Pages

Friday, January 23, 2015

Ayam berketak bunyi sekampung, kemudian kembali sunyi.

Baru-baru ini hebuh berbunyi ( diketakkan) akan gadis Melayu bertudung yang sengaja rela dipeluk oleh artis lelaki Korea dengan budaya KPOP ( kami peluk orang perempuan).



Saya tidak pasti sejak bila budaya ' keKorean' ini mula menular dinegara kita, kerana ada orang Melayu yang sanggup melawat tempat pengambaran drama terkenal Korea. ( maaf lupa tajuk dan tidak pernah menonton).

Adegan pelukan artis Korea ini bukan perkara baru, cuma baru-baru ini terlepas videonya dan diviralkan  dalam aplikasi whatsapp. Maka ramailah yang mengutuk tindakan gadis-gadis bertudung itu dan tidak kurang yang menasihatkan supaya gadis tersebut diberikan kaunseling. Lebih seminggu isu ini dicanangkan dengan gambaran akan kerosakkan akhlak muda mudi zaman globalisasi ini.

Kini isu itu tiba-tiba sunyi dan masalah moral tidak lagi menjadi topik perbincangan, tiada lagi bunyi bising. Seperti biasa ramai pengulas dan pemberi pendapat, tetapi tidak ramai yang memberi cadangan penyelesaian masalah.

Sebahagian besar dari kita secara positif beranggapan wanita bertudung tentu sudah beres soal solat dan ibadah yang lain serta seorang yang beriman. Saya bersetuju walaupun tidak sepenuhnya betul, namun apabila sudah mampu beribadah belum tentu mampu menjaga akhlak. Wanita dewasa atau lelaki dewasa juga bermacam akhlaknya walaupun sudah selesai tuntutan beribadah, malah sudah bergelar haji atau hajah tetapi berakhlak seperti belum pernah menunaikan haji!!.

Isu moral adalah isu kitar semula mengikut generasi. Mungkin mereka yang hebat mengulas isu moral remaja ini, mungkin dahulu semasa remaja mereka tidak kurang hebatnya. Ataupun dia  masih lagi bermasalah?

Kajian menunjukkan faktor luaran hanya 10% mempengaruhi akhlak seseorang,10% dari rakan sebaya,  dimana sebahagian besar adalah kesan langsung didikan dirumah. Jika ibubapa " berjemaah" dengan anak-anak  dihadapan TV, mendengar lagu-lagu pop cinta dalam kereta, membaca lagi majalah hiburan , jarang solat berjemaah, jarang menuntut ilmu agama, jarang membawa anak-anak ke surau-masjid, tidak melatih anak terutamanya anak perempuan menutup aurat dengan betul dan lain-lain didikan yang dibuat sambil lewa, maka inilah contoh yang dikuti oleh anak-anak sejak mereka kecil lagi. Maka apakah yang hendak dihairankan ramai remaja yang bermasalah! Mungkin cucu juga akan mewarisi akhlak negatif itu!

Faktor luaran boleh dikawal terutamanya orang yang memegang teraju media massa orang yang berakhlak, pemimpin masyarakat yang berakhlak, penasihat pemimpin yang berakhlak. Namun untuk menukar pemimpin yang kurang akhlak ini sukar kerana yang memilihnya juga tidak mementingkan akhlak  sebagai syarat utama menjadi pemimpin. Akhirnya lagu bangau oh bangau tetap berkumandang dan menjadi carta pilihan utama.

Sebahagian ibubapa yang mula sedar dan mula  lebih beragama, sedangkan anak sudah besar atau sudah berumah tangga yang sukar atau tidak sesuai lagi ditegur! Saham ibubapa terhadap akhlak anak-anak itu tetap ada, namun selain berdoa,  merendah diri kerana silap mendidik mereka dahulu, boleh melembutkan hati anak-anak untuk berubah. Ada ibu-ibu muda yang menampilkan diri seperti anak dara. Ini juga terkait hasil didikan ibubapa mereka, kerana dia memilih suami yang setaraf ( sekufu) akhlak dengannya. Siapa mereka ini jika bukan dari pertukaran generasi.