Pages

Friday, September 21, 2007

Tahu Tetapi TIDAK TERPANGGIL

1. Ramai yang tahu merokok itu memudaratkan tetapi ramai yang TIDAK TERPANGGIL malah tidak kisah dan gagal berusaha berhenti merokok.

2. Ramai yang tahu beramal dibukan ramadhan itu berlipatkali ganda pahala, tetapi masih TIDAK TERPANGGIL bersungguh beribadah kerana masih ramai yang 'bersantai' .

3. Ramai itu bulan ramadhan itu bulan berlawan arus keperluan biologi dan bulan TIDAK. Iaitu tidak makan, tidak minum, tidak menipu, tidak mencarut, tidak memaki, tidak mendengar fitnah, tidak melihat bahan porno di internet, tidak berfikir perkara tidak berfaedah dan tidak-tidak yang lain. Tetapi memilukan bila melihat berduyun-duyun orang berpesta di bazar ramadhan, bersesak-sesak, berlaga-laga badan lelaki wanita ( termasuk bukan Islam yang berpakaian tidak sopan). Penjual pula terlupa yang dia sedang berpuasa, ada yang terjerit-jerit memanggil pelanggan, lagak seperti pasar malam. Ramadhan pesta makanan menjelang waktu berbuka. Minggu depan pula bermulalah orang yang berpuasa ini bersesak-sesak di pasaraya memenuhi 'nafsu raya' walaupun tidak sakan, ianya akan menjadi sakan bila rambang mata.

4. Ramai yang tahu, fizikal badan menuntut hak supaya aktif beriadhah, mengaktifkan denyutan jantung, mengerakan sendi-tulang tetapi TIDAK TERPANGGIL malah rasa pelik pula melihat orang tua yang lincah bersukan.

5. Ramai yang sudah mentelaah buku BioMekanik Solat ( sudah lebih 7 ribu ditangan pembeli), tetapi TIDAK TERPANGGIL untuk meningkatkan kualiti solat dan kualiti ibadah yang lain. Pernah seorang ahli agama yang sudah 4 bulan membeli buku ini,dan mengatakan buku ini boleh membantu untuk khusyuk, ketika berjumpa secara kebetulan, beliau meminta penulis menerangkan secara ringkas buku ini yang mana menurutnya belum sempat habis baca dan belum sempat beramal! Malah sekitar seribu orang yang sudah pernah mendengar sendiri penerangan dari penulis sejak febuari tahun ini, tentunya bukan semua terpanggil untuk beramal dan berubah.


6. Ramai duat yang tahu memenuhi tuntutan syumul ( holistik) tetapi TIDAK TERPANGGIL untuk mengimbangkannya, segelintir duat yang tidak berbeza dengan orang yang tidak mempunyai fikrah Islam, dia sama gendutnya, sama lembiknya, sama kualiti amal fardi, sama 'melatahnya', sama juga bersesak-sesak dicelah orang ramai mencari juadah berbuka, sama pengetahuan amnya, sama dan begitulah sama serta masih banyak yang sama dengan orang-orang lain . YA !MASIH SAMA.

Diatas adalah beberapa contoh yang kita sememangnya tahu tetapi TIDAK TERPANGGIL untuk berubah, ada yang berkata belum sampai seru, belum sampai hidayah! Allah memberi hidayah kepada mereka yang mencari hidayah itu.

Disini penulis ingin berkongsi sedikit pengalaman mereka yang TERPANGGIL DAN MENCARI HIDAYAH untuk meningkatkan kekhusyukan semasa solat, malah ada yang sanggup datang dari Singapura untuk berjumpa penulis sendiri, ada yang menelipon dari Miri, dari Brunei. Ada yang menelepon penulis dalam keadaan menangis teresak-esak ( seorang lelaki dari Kulai) menceritakan nikmatnya 'bercakap' dengan Allah. Ada yang mohon untuk tolong jualkan buku-buku ini kepada rakan-rakan tanpa mahu sebarang keuntungan, kerana mahu berkongsi sesuatu yang baik dengan orang lain. Agak banyak juga emel-emel yang penulis terima yang memberikan 'testimoni' selepas membaca buku ini. Manusia tidak mampu sedikit pun merubah manusia lain melainkan dengan izinNya dan mesti melalui proses pencarian hidayah.

Teringat penulis kepada seorang free thinker berbangsa India, yang percayakan Tuhan dan kerap terlintas didalam hatinya , " Ya Tuhan, jika Kau benar-benar ada, Kau lindungilah aku '. Akhirnya dia berkenal dengan gadis Melayu dan dia pun hairan bagaimana gadis itu boleh jatuh cinta pada dia yang memang kulit amat 'gelap' dan dia orang yang tidak berada, dan akhirnya dia bersungguh mendalami Islam, walaupun dia berkahwin dengan gadis Melayu lain kerana gadis sebelumnya mendapat halangan kuat keluargnya dan kini lelaki India ini sudah hafal banyak ayat-ayat al Qur'an.

AlBaqarah:272. Bukanlah atas kamu menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki. Dan apa-apa kebaikan yang kamu nafkahkan adalah untuk diri kamu sendiri, dan kerana demikianlah kamu menafkahkan, hanya menginginkan keredaan Allah; dan apa-apa kebaikan yang kamu nafkahkan, akan dibayar kepada kamu sepenuhnya, dan kamu tidak akan dizalimi.