Pages

Friday, November 9, 2007

Cakap Biar Sama Bikinnya Dan Atas Kertas Sama Dengan Perlaksanaanya ( Cakap Orang Politik Dan Orang 'Dakwah')

Pada tahun 1981, penulis masih ingat kata-kata Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu iaitu Dato' Najib Tun Razak ( menteri termuda dan pernah menjadi Menteri Besar termuda) semasa perhimpunan pelajar-pelajar matrikulasi UKM yang mengikuti aliran sains tulen dan ekonomi ( seingat penulis, kami adalah kumpulan ke tujuh pelajar matrikulasi ini yang bermula sejak 1975 dan diikuti Asasi Sains U.Malaya pada 1977 ). Dimana beliau mengingatkan pelajar terpilih ini dan bila lulus akan gerenti masuk Universiti, agar bersyukur kerana perjuangan pemimpin Melayu yang mahu melihat para profesional seperti doktor, saintis, jurutera dan ahli ekonomi dikalangan anak-anak Melayu. Menurut beliau, anda masuk kerana koata yang disediakan dan pada hakikatnya, jika mahu bersaing dengan pelajar bukan Bumiputra pasti sebahagian besar tidak mampu bersaing dari kelayakan akademik. Katanya lagi, anda adalah cream of the cream dan ada sebahagiannya dihantar belajar ke luar negara. Beliau juga berkata, lagi bukti keperihatinan pemimpin Melayu ialah bilamana ITM ( kini UiTM) merupakan 'penempatan’ pelajar Melayu mengambil diploma bagi yang kurang berjaya ketika SPM dan khas untuk Bumiputra. Beliau juga berkata, melihat sendiri kegigihan bapanya Tun Razak memertabatkan bangsa Melayu yang baru mahu mencari identiti diri. Bermula dengan meramaikan cerdik pandai Melayu dan di ikuti pengolahan semula ekonomi orang Melayu dengan DEB, 1970 sehingga 1990 ( kini digubal dan disambung hingga kini).

Tidak dinafikan, hasilnya kini puluhan ribu para profesional, Profesor dan lain-lain kerjaya dikalangan orang Melayu. Juga terdengar laungan oleh pemimpin Melayu terkini yang menjaja idea bahawa, sebahagian besar pelajar yang ditaja oleh kerajaan ini seperti kacang lupakan kulit bila tidak menyokong semula pemerentah malah menjadi pengkritik atau terus menyertai parti pembangkang.

Bagi penulis, belajar setinggi langit, seluas lautan bukan sekadar mendapatkan sijil tetapi menjadi orang yang berperinsip, menggunakan akal untuk menimbang tala nilai hidup dan menyatakan hak bersuara. Mengkritik bukan bermakna tidak mengenang jasa dan juga bukan bermakna tidak tahu bersyukur.

Sejak hari isnin lepas sehingga hari ini, pemimpin pemerintah Melayu berkumpul di PWTC untuk bersidang, cuma pada hari ini penulis sempat mengikuti perkembangannya dari akhbar dan media elektronik ( dulu ketika bermastautin di K.Lumpur, dimana pada tahun 1998-2005, penulis agak rajin juga ke PWTC melihat gelagat penghujahan perwakilan dan penulis ketika itu 'agak’ cenderung mengikuti perkembangan politik tanah air malah membaca banyak buku-buku politik semasa ketika itu). Ya!! Isunya masih sama, tiada yang berbeza, pendek kata sepertimana orang ramai mengetahui, orang yang suka bercakap, suka berhujah, 'berleter’, ’mengampu’, ’membodek’ dan 'membelasah', antaranya ialah dikalangan orang-orang politik. Jika semakin dekat pilihanraya, lagilah terselah sifat-sifat ini. Tidak kira ahli politik penyokong kerajaan atau dari pembangkang.

Cuma masih segar dalam ingatan penulis pemimpin Melayu ini ( terlupa namanya), katanya jika mahu mengkritik / membangkang kerajaan biarlah dengan ilmu dan fakta yang konkrit! Cuma beliau mungkin terlupa berkata, untuk menyokong kerajaan mesti juga dengan ilmu dan fakta yang konkrit .

Berbalik semula kepada isu perhimpunan Melayu tadi, seperti biasa akan ada statistik-statistik pencapaian terkini orang Melayu dalam bidang ekonomi, pelajaran, profesional dan pemilikan harta. Dan disini penulis tuliskan statistik yang disebut oleh salah seorang dari perwakilan, iaitu statik pada 2004, bilangan profesional Melayu ( doktor-36%, peguam-38%, akauntan pro - 6.2%, jurutera pro - 29% ), pemilikan harta ( bumiputra- 18%- , bukan bumi- 41%, rakyat asing-36% ), kemiskinan ( Melayu-9.1%, cina-3.1%,India- 4.3%) , Miskin tegar ( Melayu 9.6%, Cina-1.1%, India-1.8%) dan banyak lagi statistik lain. Ini belum disenaraikan statistik yang sebaliknya iaitu statistik yang peratusannya naik untuk Melayu yang merokok, penagih, merempit,tercicir sekolah, pengangguran, muflis, bercerai dan lain-lain yang memang sejak lama dulu menjadi juaranya.

