Pages

Thursday, February 14, 2008

Pilihan Raya : Gelanggang Menambah Koleksi Dosa??

Semalam Parlimen Malaysia sudah dibubarkan dan pada masa yang sama semua Dewan Undangan Negeri turut dibubar melainkan Negeri Sarawak, esok SPR akan mengumumkan tarikh pilihanraya, maka ini bermakna gelanggang sebenar politik tanah air atau dimana-mana negara sekali pun sudah dibuka dan disinilah puncaknya orang berpolitik.

Masih segar dalam ingatan bila seorang ahli politik yang ada nama berkata kepada saya, “ Doc ! Elok jangan terlibat dengan politik ini, politik ini kotor, nanti mengotorkan hati…..”. Bisik hati saya, dah tahu kotor, ,mengapa masuk politik?

Bahasa mudah politik ini ialah melibatkan rakyat dan pemimpin. Ada yang memerintah dan ada yang diperintah. Semasa zaman Nabi SAW, pentadbiran baginda juga adalah politik, seterusnya zaman pemerintahan empat khalifah iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman Dan Ali dan diikuti oleh pemerintahan khalifah-khalifah yang lain sehinggalah kejatuhan Kesultanan Uthman di Turki pada tahun 1924 . Walaupun ketika itu tiada pilihanraya seperti sekarang ini untuk memilih pemimpin , tidak bermakna pemilihan begini adalah salah.

Di saat akhir usia Nabi SAW, baginda tidak mewasiatkan dan tidak juga menuliskan secara jelas siapakah bakal pemimpin menggantikan baginda, dan ada peristiwa di mana baginda meminta Saidina Abu Bakar mengimami solat ketika baginda sedang gering.

Bukan isu sistem demokrasi di mana rakyat akan keluar mengundi memilih pemimpin mereka yang ingin dibincangkan disini, tetapi elok kita lihat dan bertanya mengapa di Malaysia ini yang agama rasminya Islam, dimana pemahaman yang mengatakan politik itu kotor sudah diterima pakai oleh kebanyakan orang dan apatah lagi kepada mereka yang terlibat dalam dunia poltik akan lebih lagi mengakuinya!

Bahkan dalam sebuah parti politik itu sendiri yang majoritinya beragama Islam, kemurnian berpolitik juga sudah dikotorkan. Iaitu kotor dengan dendam, berpuak-puak, melobi dengan fitnah, kata-kata nista, berbohong, rasuah dan sebagainya.

Sedangkan kita memahami, setiap kehidupan kita termasuk berpolitik, memilih pemimpin itu adalah sebahagian dari ajaran Islam yang syumul ini. Politik sepatutnya adalah jalan untuk amal-amal soleh. Tetapi politik sudah dipisahkan dari masjid dan surau. Mungkin dengan alasan politik itu kotor, maka tidak layak di bawa ke dalam masjid. Baik parti penyokong atau pembangkang kerajaan. Malah ada orang politik sudah mempolitikkan sesetengah masjid dan ada yang ’mewajibkan’ ahli AJK masjid mesti ada wakilnya 'orang politik'. Saya difahamkan juga, ditempat ibadah agama lain, berpolitik juga dilarang sama sekali. Mahu bercakap politik kena keluar dari kuil atau gereja. Di mana bezanya?

Saya pasti dan anda juga tahu gelagat manusia yang akan berkempen ketika pilihanraya nanti, baik yang beragama Islam atau tidak. Yang lebih malang, aksi negatif sebahagian dari dikalangan orang Islam ini hampir tiada beza dengan orang-orang bukan Islam. Juga difahamkan, baru di peringkat pemilihan menjadi calun untuk bertanding, sudahpun huru hara nilai persaudaraan dan mengadai perjuangan sebenar berpolitik serta tersasar landasan sebenar.

Dan kegiatan kutuk mengutuk, mengaibkan calun lain, mencaci, memaki, mengumpat, fitnah, surat layang, sms layang ( walaupun memceritakan aib orang itu sesuatu yang benar, ia adalah mengumpat dan jika salah –ianya adalah fitnah), mengoyak poster, memberi rasuah secara senyap dan nyata-samada dalam bentuk duit dan lain-lain tabiat buruk lain, di mana seolah-olah sudah menjadi lumrah setiap kali diadakan pilihan raya kecil atau umum.

Bagi saya, orang yang sudah biasa sahaja melakukan tabiat buruk ini akan tergamak cenderung atau melakukannya dan bagi orang yang tinggi tawaduknya, sangat berhati-hati untuk berkecimpung dalam dunia politik. Walaupun politik itu adalah antara lorong utama untuk mendaulahkan kembali syiar Islam, tetapi ianya sangat bergantung kepada budaya, bangsa , negara dan situasi semasa. Islam tidak tertegak dengan semangat tetapi dengan ilmu dan penyusunan yang rapi walaupun sekian lama kita mengimpikan tertegaknya kembali syariat Allah mentadbir bumi ini.

Dengan persoalan, mengapa penyokong dan ahli politik yang segelintirnya bertabiat buruk ketika berkempen sepanjang pilihanraya? Dan mengapa memilih jalan sukar untuk memasuki syurga Allah SWT?. Memang benar politik boleh menjamin kesenangan hidup tetapi hakikat mutlak kesenangan ialah diakhirat nanti. Berdosa dengan manusia lebih sukar diampunkan sedangkan dengan Allah, Dia Maha Pengampun. Berpolitik secara tidak sihat dari kacamata syariat, akan menyukarkan hisap amalan kita di akhirat nanti.