Pages

Saturday, September 15, 2007

'Hanyut' Bertarawih

Ketika mana hampir waktu berbuka, perasaan kegembiraan akan terpancar dari mereka yang berpuasa dan ketika itu hormon ceria akan dikeluarkan. Ketika itu kita akan merasai nikmatnya dapat makan dan minum semula. Alangkah baiknya perasaan suka ini kita teruskan lagi semasa mendirikan solat maghrib. Jiwa sepatutnya semakin tenang setelah seharian berpuasa kerana mematuhi perintah Allah SWT. Tetapi kepada mereka yang tersangat kekenyangan, bukan sahaja sukar khusyuk bahkan mungkin melewatkan solat maghrib tadi.

Seterusnya jiwa dan minda semakin tenang mendirkan solat isya’ dan selama kira-kira 45 minit bertarawih secara berterusan. Selama 45 minit ini, sepatutnya roh yang 'hanyut’ bersama Allah SWT. Hati yang 'haibatu wal khauf’ ( gerun dan gentar) terhadap Khalik dan merasakan kecil nilai dunia ini. Pada siang tadi kita sudahpun mampu meninggalkan kesukaan perut dan tekak, kesukaan mata dan telinga serta kesukaan anggota badan yang lain.

Inilah antara maksud berada dalam bulan tarbiah ( latihan). Masa 45 minit ini sebenarnya masih pendek berbanding solat yang dilakukan oleh orang-orang soleh terdahulu. Penulis mengucapkan tahniah masjid-masjid yang berimamkan para tahfiz. Semakin lama berdiri mengingati Allah, semakin lama roh dan biologi akan teransang. Jika pengamal Yoga, Meditasi sanggup bertafakur lebih dari sejam, mengapa kita cepat mengeluh bila solat tarawih ini lama? Mereka melakukannya setiap hari!!

Maka bukan isu solat tarawih 8 atau 20 rakaat, jika mengikut imam yang 20 rakaat, tetapi anda sudah keluar saf selepas 8 rakaat, sebenarnya berapa minit sahaja anda berkomunikasi dengan Allah? Tahniah kepada mereka yang sambung solat tarawih di rumah, tetapi jika terus terlopong depan televisyen, penulis cadangkan elok anda teruskan bertarawih 20 rakaat. Ada yang melakukan 8 rakaat tetapi habisnya juga sama seperti solat 20 rakaat. Jika 20 rakaat tetapi ekspres, bermakna dimana pula kualiti kekhusyukannya?

Rugilah mereka yang solat tarawih tetapi hanya mendapat penat dan letih sahaja bila fikiran masih melayang-layang sedangkan syaitan sudah terbelenggu. Begitulah kuatnya pengaruh nafsu. Kemungkinan pada siang tadi sekadar lesu fizikal bila perut sahaja yang berpuasa. Sedangkan orang-orang kafir termasuk orang Yahudi juga juga berpuasa!!

Inilah peluang khas selama sebulan kita benar-benar merendahkan hati, merasai keagunganNya dan merasakan bahawa benarlah seperti ingatan Allah, dunia ini hanyalah 'mainan’ dan tiada nilai disisiNya.

Tetapi jika yang bermain di minda kita apakah dan berapa banyakah juadah berbuka nanti atau keinginan berbuka dengan makanan yang jarang-jarang di makan, akhirnya membazir tidak dimakan, kemudian tersandar kekenyangan, dan mendirikan solat dalam keadaan malas dan masih tidak khusyuk seperti sebelum-sebelumnya!! Solat yang tidak bernyawa dan tidak bermaya. Bersahur juga masih berselera dan 'lupa’ pula bertahajud sedangkan inilah peluang bertahajud pada setiap hari. Adakah anda sedang berada dalam bulan tarbiah??