Semalam,Sabtu, 22.9.07, penulis diberi peluang bersama anak-anak remaja di Bangi dari jam 10.30pagi sehingga 4 petang dalam program Remaja Dan Ramadhan selama dua hari, anjuran Kelab Remaja ISMA, cawangan Hulu Langat. Penulis memberikan ceramah bertajuk puasa dan kesihatan, dan pengenalan kepada BioMekanik Solat.
Di dalam buku BioMekanik Solat, penulis menyebut tentang mendidik anak bukan lagi sekadar bertanya atau menyuruh mereka mendirikan solat tetapi bertanyakan adakah solat mereka khusyuk atau tidak? Begitu jugalah dalam kontek berpuasa, mengingatkan mereka hakikat sebenarnya bukan sekadar tidak makan, tidak minum tetapi lima panca indera yang lain tidak juga melakukan perkara yang mencacatkan kualiti puasa.
Inilah PERSEPSI yang seharusnya ditanam dalam minda anak-anak remaja, sehingga mereka jelas dan matlamat solat itu ialah apabila solat itu ‘berjaya’ dan diredai Allah SWT sepertimana persepsi mereka dimana matlamat menduduki peperiksaan untuk berjaya dengan cemerlang.
Juga memberitahu mereka solat ini bukan sekadar berkaitan dengan kerohanian semata-mata tetapi dengan solat boleh mencetus minda yang lebih cerdik, badan lebih sihat, merubah gelombang otak, hormon badan atau dengan kata lain merubah sistem biologi badan dan meningkatkan hubungan sesama manusia. Begitu juga dengan berpuasa, dimana dikatakan ketika paras glukos dalam darah menurun 70-80 peratus, minda manusia akan semakin aktif ( perangsangan tinggi pada otak kiri- otak ligik / analisa). Malah pelbagai lagi kesan puasa pada sistem biologi manusia.
Pesepsi yang sedia ada bukan di kalangan anak-anak sahaja, malah orang dewasa iaitu solat, berdoa, berzikr, membaca al Qur’an itu adalah ‘acara’ kerohanian semata-mata. Persepsi sebegini harus ditukar dan alangkah baiknya kita dimulakan sejak dari usia muda lagi.
Malah ada segentir pendakwah memberi kefahaman yang sama dengan berkata bahawa kita mesti menghidupkan sistem kehidupan Islam yang syumul dengan menjadikan Al Qur’an dan As Sunnah didalam semua bidang kehidupan kerana Islam bukan sekadar melaksanakan atau berbincang tentang aktiviti ibadah wajib, sunat dan kerohanian semata-mata!!
Ini juga persepsi yang perlu dibetulkan, dimana untuk menegakkan Islam yang syumul didalam diri, keluarga, masyarakat dan negara, perkara yang paling asas dalam kontek beribadah ialah memahami KEHEBATAN SETIAP IBADAH KHUSUS itu yang boleh mencetus insan kamil dan bersedia pula memahami fikrah Islam yang lengkap dan istiqamah beramal dengannya. Kehebatan ibadah ini perlu terus dikaji dan dihayati. Dan jangan sekali-kali melihat ibadah khususnya untuk pengisian kerohanian yang sempit!!
Begitu juga persepsi mereka terhadap puasa itu sepatutnya diperbanyakan dengan amal-amal lain seperti bertadarus siang-malam, tarawih malah menukar persepsi negatif sepertimana bila berbuka, selera mata dan perut dilayan dengan pelbagai hidangan. Sehingga bila sudah terllau selesa, kini budaya negatif semakin digembar gembur dengan membazir wang ringgit berbuka di hotel atau restoran mewah dengan hidangan bufet yang carca-merba. Bagi penulis, jika budaya ini sentiasa dipaparkan kepada mereka pada setiap ramadhan, sehingga mereka berkeluarga nanti, tidak hairan budaya ini akan mereka kekalkan sepertimana kita meneruskan pemahaman ini sejak kita dibesarkan. Banyak pihak termasuk media mengingatkan sejak dulu tentang hakikat puasa tetapi amalan khalayak yang berpuasa disebaliknya.
