Sudah jelas ilmu dan kefahaman kita bahawa riak, ujub, hairan diri itu merosakkan semua amalan . Sepatutnya amalan itu menambah pahala tetapi sebaliknya menambah koleksi dosa. Namun apa yang saya maksudkan disini ialah apabila sifat kesungguhan dan displin tidak disertakan semasa melakukan ibadah dan semasa melakukan dakwah.
Dalam soal ibadah , pada surah al mukminun ayat 1-11, Allah telah menggariskan 8 golongan / kategori mereka yang mendapat kejayaan dan pemiliharaanNya. Dengan kata lain mereka yang gagal melaksanakannya maka tergolong dalam orang yang gagal dan tidak dalam piliharaanNya. Antara 8 golongan itu ialah mereka yang khusyuk dalam solat ( ayat ke2) dan orang yang memelihara solatnya ( ayat ke 7).
Dan didalam surah yang lain, iaitu surah yang biasa kita dengar, pada ayat ke4-5, surah al ma'un, Allah secara jelas mengutuk orang yang lalai dalam solatnya. Orang yang celaka itu adalah mereka yang berdosa. Dosanya ialah kerana TIDAK BERSUNGGUH menjaga hubungannya dengan Allah ketika solat. Tidak bersungguh disini bermakna tidak fokus akan kerja yang sedang dilakukan, iaitu kerja wajib harian, solat.
Dengan kata lain,sudah mampu solat tetapi ketika solat dia sedang melakukan dosa!!!Ada tafsiran lain pada ayat ini, bahawa tidak bersungguh dalam solat, janji Allah mencampakkanya ke dalam neraka wail. Inilah ganjaran untuk mereka yang 'main-main' dan tidak bersungguh ketika berhubung dengan Allah.
Adakah berdosa juga bila mana kita tidak bersungguh dan memahami apa yang kita doa? Berdosa tidak memahami dan bersungguh ketika berzikir? Atau berdosakah kita jika berpuasa sekadar menahan lapar dahaga? Atau tidak bersungguh itu sekadar ibadah sia-sia dan tanpa pahala?
Begitu juga dalam kerja dan mereka yang mendakwa kerjayanya ialah berdakwah, adakah ada istilah berdosa bila dakwah itu tidak bersungguh atau sambil lewa? Sebagai perumpamaan, jika mereka yang terlibat menjadi motivator dan dalam masa yang sama mendakwa berdakwah, lalu mereka yang didakwah itu dibiarkan begitu sahaja tanpa susulan pentarbiahan , ini sesuatu yang tidak menghairankan! Ini samalah seperti pendakwah bebas atau pendakwah yang bergaji dengan kerajaan. Tetapi sebaliknya organisasi dakwah yang bertanzim, tetapi kaedah dakwah dan hebahan kepada khalayak juga sama sifatnya, tanpa pentarbiahan yang tersusun, iaitu tidak ada kesungguhan dan istiqamah, maka bukankah ini juga satu dosa? Atau paling tidak rasa berdosa? Ada organisasi dakwah yang mencari sukarelawan atau mad'u tetapi selepas menebar jaring-jaring dakwah tadi, nama-nama mereka itu cuma tinggal dalam borang semata-mata!! Dengan kata lain, jaring-jaring tadi sudah bocor.
Begitu juga tidakkah merasa berdosa jika pemerkasaan individu dan organisasi dakwah itu juga dalam keadaan tidak bersungguh? Iaitu tidak bersungguh menjaga fizikal badan, tidak bersungguh menghidupkan usrah, tidak menjaga displin waktu, TIDAK BERSUNGGUH MENGHIDUPKAN hati dengan intim berhubung dengan Allah, tidak menghayati maksud katibah dan tidak bersungguh dalam amal-amal jama'i DALAMAN yang lain??
Bila kerja dalaman tidak bersungguh, maka adakah kerja-kerja luar ( berdakwah) akan dibuat secara bersungguh? Malah tidak rasa berdosa bila 'ikan-ikan' yang berjaya dijaring terlepas begitu sahaja. Dan tidak kurang ikan yang berjaya ditangkap tidak dijaga dengan sebaiknya.