuk mereka?
Juga apakah bahan yang mahu dibualkan? Berbual dengan mereka tentang Islam yang syumul? tentang politik Islam semasa? tentang ekonomi Islam? Atau kita berbual kosong sahaja? Menjadikan kawan biasa? Kawan kariah? Atau kita tidak mendekati mereka? Atau kita tidak mampu untuk turun kebawah kerana BAHASA DAKWAH kita tinggi? Atau duat yang bukan ustaz, terasa kekuk untuk bercakap hal Islam dengan mereka, sebaliknya boleh rancak berbual tentang isu semasa? Juga cukup dengan ceramah / kuliah umum oleh duat yang ustaz dan yang bukan ustaz?
Juga persoalannya, siapa yang sepatutnya mendekati mereka? Adakah duat yang usia 30an atau 40an? Atau duat yang hampir sebaya? Atau duat yang bertaraf ustaz sahaja lebih sesuai bercerita tentang Islam dengan mereka?
Harus difikirkan juga, bagaimana pula golongan ini yang terdiri yang taraf pendidikannya rendah, orang kampong biasa, petani, nelayan atau peniaga kecil ? Adakah gelombang pemikiran duat yang tinggi itu, mampukah untuk turun menyamai gelombang mereka?
Jangan nafikan potensi mereka, paling tidak mereka boleh menyokong dari sumber kewangan melalui derma umum atau undi mereka atau nasihat sebagai orang berpengalaman.
Seterusnya golongan kedua ialah dewasa melewati usia 40an( @ 35 tahun) sehingga usia bersara. Saya yakin sebahagian besar generasi pertama dakwah harakah di Malaysia ini dalam lingkungan usia ini. Dengan kata lain rakan sebaya mereka.
Sudah menjadi satu stigma umum, selepas usia 40tahun, merupakan usia yang liat untuk merubah seseorang. Pepatah orang yang cinta dunia pula akan berkata," kehidupan bermula pada usia 40an". Dikatakan, pada usia ini sukar untuk merubah kebiasaannya, cara berfikir, kepercayaan, malah juga dikatakan jika orang yang tidak pernah berniaga tetapi ingin memulakan pada usia ini, bermakna mereka seperti mengali lubang kubur sendiri!.
Golongan ini sangat berpengaruh dalam masyarakat, malah mereka memimpin negara, memimpin syarikat besar, memimpin organisasi dan sebagai. Umat Islam pada golongan ini juga ada bermacam-macam puak dan golongan. Ada yang yakin Islam dengan berpolitik, baik dalam PAS malah dalam UMNO sendiri. Manakala ada yang telah lama dalam gerakan harakah yang bergerak dalam NGO ( tidak perlu disebut nama NGOnya).
Persoalannya, adakah ada dalam fikiran para duat untuk mengajak golongan usia selepas 40an ini untuk kembali kepada ajaran Islam tanpa memasuki mana-mana parti politik? Atau mengatakan cara dakwah dengan keluar 7 hari atau 4 bulan itu tidak betul? Atau mengajak duat yang berada dalam NGO lain ke dalam NGOnya?
Atau lupakan mereka ini, dan tumpukan kepada orang awam yang selepas usia 40an ini yang belum memahami Islam yang sebenarnya ?
Juga ulang balik soalan yang sama, adakah duat mahu mengajak mereka duduk dalam usrah, sedangkan usrah pada tahap ini tidak disediakan untuk golongan usia begini? Begitu juga tiada program umum yang tersusun untuk mereka? Walaupun bukan NGO itu sendiri yang menyediakan ceramah / kuliah umum, tetapi cukup sekadar oleh individu yang membawa bendera NGO kedepan kedalam masyarakat, dan tentunya duat bertaraf ustaz memainkan peranan? Persoalanny, berapa ramai duat yang ustaz sudah kedepan atau yang kedepan dengan bendera NGO, dan sejauh mana PERBEZAAN KUALITI penyampaiannya dengan penceramah ‘bebas’ yang lain ?
