Pages

Wednesday, November 7, 2007

Kita Beri Penawar, Mereka Beri Racun

Keratan akhbar U.Malaysia Hari ini

Apabila membaca berita akhbar yang bertajuk seperti diatas, membuatkan penulis tersenyum sinis bila keluhan ini dibuat oleh barisan kepimpinan yang memerintah negara ini yang memegang pisau kuasa ditangan!!!. Mereka juga menyalahkan pihak media elektronik yang berlumba-lumba menaja rancangan yang melekakan yang dikatakan ada rancangan untuk golongan veteran menghantar sms mengundi penyanyi lama pujaan mereka!!. Siapa empunya media-media itu, jika bukan empunya pisau tadi. Mereka boleh menggunakan pisau untuk memotong timun untuk dimakan atau melukakan orang atau membunuh!!!

Seperti yang pernah ditulis, bahawa sudah tiada perkataan yang sesesuai untuk dijenamakan maksiat buat masa ini. Yang sengaja dicipta oleh perakus-rakus mencari keuntungan dari kalangan kita sendiri atau dari luar sempadan kawalan kita.

Sejak zaman sekolah lagi, penulis sudah didedahkan dan diberitahu akan jeleknya 'racun-racun' dari media penyiaran, malah sudah menjadi 'basi' bila dijadikan topik perbahasan disekolah-sekolah dan juga tajuk karangan bertulis. Yang pasti racun-racun itu dosnya semakin kuat dan cepat membunuh.

Penulis juga pernah diberitahu oleh pakat IT, rupanya website-website porno yang merupakan lebih 60 peratus isikandung dalam maya internet ini, boleh dipantau sepenuhnya jika pihak berkenaan mahu melakukannya. Dan ada negara bukan Islam sudah lama menapisnya. Pemimpin bukan Islam itu lebih peka menjaga akhlak muda-mudi yang semakin parah akibat gejala negatif dari internet ini.

Sebelum ini penulis pernah menulis tentang media rojak yang ada penawar dan ada racun. Yang pasti racunnya lebih banyak. Jika ada ruangan atau rancangan agama,namun masih berkualiti traditional dan ianya sangat terbatas serta sekadar memenuhi selera pembaca. Anda tentu pernah melihat commersial break semasa racangan agama dimana iklan yang siarkan juga berbau maksiat. Malah rancanagn kartun juga semakin 'biadap' bahasanya serta adegan drama Melayu / Indon yang berlebih-lebih jalan cerita dendam kesumat dan maklumat ini tertanam dalam naluri anak-anak yang menonton. Dalam sisipan akhbar yang ada cebisan isu agama, juga disisipkan gadis-gadis 'telanjang' dengan model pakaian atau aksi lentuknya. Memang rojak dan bercelaru. Tidak hairan, segelintir dari kita pemikirannya juga rojak dan bercelaru walaupun berkuasa dan berpangkat!!

Tidak dinafikan, ada ibubapa yang sudah melaburkan sekian banyak wang ringgit demi menjaga dan memberi penawar kepada anak-anak seperti menyekolahkan mereka disekolah persendirian yang suasana lebih Islamik. Tetapi diluar sekolah, anak-anak ini masih terdedah dengan racun-racun dalam pelbagai bentuk.
Bercakap tentang kualiti pelajar sekolah yang ada sekarang, anda yang sebagai guru tentu ada jawapan yang paling tepat akan akhlak murid-murid sekarang berbanding ketika anda menjadi murid dahulu. Dan anda ibubapa terutama dibandar-bandar tentu sentiasa tidak senang duduk dengan rakan-rakan sekolah anak-anak anda. Dan tidak kurang juga, ada anak yang talam dua muka, depan mak ayah macam bagus, diluar rumah, dialah hero/heroin.

Jika lemah dan kurang dos penawar dari ibubapa, maka generasi kita akan semakin pupus akhlak mulianya walaupun mereka berpendidikan. Seorang guru agama yang mengajar disekolah agama berasrama penuh pernah memberitahu penulis, bukan sedikit bilangan pelajar-pelajar yang berpendidikan Islam ini yang 'kemaruk' dengan berhibur,bersantai dengan bermacam jenis alatan hiburan, malah sms mereka ada yang memualkan, mereka seperti beruk mendapat bunga bila berpeluang terdedah kepada dunia luar.

Asas kepada dakwah ialah menyampai dan mencegah, AliImran :104. Menyampai dengan ilmu dan maklumat. Walaupun maklumat kemungkaran ini seolah-olah mengumpulkan data-data lalu dibukukan dan dikaji. Bila bertindak, pi mai,pi mai tang tu jugak. Sopak semakin besar, barah semakin merebak. Bala Allah kepada semua bukan sahaja kepada ahli maksiat, Al Maidah : 105.

Walaupun menjaga kualiti ibadah sebagai tembok yang kukuh tetapi harus diingat, manusia ada nafsu dan syaitan yang tidak pernah berenggang. Ini termasuklah pelaku maksiat secara solo tanpa diketahui oleh orang lain. Walaupun dia tidak menganggu dan mengacau orang lain dengan maksiatnya, tetapi mengacau kualiti iman dan taqwa jika istiqamah dengan maksiat solonya itu. Sudah menjadi fitrah manusia, yang ditegah itulah yang mahu dicubanya. Maka mencegah kewujudan sewenang-wenangnya punca maksiat itu mesti menjadi keutamaan.Dan tidak cukup dengan tajamnya pena, pedihnya sindiran tetapi sepatutnya lebih dari itu walaupun sebahagian besar dari kita adalah timun.

Carilah dos penawar yang kuat untuk diri sendiri, anak-anak dan keluarga terdekat. Pantaulah racun-racun yang berbagai bentuk dan bermacam dos toksiknya. Penulis rasa ngeri bila mendapat tahu ada anak-anak yang 'liar' dan rendah akhlak sedangkan mereka bersekolah di sekolah 'bercirikan Islamik' dan ibubapanya beragama malah hebat dalam medan dakwah dan semoga Allah menjaga penulis, isteri dan anak-anak dari kengerian ini- Amin