Pages

Monday, March 23, 2009

Sembunyikan ilmu dan fakta, demi pangkat!!


"Hai bani Israel, ingatlah nikmat-Ku yang Aku kurniakan ke atas kamu dan sempurnakan perjanjianmu, nescaya Aku sempurnakan perjanjian kamu dan Akulah semata-mata hendaknya kamu takuti. "Dan kamu beriman kepada barang yang Aku turunkan, menyetujui apa yang ada pada kamu dan jangan kamu jadikan orang yang mula-mula kufur kepada-Nya dan jangan kamu jual perintah-Ku padan harga yang sedikit dan Akulah semata-mata hendaklah kamu takuti". Ayat itu bermaksud, Allah memberitahu dan dituju kepada anak cucu Yaakub khusus kepada ahli kitab yang hidup pada masa Nabi Muhammad. Allah memberi ingatan kepada mereka supaya mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Allah mahu mereka menunaikan janji dan pesanan Allah yang terkandung dalam kitab Taurat. Jika mereka menunaikan pesanan itu nescaya Allah menunaikan janji-Nya kepada mereka dengan balasan syurga. Allah mengingatkan mereka supaya beriman dengan kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sedangkan al-Quran mengakui kaum Yahudi daripada bani Israel mempunyai kitab Taurat.

Oleh itu, jangan mereka membeli ayat Allah dengan murah iaitu dilarang merahsiakan kandungan kitab Taurat kerana ingin mendapat kepentingan di dunia. Mereka sepatutnya takut kepada Alah dengan tidak melakukan perbuatan dilarang-Nya.
Sesungguhnya Allah mengingatkan orang Yahudi bahawa mereka berasal daripada anak cucu bani Israel iaitu Nabi Yaakub Ishak yang digelar Israel kerana perkataan Isra bererti hamba Allah. Oleh itu, Israel bererti hamba Allah. Allah mengingatkan Bani Israel khususnya ahli kitab yang sezaman Rasulullah mensyukuri nikmat dikurniakan antaranya ramai kaum mereka menjadi nabi dan rasul serta diturunkan kitab. Allah menyelamatkan mereka daripada kekejaman Firaun. Mereka ialah pengikut Nabi Musa yang diberi minum air terpancar dari batu dan diberi makanan dari langit bernama manna dan salwa. Allah mengingatkan ahli kitab bani Israel supaya mengambil iktibar daripada tindak-tanduk datuk nenek moyang mereka yang mengingkari nikmat Allah. Mereka akhirnya diseksa kerana kufur.

Allah mengingatkan bani Israel supaya memberitahu manusia mengenai kelahiran Nabi Muhammad dan keistimewaan Baginda sebagai nabi dan rasul akhir zaman. Mereka dikehendaki beriman kepada Nabi Muhammad dan kitab yang dibawanya. Jika menunaikan janji ditetapkan Allah mereka diberikan Allah balasan yang amat besar iaitu syurga. Mereka diberi amaran supaya takut kepada Allah dan tidak berdusta kepada Rasulullah. Diceritakan dalam kitab Allah kepada rasul terdahulu yang menerangkan kepada manusia termasuk bani Israel supaya beriman dengan Nabi Muhammad dan selepas itu tidak mengikut kitab yang diturunkan kepadanya.

Jika Nabi Muhammad tidak mengikut kitab yang diturunkan kepadanya, nescaya Allah mengazabkan mereka seperti kaum yang mengingkari rasul terdahulu daripada Baginda. Allah mengingatkan ahli kitab supaya beriman dengan al-Quran diturunkan kepada Muhammad SAW yang turut mengakui kitab Taurat diturunkan kepada bangsa Yahudi daripada bani Israel. Oleh itu, tidak wajar ahli kitab menjadi orang pertama mendustakan Muhammad dan menafikan Baginda datang daripada Allah sedangkan mereka mengetahui kebenaran Muhammad dalam Taurat. Ahli kitab seolah-olah menjual ilmu pengetahuan yang terkandung dalam kitab mereka pada harga terlalu murah kerana mahukan kepentingan di dunia yang terlalu rendah nilainya. Mereka meninggalkan kenyataan dalam Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad dan juga al-Quran yang diturunkan untuk umatnya bagi mendapatkan jawatan ketua penganut agama Nasrani. Mereka patut takut dengan perbuatan menjual ayat Allah pada harga murah kerana membeli sesuatu yang rendah nilainya untuk kepentingan di dunia. Mereka sanggup menjadi kufur dengan al-Quran dan Nabi Muhammad.

Tindakan mereka membawa bencana kerana Allah murka seperti juga kepada datuk nenek moyang mereka yang ingkar. Ahli kitab tidak perlu mencampur-adukkan perkataan benar dengan yang salah seperti mereka mencampurkan kebenaran kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa dengan kepalsuan yang ditulis sendiri. Mereka tidak sepatutnya menyembunyikan hakikat yang sebenar sedangkan mereka mengetahuinya.

Sumber: Berita Harian on line - 23.3.09, artikel yang baik yang 'terselit' dalam akhbar rojak ini