Monday, September 24, 2007
Jiwa Seni Vs Jiwa Histerionik
{ keratan akhbar}
( 15.8.07)Semalam dalam satu berita akhbar, Tony Kasim pelakun filem zaman 60an, meninggal dunia ketika solat tahajud, dan mungkin sebahagian dari anda membaca berita beberapa tahun yang lepas seorang pelakun filem dan drama TV terkenal( maaf, penulis lupa namanya) meninggal dunia ketika sedang berzikir didepan Kaabah. Begitu juga beberapa nama artis yang kini menjadi pendakwah, malah ada yang kain tudungnya lebih labuh dan lebih sopan dari sebahagian dari wanita yang lama bertudung. Adakah jiwa orang seni ini lebih lembut? Kita bincangkan sekejap lagi. Pembaca boleh berkongsi idea dengan penulis melalui email.
Saya boleh dikatakan berjiwa seni juga, seni dalam menulis, sesekali tulis sajak, seni bercakap-berceramah tetapi bukan pemidato yang hebat, sesekali juga melukis terutama tema ‘senja’ dan khazanah dasar lautan, rasanya lebih dua tahun tidak pegang berus lukisan dan sesekali melakar potret-potret, sedikit seni memasak tapi seni malasnya banyak dan sedikit seni bertaranum, bernasyid dengan anak-anak atau sesekali menjadi bilal.
Sepatutnya saya memilih pengkhususan dalam bidang pembedahan bukannya bidang perubatan sains sukan, kerana seorang pakar bedah mesti teliti dan halus cara kerjanya malah lapuran pembedahan juga terperinci, samaada pakar bedah umum, jantung,tulang, ENT dan lain-lain pembedahan. Rakan-rakan penulis diluar sana, ramai yang menjadi pakar bedah, yang mendapat gelaran Datuk pun ada, anda juga orang seni. Alhamdulillah, ada hikmahnya dengan perubatan sukan inilah lahirnya ‘BIOMEKANIK / BIOMEDIKAL IBADAH INI’.
bakat seni ini ada pada semua orang, ada orang hebat seni pidatonya tetapi sukar untuk menulis, ada yang hebat kedua-duanya. Ada penulis yang hebat novelnya, tetapi bila bercakap, orang yang mendengar mungkin berkata, "dia ini berbisik atau bercakap!. Bezanya bakat seni ini diasah sebagai satu kerjaya atau sekadar memenuhi minat. Bagi penulis bakat seni ini sangat berkait rapat dengan pembentukan sikap dan tingkah laku seseorang. AsSyahid Syed Qutub, seorang pemuisi dan penulis yang sangat halus lagi tinggi mutu sasteranya dan ramai lagi di kalangan ulamak yang mahir bersyair dan berpujangga, menzahirkan rintihan sanubarinya.
Saya yakin Allah SWT memberi hidayah kepada orang yang berusaha mencari hidayah, cuma orang yang berjiwa seni ini, hatinya lebih mudah tersentuh dan lebih mudah dilentur dari orang yang jiwanya lebih kasar. Jiwa seni ini juga mudah berbolak balik, sekejap 'terang', sekejap 'malap', hari ini lain, esok lusa lain pula ceritanya, wallah'uklam.Semasa zaman tadika dan sekolah rendah, seni lukis merupakan satu subjek wajib malah pelajar yang pandai melukis dan yang pandai menulis karangan menjadi pelajar kesayangan cikgu. Pernah juga beberapa kali lukisan penulis ditampal didinding depan kelas. Dan jika mengarang, pilihan utama ialah menyambung cerita, kiranya menulis cerpen.Melatih dan menggalakkan anak-anak kepada seni lukis, seni tulis sebenarnya boleh membentuk jiwa mereka lebih peka dan lebih lembut. Malahan seni bercakap atau memilih ayat bercakap dengan orang lebih tua juga patut di latih sejak kecil lagi. Tahniah kepada sekolah yang membudayakan atau ada minggu memberi ucapan ‘ assamualaikum’ .
