Untuk membincangkan tajuk ini saya memulakan dengan beberapa kisah termasuk peristiwa yang saya sendiri alami.
Satu hari saya sedang memandu sendirian dan di hadapan kelihatan satu objek ditengah-tengah jalan raya lalu saya mengelak, rupa-rupanya sebuah tin kosong yang bersaiz sederhana. Kira-kira 200 meter saya berhenti di tepi dengan niat untuk berpatah balik mengalihkan tin itu. Tiba-tiba sebuah motorsikal yang lalu disitu dan berpatah semula lalu mengambil dan mencampakkan tin itu ketepi jalan. Ketika motorsikal itu melintasi saya, saya nampak seorang bangsa Cina berseluar pendik yang lingkungan usia 30an. Terdetik dalam hati saya, tin itu sebenarnya tidak menghalang laluan motorsikal dan hebat pemuda berbangsa Cina itu.
Peristiwa lain, satu hari di sekitar Taman Universiti, Johir Bahru, saya membeli sebotol air mineral , semasa membayar baru perasan itu kedai India Hindu, ingatkan kedai runcit mamak. Semasa mahu menghidupkan ingin kereta yang terletak agak jauh, tiba-tiba seorang remaja lelaki India tercungap-cungap mengetuk pintu lalu berkata, ” Abang, ini duit baki, tadi bayar terus jalan....”. Saya mengambil baki yang cuma beberapa sen dan mengucapakan terima kasih sambil memuji kejujuran anak pekedai Hindu itu. Hebat sikap peniaga Hindu tadi yang menyuruh anaknya memulangkan wang siling itu.
Pengalaman seorang kenalan yang buat kali pertama ke Perancis, dimana antara peristiwa yang benar-benar menyentuh hatinya bila mana ketika orang ramai yang beratur menunggu bas, dan apabila bas sampai dan pintu dibuka, beberapa pemuda yang kelihatan ranggi belum bergerak untuk naik bas, rupa-rupanya mereka menunggu pasangan warga tua yang sedang berjalan dengan perlahan dari arah lain untuk menaiki bas itu. Dan beliau perasan pemandu bas tidak akan bergerak selagi penumpang yang baru naik belum duduk atau sudah bergayut untuk berdiri.
Manakala dalam satu peristiwa yang di alami oleh seorang rakan yang juga seorang doktor kira-kira 10 tahun dahulu di Masjid ternama di Kuala Lumpur. Rakan saya ini kepenatan, lalu tumpang baring bersama beberapa orang lain di satu sudut masjid, lalu terlelap. Sebaik sedar beliau terus bangun dan berlalu, lalu disergah, ” Woooi, tak reti tutup kipas ke!!, kalau awak beri sedekah kat tabung tak pe laaa”. Orang yang menyergah tadi ialah bilal di masjid itu, lalu terkapa-kapa rakan saya mencari suis kerana dia tidak tahu suis yang mana satu kerana bukan dia yang ON kan kipas itu dan tidak perasan kipas itu yang masih berpusing perlahan. Rakan saya ini memandang bilal itu lalu dia berkata, ”Apa pandang-pandang!!, ingat awak sapa...”. Lalu rakan saya itu terus pergi tanpa berkata-kata apa-apa. Nak dijadikan cerita, bilal itu penjadi pesakit di wad Hospital Besar K.Lumpur dan rakan saya ini yang merawatnya. Rakan saya menceritakan semula pada bilal itu apa yang pernah dia katakan semasa di masjid dulu, bilal itu agak terkejut lalu doktor pakar itu 'membasuh’ secukup-cukupnya sikap buruknya dahulu.
Dari kisah-kisah seperti diatas dan peristiwa lain yang kita biasa dengar, bolehkah kita mengatakan sikap atau perangai seseorang tidak secara langsung dikaitkan dengan agama seseorang atau bolehkah kita berkata bahawa tahap keimanan seseorang itu belum tentu membuatkan seseorang itu hebat sikapnya atau kita berkata, kualiti iman dan kualiti amal yang bagaimana akan membentuk atau merubah perangai seseorang??
Kita lihat berapa ramai orang Islam yang taat beribadah, tetapi janjinya tidak boleh dipercayai, tidak menepati waktu, suka menangguh kerja, kerjanya sambil lewa, hasil kerjanya asalkan siap, segelintir yang memberi dan menerima rasuah, bahasanya kesat, dan lain-lain sikap negatif. Sebalik orang kafir dan orang yang tidak beragama, dengan hanya sifat fitrah baik yang manusia dan fahaman agamanya, mereka berpegang pada waktu, bersungguh dalam setiap pekerjaannya, menghormati pandangan orang lain, badan-badan kebajikan mereka untuk manusia lain dan haiwan juga hebat malah sehingga ketahap perihatin kepada serangga kecil di sesetengah hutan agar tidak pupus dan dipelihara dan dengan banyak sikap-sikap positif itu, mereka menguasai ekonomi dan kuasa dunia.
Maka tidak hairanlah, orang kafir tidak nampak kebaikan dan kehebatan sikap orang yang beragama Islam kerana tiada bezanya malah mereka merasakan sikap mereka lebih hebat. Ada sebuah keluarga Cina yang menentang sehabis-habisnya anak perempuannya yang sudah Islam berkahwin dengan lelaki Islam, bukan kerana Islamnya tetapi kerana lelaki pilihan anak mereka itu seorang Melayu. Bagi keluarga Cina ini, Melayu adalah bangsa yang malas dalam banyak hal dan yang dia tidak mahu genetik malas itu ada pada keturunannya!!!
Saya juga pernah diberitahu oleh seorang penolong pengarah jabatan kerajaan yang berbangsa Cina, dia malu bila menghadiri perjumpaan dengan kenalan bangsa Cina yang lain, bila dia selalu kena ’kutuk’ kerana berkerja makan gaji dengan kerajaan dan cuma memakai kereta proton sahaja.
Dalam bidang pendidikan, kualiti pembelajaran anak-anak Melayu juga masih ketinggalan. Saya pernah diberitahu, jika sistem meritokrasi benar-benar dijalankan dan tanpa sistem koata, bilangan doktor dan profesional yang lain di kalangan orang Melayu akan jauh terkebelakang.
Sikap yang negatif yang lebih ketara inilah yang menyebabkan anak bumi sejati dari nenek moyang di Negara bertuah ini ketinggalan dalam semua bidang. Bukan sahaja dari soal ekonomi, pemilikan harta malah sistem ’pengislaman’ dalam banyak bidang, masih teraba-raba dan tidak mantap lagi. Termasuklah bidang dakwah, yang mana duat Melayu masih ada ’cop mohor’ Melayu yang mewarisi sikap negatif bukan sikap duat Islam sejagat.
Maka keimanan dan amal yang bagaimana boleh melonjak dan merubah sikap yang sentiasa kekal bermotivasi, yang menghormati dan menepati waktu, yang sentiasa tidak puas hati dengan pencapaian, yang tidak menghadkan rezekinya pada tangan orang lain, yang lembut hatinya kepada orang atau makhluk lain yang perlukan bantuan.
Yakinlah, kita yang bersyahadah dan taat beramal, sedangkan banyak lagi sikap orang kafir yang lebih baik dari kita. Sepatutnya kesan dari amal-amal yang dilakukan secara sedar dan berkesan pada hati, sikap positif akan lebih terserlah. Dakwah juga terkesan melalui perangai dan sikap tetapi biarlah secara kolektif bukan sendiri-sendiri sehingga sikap positif itu menjadi TEMA seorang muslim.