Saya yang tergolong pada usia ini, dan melihat mereka dari berbagai sudut. Memang benar, dakwah fardi adalah cara terbaik mendekati golongan ini. Bukan untuk mengajak mereka duduk formal dalam usrah, tetapi sampaikan mesej penghayatan Islam yang sebenar. Tidak perlu bercerita dengan gelombang yang tinggi, dan saya biasa memulakan bicara tentang membaik taraf ibadah harian dan mengajak mereka dahulu mendekati surau atau masjid. Juga bersama mereka mengikuti kuliah magrib/ subuh. Menghadiri kenduri kendara. Manakala isu semasa yang ada kaitan dengan Islam atau tidak, hanya isu sampingan untuk menjadi bahan bual. Semakin mereka mendekati kita, semakin tinggi kepercayaannya terhadap kita, baru mudah masuk jarum dakwah.
Seerah dalam ikhwan sendiri, ada ulamak biasa ( bukan nusantara)mengenali ikhwan muslimin selepas usia 40 tahun hasil dakwah fardi dan mereka menonjol dalam gerakan harakah ikhwan.
Dari sedikit pengalaman saya yang memberi ceramah umum/forum kepada khalayak terutama atas tajuk Kehebatan Beribadah , Sains dan Islam, Motivasi Kesihatan dan Isu Palestin, ianya tetap sebagai ceramah umum dimana kesannya mungkin sementara. Namun usaha para duat dalam ceramah umum dimana sahaja harus diterus dan diperhebatkan. Dan tidak seharusnya tugasan itu diserahkan pada duat yang ustaz –ustazah sahaja!! Jika ada yang kurang setuju dengan pengajian/ ceramah umum ini, satu persoalan lagi, pastikan dakwah fardi oleh orang yang memberi komen itu lebih hebat lagi!!!
Analogi dari perniagaan MLM, bukan semua ahli akan aktif berniaga. Mungkin downline yang aktif beberapa orang sahaja, tetapi lebih ramai ahli atau bukan ahli yang sekadar membeli barangannya secara regular. Ini dikenali sebagai ahli penyokong. Begitu jugalah, jika produk Islam yang ingin kita bawa melalui wadah harakah berjenama NGO ini, sudah dikenali masyarakat dan mereka melihat hebatnya produk itu, mereka tidak perlu menjadi ahli tetapi sekadar pembeli sahaja sudah mencukupi.
Sekiranya produk kita tidak popular dan orangramai tidak mengenalinya atau produk itu baik tetapi kurang promosi dan galakan, produk itu akan dibeli oleh ahli-ahli yang aktif sahaja. Maka wajib kepada ahli yang aktif untuk lebih mempromosi produk dakwah ini kepada orang ramai. Pembelinya sangat ramai diluar sana.
Setiap kerja mesti ada ilmu, skil dan kemahiran. Begitu juga dalam berdakwah, ilmu komunikasi sangat penting malah mampu bergaul dengan semua orang. Sekiranya golongan yang taraf pendidikannnya rendah masih malu-malu bergaul dengan duat yang tinggi taraf pendidikannya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan komunikasi interpersonal.
Apabila jelas niat untuk mendekati dua golongan diatas dan hala tujunya, maka mesti memikirkan kaedah yang paling sesuai dan berkesan. Jika tidak potensi mereka akan terbiar, Islam sebenar tidak dapat dikongsi bersama, malah mereka terus keliru dengan cara fahaman lama dan tiada yang menegur kesilapan mereka. Golongan ini jugalah boleh menghadirkan diri dalam majlis agama, dan orang yang sama juga menghabiskan masa dengan hiburan dan leka dengan kesibukan dunia, alangkah kelirunya pemahaman Islam mereka?
Soalan terakhir ialah, mengenang kembali perubahan sikap rakyat muslim Malaysia ketika pilihanraya baru-baru ini sehingga wujudnya PR, apakah perubahan itu kerana hasil usaha dakwah kita selama ini, atau tulenkah perubahan itu atau terfikirkah kita potensi positif yang ada dalam masyarakat ini yang majoritinya masih berakhlak!!