Dengan bermatlamatkan keuntungan dalam sesuatu perniagaan, sekumpulan orang boleh ‘berukhwah’ , bersaudara, bersatu pendapat, menegur dan ditegur, boleh bertolak ansur, tolong menolong dalam membantu mendapatkan modal, mencarikan pelanggan malah boleh akrab yang kelihatan seolah-olah sebuah keluarga besar seperti dalam perniagaan jualan langsung. Saban minggu mereka bertemu dan beramah mesra.
Dengan adanya pertalian darah, ada keluarga yang berjaya mengumpulkan beberapa generasi malah baru-baru ini di sebuah resort di P.Dickson, sebuah keluarga besar telah pun menubuhkan persatuan, mereka berkumpul dari semua peringkat usia dan mengadakan mesyarat agung kali yang ke 3. Malah ada juga keluarga yang berjaya menubuhkan sebuah yayasan. Ukhwah mereka juga kelihatannya akrab dan hebat.
Dengan isu alam sekitar, ramai pencinta alam yang boleh berkongsi idea untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan alam sekitar, mencari sumber kewangan malah ada yang berpersatuan untuk menyelamatkan sejenis serangga di hutan!
Dengan peka kepada para pengguna, ada yang berukhwah didalam badan-badan yang peka terhadap pembeli dan pengguna barangan atau perkhidmatan.
Dengan isu intergrasi dalam sebuah kariah atau sebuah taman, kelihatan ukhwah di kalangan penduduk setempat dengan pelbagai aktiviti berkala dengan matlamat untuk merapatkan silaturahim di kalangan mereka. Juga atas nama fahaman parti politik atau sebuah organisasi perkerjaan yang ramai kaki tangannya, perkataan perpaduan dan persefahaman selalu disebut-sebut, malah mereka kelihatan sebuah keluarga yang sangat besar.
Dan berbagai lagi matlamat untuk kepentingan sesuatu perkara, ramai orang boleh duduk bersama, berpersatuan, berpertubuhan dan berukhwah sesama mereka.
Begitulah juga,dengan satu fahaman untuk menyebarkan Islam kepada khalayak, para pendakwah yang berbeza-beza pendekatan, berbeza fikh dakwahnya, juga berkata ukhwah adalah asas utama yang mesti diselesaikan dikalangan mereka sebelum terjun ke medan dakwah.
Persoalannya,
1. Dimanakah istemewanya ukhwah para pendakwah?
2. Apakah yang luar biasanya ukhwah di kalangan duat ?
3. Dimanakah beza kesungguhan berukhwah dikalangan duat?
4. Atau berbezakah kualiti ukhwah dikalangan duat?
Semua soalan diatas ialah untuk dibandingkan dengan ukhwah dan keakraban di kalangan mereka yang mempunayai matlamat kerana perniagaan, bangsa, keturunan, persekolahan anak-anak, dan lain-lain seperti yang dinyatakan diatas.
Jika dengan berkata tidak menyakiti hati , tidak bercakap kasar, menghormati pandangan orang lain, membantunya dalam kesusahan, menziarahinya bila dia sakit, memahami emosi sedihnya, berbaik sangka, atau berkata kerana AQIDAH yang sama maka sebagai bukti sudah berukhwah dikalangan para duat!!
Sememangnya sudah jelas, hanya pertautan hati dan jiwa diatas aqidah yang benar , maka itulah hakikat sebenar berukhwah!!
Namun begitu mereka yang berukhwah tadi diatas asas perniagaan, pertalian darah, atas fahaman politik dan sebab-sebab lain juga mendakwa melafaskan kalimah syahadah, TuhanNya satu, Rasulnya juga Muhammad SAW dan agamanya satu! Yang juga berkata persaudaraan itu adalah saudara iman dan perpecahan itu adalah saudara kufur.
