Pages

Sunday, December 21, 2014

Semaknya kebun semaknya hati

Kita biasa mendengar bahawa bumi Malaysia ini subur, tanam apa sahaja, malah tanam pokok kurma sekali pun insyaAllah akan subur dan hidup, kecuali tanam jenazah sahaja yang tidak akan hidup.

Berkebun ini bunyinya mudah, tetapi untuk menjaga kebun bukanlah kerja sambil lewa. Kesuburan bumi kita dengan hujan dan cahaya matahari yang cukup akan menyuburkan semak. Semak yang tidak diurus akan menjadi belukar. Menanam tanaman kontan lebih sukar menjaga dan membersihkan rumput dan semak berbanding menanam pokok buah-buahan , sawit atau pokok getah. Namun jika selama tiga bulan sahaja dibiarkan, kebun sudah dipenuhi dengan semak yang bercampur aduk.


Begitu juga dengan hati kita ini, jika dibiarkan tanpa pembersihan dan penjagaan ia seperti kebun tadi akan menjadi semak yang bercampur aduk. Yang menyuburkan semak ini dari pelbagai sumber iaitu dari televisyen, internet, handfon, bacaan, media sosial, rezeki yang tidak jelas, banyak makan, banyak gelak, banyak gurau, banyak bohong dan bermacam lagi.

Sebahagian kita sekadar sambil lewa untuk membersihkan hati ini, seperti solat hujung waktu, solat sendirian, jarang berdoa, sedikit berzikir, jarang membaca AlQuran, jarang bersedekah . Apabila hati semakin semak, maka pokok iaitu iman akan tergugat kesuburannya, terbantut atau boleh mati.

Untuk melihat hasil tanaman yang subur, semak mesti dijaga selain membaja. Baja iman adalah dengan meningkatkan amalan, menambah ilmu, mengawal percakapan, mengawal gurau-senda dan banyak lagi perlakuan positif.


Sebahagian dari kita menjaga kebun hatinya pada musim tertentu terutama pada bulan ramadhan, atau ketika umrah atau menunaikan haji. Mereka ' pulun' membersihkan hati dengan meningkatkan amalan ketika itu dan selepas itu kembali sambil lewa menjaga hati.  Walaupun sudah rasa banyak beramal, tetapi bukan mudah untuk membersihkan hati yang sudah tebal semaknya.

" Didalam hati mereka ada penyakit". AlBaqarah,2:10

" Demikianlah Kami telah mengunci mati hati orang-orang yang melampaui batas"- S.Yunus 10:74