Pages

Tuesday, January 1, 2008

Dua Kali Merayakan Tahun Baru Dalam Selang Seminggu....

Bagi orang kebanyakan, akan menjadi bahan sindiran bagi seseorang yang menyuarakan azam barunya dengan kedatangan tahun baru. Kebetulan pada 2008 ( hari ini ), dimana tahun baru hijrah, 1 muharam 1429 akan menyusul pula pada minggu hadapan ( 10 jan 2008). Azam baru ini menjadi sindiran kerana ianya sekadar disebut dan tidak menjadi kenyataan. Anda tentu mempunyai pengalaman tersendiri dan syabas kepada mereka yang menjadikan azamnya suatu realiti.

Sebut sahaja perkataan baru, ianya sesuatu akan dimulakan, masih diperingkat awal, masih belum terlambat. Sehinggalah ada perpatah yang menyebut ’seperti penyapu baru’. Atau pengantin baru atau masuk rumah baru atau kereta baru dan sebagainya. Sesuatu yang baru , manusia akan lebih teruja maka begitu jugalah dengan tahun baru ini. Ada yang lebih malang lagi, ada orang yang tidak terlintas langsung untuk berazam baru kerana padanya tiap hari yang berlalu adalah sama!.

Meletakkan AZAM pada peringkat awal pada setiap tahun atau pada setiap bulan atau setiap minggu dan yang lebih hebat lagi pada setiap hari itu HANYA ada pada orang yang sentiasa SEDAR dan akan SENGAJA melakukan sesuatu perkara walaupun perkara itu suatu rutin baginya. Ianya juga ada pada orang yang sentiasa bermotivasi , orang yang mencari dan kreatif melakukan perubahan serta ’bosan’ melakukan kerja yang sama tanpa ada perkembangan yang baru.

Sebelum ini, saya ada menulis sinopsis IBADAH YANG DINAMIK akan merubah kehidupan dimana sekiranya kita mengambil solat sahaja sebagai contoh, sudah memadai untuk menukar ’wajah kehidupan’ seseorang.

Jika tadi pada setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu, setiap hari TETAPI dalam solat, kita AKAN BERAZAM MELAKUKAN YANG TERBAIK PADA SETIAP WAKTU SOLAT DAN LEBIH HEBAT LAGI BILA INGIN MELAKUKAN YANG TERBAIK PADA SETIAP RAKAAT. Dengan kata lain akan merasakan sentiasa BARU pada setiap solat dan setiap rakaat.

Sifir mudah biologi manusia yang melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang, ia akan terus memberi kesan langsung pada manusia. Apatah lagi pada minda jika dilakukan dalam keadaan sedar dan disengajakan.

Namun begitu, sukar dan bukan mudah untuk istiqamah ( kekal) supaya sentiasa sedar dan sengaja itu.

Formula untuk kekal ialah juga dengan indera kita iaitu dengan melihat, mendengar, menyentuh (membuat), membaca, menyebut malah dengan membaunya. Manusia berbeza cara untuk disedarkan, ada yang lebih suka orang lain mengingatkan mereka, ada tidak suka bila orang lain mengingatkan mereka, ada yang lebih suka mendengar dari membaca, ada yang lebih kepada menyebutnya. Ada orang yang menampal atau menyimpan sesuatu azam dan matlamat tertentu supaya mudah dibaca dan dilihat sebagai suatu ingatan. Bila menulis sendiri, melihat, memegang lalu disebut, tentulah lebih terkesan didalam hati. Kerana hati itu pengerak segala-galanya dan titik pelupa itu didalam minda.