Dan begitu juga budaya menyambut hari raya puasa yang sangat meriah berbanding dengan hari raya Qur’ban yang sekadar penyembelihan binatang kurban. Pada kebiasaanya anak-anak jika dibelikan sepasang dua pakaian atau kasut baru, mereka rasakan seperti tidak beraya apalagi tidak dibelikan langsung! Begitu juga dengan persiapan menghias rumah didalam dan luar rumah serta kuih muih sudah tertanam dalam minda anak-anak sesuatu yang mesti ada. Bukankah ini satu 'pembohongan' dimana kita sering mengingatkan mereka supaya dapat merasai kesusahan orang miskin bilamana berpuasa tetapi disaat hampir hari raya, kita rosakkan emosi ini dengan berlebih menyambut hari raya aidil fitri?
Penulis tersenyum sendiri bila sebelum ini pernah mendengar ucapan selamat hari raya dari pelajar diluar negara yang sedih bila kaset lagu-lagu rayanya sudah rosak!! Dia merasakan kurang kemeriahan bila lagu-lagu ini tidak berkumandang. Malah sudah kelaziman umum merasakan lagu raya 'wajib' didengar kalau tidak seperti hambar menyambut raya puasa ini. Inilah persepsi yang sudah diajar sejak kecil walaupun terpelajar tetapi emosinya belum 'terpelajar'. Mungkin anda sebahagian dari mereka yang berfahaman begini!!
Tidak dinafikan, suasana persekitaran mempengaruhi persepsi seperti ini tetapi kitalah yang sepatutnya melentur rebung-rebung dibawah jagaan kita. Jika kita membiarkan mereka mengikut kemeriahan orang lain, menonton kemeriahan rancangan hari raya di televisyen, maka penulis yakin sampai mereka dewasa, persepsi beraya sakan ini tertanam dalam minda mereka. Bagi mereka, inilah sebenarnya sambutan hari raya. Malah ada anak-anak yang sanggup tidak bersama kita berziarah di hari raya, kerana terpaku depan televisyen! Itu belum lagi persepsi mengumpul wang raya.
Persepsi hari raya puasa yang meriah ini sesuatu yang sukar diubah malah seperti hampir mustahil tetapi paling tidak kita BERUSAHA SUPAYA MOOD DIPENGHUJUNG RAMADHAN TIDAK TENGGELAM BILA SEMAKIN DEKAT SAMBUTAN HARI RAYA, sepatutnya kita melatih mereka supaya semakin meningkatkan kualiti puasa dan beramal kerana ramadhan semakin pergi dan terpaksa menunggu sebelas bulan lagi, jika diizinkanNya. Sebaliknya jangan sampai kita pula sibuk membeli bunga api yang sama maknanya seperti membakar duit. Bunyinya seperti remeh, tetapi pemahaman begini boleh melekat dalam minda anak-anak iaitu beginilah kemeriahan bila menyambut hari raya.
Kita biasa mendengar, "Biasalah anak-anak, merekalah yang paling seronok beraya". Siapa lagi kalau bukan kita yang sudah mendedahkan budaya ini ketika menyambut aidil fitri . Tidak salah merasai keseronokan beraya, keran itu fitarh manusia dan Allah menganugerahkan sambutan Aidil Fitri kepada Ummat Muhammad, tetapi biasanya kita berlebih-lebihan menyambutnya. Jangan pula salahkan kerana kita juga sejak kecil sudah diajar perkara yang sama, kita boleh berubah kerana buluh juga boleh dilentur walaupun sukar!!
AlHadid:20. Ketahuilah bahawa kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan, dan perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan persaingan dalam harta dan anak-anak. Ia persamaan hujan di mana tanamannya mengagumkan orang-orang yang tidak percaya; kemudian ia menjadi kering, dan kamu melihatnya menjadi kuning, kemudian ia menjadi jerami yang hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras, dan keampunan daripada Allah, dan kepuasan hati; dan kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang menipukan.
Ali 'Imran:14. Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itulah kesenangan kehidupan dunia, tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik.
Al A'raaf:31. Wahai Bani Adam, pakailah pakaian indah setiap kali ( memasuki) masjid; dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu membazir; Dia tidak menyukai orang-orang yang membazir.