Pages

Saturday, December 27, 2008

Masih Cergas Pada Usia Lanjut

Didalam artikel penulis yang bertajuk sihat cergas, antara tuntutan biologi dan hakiki ada ditulis, usia fisiologi badan kita boleh diubah mengikut fitrah biologi. Hanya ada dua formula penting, kemahuan dan istiqamah.Pada pagi semalam, Isnin, 13 julai 07, di Tmn Sri Putri,Kulai, penulis bersama beberapa rakan( Ust Akib Abdullah, Pengerusi Aman Palestin-Johor, sdr Hisham Jaafar, Azman Bakri dan sdr Fauzi) telah berjumpa dengan seorang pesara guru yang dikenali sebagai Cikgu Sahidan, kini berusia 65 bersama seorang anak muda berusia 22 tahun, Mohd Edham sedang mengembara mengeliling Malaysia.
Mereka berdua berasal dari Perlis dan pada hari ini hari kesembilan jelajahan mereka. Dan pada jam 1 petang tadi sudah sampai ke Kota Tinggi, esok akan berbasikal ke Mersing dan seterusnya ke negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan menamatkan jelajahan ke Utara Malaysia.Syabas dan penulis sangat teruja dengan kesungguhan seorang datuk ini yang sepanjang hayatnya mengamalkan gaya hidup aktif i. Dan yang paling membanggakan apabila beliau memberi tahu penulis, kadar nadi rehatnya ialah sekitar 46-48 denyutan seminit, memang jantung beliau sangat terjaga. Sedangkan nadi orang yang malas bersenam atau sesekali bersenam walaupun masih muda, nadinya sekitar 70-80 denyutan seminit.
Cikgu Sahidan yang pernah ditemui lebih 20 tahun lalu di Perlis sempat memberi amanat penting tentang kata kunci utama dalam hidupnya “ we ask for it”, buat kerja dengan sukarela, seronok melakukannya dan jangan terpedaya dengan ‘comfort zone’ dengan amalan gaya hidup pasif, sedentary life style.Termasuk pesanan penting beliau iaitu jangan terpedaya comfort zone dalam berdakwah. Malanglah dunia dakwah bila duatnya ( lelaki-wanita) ialah pengamal utama gaya hidup pasif ini.Bagaiman pula tahap sihat cergas anda yang usia kini 55 tahun, anda yang 45 tahun, anda yang 35 tahun??
Walaupun penulis yakin sebahagian besar dari kita berfikir, orang pada usia emas dan yang aktif seperti ini kes terpencil, kita mungkin berkata seorang dalam puluhan ribu orang sebayanya dan sesuatu yang luar biasa, jarang-jarang di temui, tetapi Islam itu sendiri luar biasa, biologi badan kita juga luar biasa, minda kita juga luar biasa, semangat kita juga luar biasa.Walaupun tidak mampu aktif 50% seperti cikgu Sahidan ini, lakukanlah sesuatu untuk keluar dari dunia malas anda.
Penulis sudah mula kembali mengangkat besi-besi yang hampir sepuluh tahun ditinggalkan selain aktiviti riadhah semasa.Di ingatkan kembali Rasulullah SAW kali pertama menjadi panglima perang( Badar) ialah ketika usia sekitar 53 tahun, jangan pula kata itu Rasulullah!!, lihat bukan Cikgu Sahidan sebagai contoh malah ramai orang veteran yang tahap kecergasannya mengalahkan anak muda.
Penulis yakin jika dibuat ujian usia fisiologi Cikgu sahidan ini, usia fisiologi beliau sekitar 30-35 tahun sedangkan usia di kad pengenalan ialah 65 tahun, usia fisiologi penulis ialah 38 tahun, berbanding usia sebenar 44 tahun.Bertemu dengan Cikgu Sahidan, memang lebih menaikkan semangat penulis untuk menjadi luar biasa dalam sihat cergas seperti beliau, malu rasanya lihat tahap kecergasannya.Jangan masa muda jadi johan sukan, menonjol diri dalam sukan, bila sudah semakin tua, perut pula yang lebih menonjol.Cikgu Sahidan juga mempromosikan dan menjual kupon-kupon RM5 Aman Palestin disepanjang tempat persinggahannya.Tahniah dan terima kasih kepada Cikgu Sahidan dan adik Mohd Edham dari Aman Palestin Bhd, cawangan JohorLIHAT FOTO, CIKGU SAHIDAN YANG LEBIH SEGAK-CERGAS DIKELILINGI OLEH ORANG-ORANG YANG SEPARUH MUDA DARI USIA BELIAU.

ARTIKEL LAIN- Mana best, mandi kolam atau mandi laut??

Pada hari Sabtu-Ahad yang lepas, kami sekeluarga balik ke Seremban, untuk melihat rumah kami yang sudah siap sejak 2000 lagi dan belum pernah diduduki. InsyaAllah, kami sekeluarga akan berpindah ke sana pada hujung tahun ini. Rumah kami di SpringHill di tepi highway Seremban-PDickson iaitu 10minit dari Seremban dan 20 minit ke P.Dickson.Kebetulan isteri penulis berkursus di salah sebuah hotel di P.Dickson ( kiranya penginapan percuma), seperti biasa, anak-anak seronok mandi kolam dan mandi dilaut.
Penulis bertanya pada anak bongsu, Salman, 6 tahun, mengapa dia lebih suka mandi di kolam dari mandi laut?, jawapannya melucukan “ Sebab laut suka tolak-tolak Salman!”-maknanya kena tolak oleh ombak laut. Mesejnya, seperti kata perpatah popular, jika tidak tahan dengan ombak, jangan bina rumah ditepi pantai. Ombak itu ujian dan cabaran, dalam hidup berbagai-bagai jenis ombak yang akan kita lalui.Berkenaan dengan aktiviti renang ini, penulis perasan yang anak-anak kami sangat kurang berbakat dalam sukan sejak mereka kecil ( orang yang berbakat, bila dia pegang reket atau menendang bola sahaja, sudah boleh dikenal pasti kebolehannya) maka penulis kerap membawa mereka kekolam renang sejak usia 4-5 tahun lagi.
Penulis bukannya pandai sangat tapi masa zaman sekolah rendah biasalah mandi disungai dan di empangan, selagi mata belum merah, selagi itulah berendam.Tahukah anda, berenang ialah satu sukan teknikal dan tidak bergantung kepada bakat untuk ‘boleh’ berenang. Berenang akan melibatkan banyak pergerakan anggota sendi dan otot-otot badan, ianya aktiviti senam aerobik yang terbaik dan paling selamat. Berbanding sukan-sukan lain yang memerlukan bakat dan juga teknikal, sudah beratus-ratus bola golf yang dipukul oleh ketiga-tiga anak penulis di driving range, letih mengajarnya, tak pandai-pandai juga.
Alhamdulillah, ketiga-tiga anak penulis yang tidak berbakat dalam sukan tadi kini cekap berenang yang di ajar oleh jurulatih yang tidak bertauliah tetapi garang. Anak sulung yang kini sama tinggi dengan ayahnya, mudah menewaskan penulis dalam apa saja gaya renangan malah boleh terapung dalam kolam ikut berapa lama yang dia mahu.Persoalannya, penulis sedar ramai dikalangan kita berbakat dalam banyak sukan malah banyak mengumpul pingat-pingat, tetapi kini tidak lagi mengeluarkan keringat.Namun begitu jangan pula jadikan alas an tiada bakat, maka malas beriadhah, untuk berjogging atau berjalan cepat, tidak perlu ada bakat!!!