Yang meluahkan rasa tidak puas hati dan lantang mempertikaikan perlaksanaan DEB selepas 37 tahun berlalu, juga dikalangan mereka yang pernah diberi peluang atas dari DEB ini dan juga kelompok mereka bersama parti pemerentah. Tahniah dan syabas, bak kata salah seorang dari mereka berkata, jangan jadi itik jantan yang mengangguk kepala seperti bersetuju tetapi ekornya digerak kekiri kanan yang berkata tidak. Sepatutnya berkata tidak dibelakang, maka tidak juga bila berdepan, dimulut sama dengan dihati.Bukan talam yang banyak mukanya.

Dimana silapnya? Silap diatas kertas atau silap di 'tapak’ perlaksanaan. Jika silap ditapak, adakah kerana dilaksana oleh bukan ahlinya atau sudah dikebas oleh sub-sub perlaksana tadi, dulu bisnes Ali Baba biasa kita dengar dan masih lagi berlaku. Yang kaya Baba, si Ali kaya juga, tapi goyang kaki. Atau masing-masing berebut habuan sepertimana berebut jawatan dalam parti. Bukan itu sahaja, jawatan ahli majlis daerah dan perbandaran atau JKKK juga menjadi idaman.
Penulis yakin, anda yang terlibat dalam dunia perniagaan dan tidak meletakkan kaki dimana-mana parti. Tentu biasa berhadapan dengan situasi sukar bila berhadapan dengan kerenah politik, perbankan dan birokrasi. Juga anda yang bukan perniaga, sudah maklum dengan beberapa mega projek yang penuh dengan pelbagai kontraversi.

GLC ( Gov. Link Company) juga dipertikaikan oleh perwakilan yang lebih mementingkan keuntungan dari memikirkan kebajikan peniaga bumiputra dan tidak menjaga kebajikan orang ramai. Kini terdapat 37 buah GLC, termasuklah TNB, Telekom, Pos, Petronas, Proton dan banyak lagi. Ada GLC ini melahirkan sendiri anak syarikat sendiri dari menghidupkan sub-con atau vendor-vendor , tidak dinafikan memang ada tetapi tidak terserlah seperti yang dikehendaki diatas kertas. Taarif elektrik atau tarif telefon yang sama antara rumah atap rumbia dengan rumah genting, antara rumah dikampung dengan perumahan mewah dibandar, walaupun berbeza antara pengguna individu dan perkilangan.

Juga dipertikaikan subsidi 80 bilion yang tidak adil dinikmati oleh rakyat jelata, seperti subsidi minyak petrol-diesel, subsidi bahan makanan, tol, road tax, dimana golongan yang kurang berduit juga membayar harga yang sama dengan mereka yang mampu 'mencetak’ duit!!. Juga anak-anak golongan ini juga mendapat biasiswa-derma sisiwa sama seperti anak-anak golongan sederhana ini. Sepatutnya ada satu mekanisma, dimana subsidi umum sebegini berbeza kepada golongan yang hidup mewah ini!!

Membina kemudahan asas, itu kewajipan mana-mana pemerintah walau ceruk mana sesebuah negara itu dan tidak kira sistem pemerintahan mereka. Malah negara maju yang diterajui oleh orang bukan Islam, orang kurang upaya disediakan jalan khas untuk mereka berjalan dibandar dan kenderaan awam yang mesra dengan keupayaan mereka. Binatang juga mempunyai hospital yang besar dan doktor pakar haiwan dengan rawatan minima atau percuma. Dan jika mencanang inilah hasil bila memilih pemerentah, itu adalah satu kenyataan untuk mereka yang masih dalam kepompong 'buta hak individu dan umum’. Mengembalikan hak rakyat itu ada dimana-mana negara dan satu perkara yang amat asas. Kerajaan diamanahkan menggunakan hasil bumi negara untuk dikembalikan kepada rakyat samada yang menyokong atau mengkritik. Malah dibeberapa negara, pemimpin mereka bertukar ganti, Jepun sahaja sudah silih tukar ganti Perdana Menteri, tetapi negara mereka terus kehadapan. Namun kita akui, banyak negara, seperti Malaysia, senario politik sangat mewarnai dan sangat mempengaruhi agenda ekonomi, sosial, pelajaran dan banyak aspek lain.

Adakah pada 2020 nanti, isu yang sama akan dibangkitkan? Melayu masih terkebelakang? Seperti artikel sebelum ini, "Kita selangkah, mereka sudah berpuluh langkah”, snow ball akan terus bergolek . Bila kita sudah laju berjalan nanti, mereka yang sudah berlari tadi pasti semakin pantas lariannya dan terus meninggalkan kita.