Maka dimanakah kehebatan dan kualiti ukhwah dikalangan para duat ini? Di luar sana, ukhwah dikalanagan ahli persatauan atau pertubuhan atau organisasi tetap berjalan dengan sesekali saling bertandang kerumah, bertanya khabar, memuji bila diberi kelebihan, menyabarkannya bila dalam musibah. Malah mungkin ziarah mereka lebih kerap lagi, peluk cium berkasih sayang lebih mesra, malah sangat mengenali antara satu sama lain.
Jika saranan Al Imam Hassan Banna iaitu berlapang dada itu adalah seminima ukhwah, mereka yang tidak memiliki fikrah haraki juga mampu berlapang dada!!
Dan umum mengetahui setinggi-tinggi ukhwah itu, ialah sebagaimana kita sendiri mahu memenuhi keselesaan hidup begitu juga mahu memenuhi hajat yang sama oleh sahabatnya itu atau paling tidak jika tidak mampu mendahulukan sahabatnya dalam banyak hal namun meletakan pada tempat sebenar sahabatnya juga satu bukti ukhwah yang berkualiti.
Dengan bersungguh dalam taaruf, maka baharulah tafahum dan takaful akan berfungsi dan berkualiti.Dan bersungguh dalam ukhwah tidak boleh dikalanagan kelompok yang kecil tetapi dalam kolektif yang besar dan seragam.
Namun begitu, ada orang yang sanggup mendermakan buah pinggang atau sebahagian dari hatinya untuk orang lain yang tidak dikenalinya!! Bukankah ini tanda setinggi ukhwah. Juga setinggi pengorbanan!! Apa yang mendorong persaudaraan dan pengorbanan yang tinggi ini? Sebahagian dari kita, masih berkira-kira untuk membantu sahabatnya yang ditimpa musibah yang diluar jangkaan.
Dalam sirah yang umum mengetahui, hanya beberapa tahun sahaja dakwah Islam oleh para sahabat yang diutus oleh nabi SAW ke Madinah sebelum berlaku penghijrahan Baginda, penduduk Madinah yang lebih dikenali sebagai golongan Ansar ini yang baru sahaja Islamnya, bukan sahaja hebat menyambut dan meraikan kedatangan para muhajirin yang datang dengan sehelai sepinggang tetapi sanggup menyerahkan kebun-kebun kurma , menyediakan tempat untuk berniaga, menyediakan rumah kediaman malah sanggup menceraikan salah seorang isteri untuk dikahwinkan dengan sahabat seaqidahnya dari Mekah itu.
Sekiranya ukhwah dikalangan para pendakwah juga SAMA tahapnya dengan ukhwah dikalangan mereka yang ada kepentingan jiran tetangga tadi, kepentingan perniagaan, kepentingan bangsa, politik dan lain-lain, maka dakwah itu akan ditakuk itu juga kerana tidak akan berlaku tadhiyah ( pengorbanan) yang sebenarnya, keikhlasan ditahap minima, kurang kesungguhan berdakwah secara kolektif.
SEPATUTNYA UKHWAH DI KALANGAN DUAT INI MESTI SERAGAM WALAU DIMANA SEKALIPUN DAN BERBEZA BANGSANYA ATAU BERLAINAN NEGARANYA.
Keseragaman fikrah dan ciri-ciri ukhwah yang emosi dan hatinya diikat oleh ikatan aqidah adalah penentu kepada kelancaran dakwah.
Berbeza pendapat itu perkara biasa, bertegang urat juga boleh berlaku tetapi jika terus berpisah haluan secara total, tidak bertanya khabar, tidak bertegur sapa dan tidak berlapang dada, atau tidak ambil tahu perkembangan sahabatnya tadi, sedangkan mendakwa fiqh dakwahnya seragam, adakah benar ukhwah yang berlandaskan aqidah itu ditahap yang termaksima? Walaupun benar hujah dan yakin dengan keputusan yang sudah dibuat, benar lagi menjaga UKHWAH.