Berbanding dengan orang yang histerionik, penghayatan emosinya lebih kepada luaran tetapi ekpresi dari percakapan, marahnya, tangisannya dan perbuatannya lebih menonjol dan berlebih-lebihan. Ada pakar psikologi menyatakan sebahagian besar dari artis ini berjiwa seni dan juga berjiwa histerionik yang inginkan glamour dan terkenal walupun dengan gosip. Ada orang seni yang menjiwai seninya dan sukar dilahirkan dari perwatakan dan kata-kata.Tidak kurang juga, ada penceramah motivasi dan mungkin juga penceramah statusnya ustaz-ustazah, pidatonya sangat ekspresif, bertenaga, beremosi, bersemaangat, ada lawaknya, ada sedihnya tetapi ‘gelombang’ pidatonya tidak terkesan sepenuhnya kepada pendengar. Ada segelintir yang menjadi perunding motivasi kaki lawak atau Ustaz kelakar atau penceramah yang modalnya mengutuk orang. Orang datang mendengar ceramah bukan kerana hebatnya ilmu, tetapi suka dengar lawaknya.
Saya ada membaca buku, iaitu senarai lawak jenaka untuk berceramah. Penceramahlah yang harus memilih kesesuaiannya kerana jika serius sangat, mengantuk juga pendengar. Cuma jangan jadi penceramah yang histerionik!Jika bercakap atau berhujah melalui ilmu dari minda dan walaupun boleh di luah melalui bahasa badan tetapi jika ianya bukan lahir dari penghayatan apalagi apa yang diucapkannya tidak diamalkan secara istiqamah, mungkin orang yang mendengar boleh sedar dan insaf tetapi kesan ini pada jangka pendek sahaja. Jika menyuruh kembali kepada Al Qur’an sedang dia sendiri jarang-jarang bertadarus, mengajar ilmu keibubapaan sedangkan dia sukar mengamalkan pada keluarga sendiri, dia menyuruh orang ikhlas dan jujur tetapi dia sendiri tidak ikhlas dan jujur depan Allah bila solatnya tidak ikhlas dan tidak khusyuk!!! Malah semalam penulis mendengar di radio IKIM , perunding motivasi ini mengajak para remaja supaya mengamalkan gaya hidup bermaruah termasuklah isikan masa seperti riadhah paling tidak tiga kali seminggu, 20 minit tiap kali beriadhah,riadhah akan melahirkan badan dan minda yang cergas tetapi hati kecil penulis berkata yang bercakap ini pun tidak buat seperti mana yang dia cakap, gelombang kata-katanya tidak masuk dalam minda penulis, maaf mungkin penulis silap.Begitu juga bagi sesetengah penulis yang menulis sesuatu perkara secara umum dan hanya sebagai bahan bacaan. Buku terhebat ialah Al Qur’an, siapa penulisnya, tentunya ditulis oleh yang Maha Hebat IlmuNya, Allah SWT. Teramat seni Al Qur’an yang ada ketikanya Allah menulis secara umum, ada yang terperinci, ada dalam bentuk arahan dan saranan, dalam bentuk rayuan, dalam bentuk celaan, tawaran, ganjaran dan pelbagai lagi bagi jiwa yang mahu mendalami lautan ilmu dalam buku mulia ini.Ada orang bertanya, macam senang sahaja nampak penulis menulis, jawapannnya benar, menulis lahir dari minda, seperti juga ingin bercakap, bezanya apa yang ada dalam minda dilahirkan melalui penulisan, tulis sahaja, tentang bahasa dan ejaan, di betulkan kemudian.
Sebahagian dari para assatizah ( ilmuan agama) yang suka bercakap, suka berceramah tetapi tidak menulis, sedangkan tulisan ini akan menjadi dokumen kekal dan lebih tersebar luas, jika tidak menulis sebuah buku, tulislah sesuatu dalam email. Tidak mampu jugak, ikhtiarkan cut n paste. Tidak mampu jugak, kena cut gelaran assatizah itu ( jangan tersinggung, gurauan profesional). Bahan-bahan yang ada dalam minda untuk memberi ceramah cuma diturunkan pada tulisan, walaupun bercakap lebih mudah dari usaha menulis, tidak mula dan tidak cuba, sudah mengaku susah untuk menulis. Menulis menajamkan minda dan kata biasanya "otak selalu jalan"Mendapat ilham untuk menulis mesti dicetus dahulu, persoalannya macam mana mahu mencari ilham? jawapannya mudah saja, bacalah tulisan orang lain. Dengan banyak membaca dan rajin berbincang, banyak ilham akan datang. INGAT! WAHYU PERTAMA YANG DITURUNKAN, IQRA’, BACALAH.