Penulis yang mengkatagorikan diri sebagai 'orang praktikal’ berbanding banyak berteori, faksafah atau berhujah dan merancang sesuatu dengan kemampuan dan bukan andaian dan berpijak dibumi nyata.( Buku BioMekanik solat juga buku praktikal ). Penilaian tahap kesedaran umat Islam khasnya di Malaysia ini tentang fiqh dan pengamalan Islam, biarlah dengan penilaian yang berpijak dibumi dengan usaha dan pengorbanan para duat dari pelbagai wadah yang ada setakat ini. Dan usah meletakkan sasaran yang kabur atau mengikut acuan orang lain atau target orang lain. Jika 2020, disasarkan kemajuan fizikal Malaysia sebagai maju, maka adakah kita mahu terikut juga dengan target tahun itu untuk mengsasarkan tertegak daulah Islamiah??
Dengan perbandingan dari sirah perjunagan Nabi Muhammad SAW yang hanya mengambil 10 tahun di Mekah dan 12 tahun di Madinah sehingga tertegaknya daulah Islam. Juga perbandingan usaha "luar biasa” generasi pertama ikhwanun Muslimin yang juga mengambil masa belasan tahun melahirkan ratusan ribu pengikut setia dari buruh kasar sehinggalah para hakim ketika Hasaan AlBanna masih hidup lagi. Segelintir dari kita suka melihat natijah dan tidak teliti mengkaji serta tidak menjejaki langkah sebenar kejayaan mereka.
Ramai para duat tahu, bahawa generasi ikhwan Muslimin yang berkualiti adalah hasil dari para duatnya memiliki fizikal dan minda sehingga ketahap mampu berjihad dan rohnya adalah roh ahli sufi.
Masih ada para duat ketika ini memandang sinis dan acuh tidak acuh dengan pengkajian semula sitem tarbiyah dan memandang sepi akan hubungan yang hebat dengan Allah SWT.
Persoalannya, tidak berbezakah politik Melayu, pencapaian bisnes orang Melayu, akademik orang Melayu yang masih dipertikaikan itu BERBANDING DENGAN PENCAPAIAN DAKWAH ORANG MELAYU OLEH DUATNYA YANG JUGA MELAYU ??
Statistik pencapaian orang Melayu dalam banyak bidang sudah dibentang, adakah para duat Melayu ada statistik yang kemas tentang amalan dan kefahaman muslim Melayu?? Atau anda bertanya, statistik yang macam mana?? Bukan setakat statistik bilangan Melayu pada satu-satu kawasan terutama untuk strategi pilihanraya tetapi lebih dari itu.
Tahukah anda, ikhwanul muslimin yang bukan berpaksikan politik, ada senarai mereka yang istiqamah berjemaah di sesuatu kariah, dapat menilai pemahaman khalayak tentang Islam melalui pendekatan sosial serta mereka tahu jumlah remaja muslim setempat. Malah tanah-tanah umat Islam yang terbiar tidak diusahakan ada dalam pengetahuan dan merancang untuk membangunkannya.
Jika statistik asas ummat pun kita tiada, dan statistik asas dalam organisasi / jemaah juga tidak kemas, maka dimana landasan yang sedang kita pijak?

Penulis suka juga mengambil reflek khas kepada duat yang berbangsa Melayu ini khasnya di Malaysia. Usah nafikan unjuran sifat negatif yang ada pada Melayu ini tidak ada pada kita. Sikap mudah selesa, mudah puas hati, sikap lepas tangan, bersemangat sementara, objektif yang tidak berpijak di bumi, mudah merajuk, sukar ditegur, hasad, malas menimba ilmu diluar bidang, silap mengukur indek prestasi dan lain-lain senarai yang boleh membantutkan usaha murni ini. Jika DEB bermula pada 1970, bukankah usaha dakwah yang mula terancang di Malaysia juga sekitar tahun 70an, dan lihatlah hasilnya? Kita yang berpendidikkan dan melalui tarbiyah yang agak panjang ini mempunyai tentu jawapan yang tepat.

Bukan sahaja semakin luntur semangat dan semakin lemah fizikal para duat ini seiring dengan usia, tetapi generasi kedua, ketiga dari keluarga duat ini tidak nampak gahnya atau malah ada yang tidak menuruti jejak langkah ibubapanya. Bukankah keturunan sendiri adalah target utama sebelum mengislahkan orang lain!!!Jika gagal dengan keluarga terdekat, lebih baik tutup mulut seketika, cermin diri, baiki diri, kerana yang diucap tidak sama dibikin dan atas kertas tidak sama dengan perlaksanaanya, dibimbangi orang lain akan 'meluat' bila banyak bercakap dari buatnya, namun begitu masih ada ruang untuk bercakap tentang Islam dan dakwah jika berlaku pengislahan semula diri sendiri.
Almarhum Syiekh Mustafa Masyur iaitu bekas mursyid ikhwan, dimana pada tahun 1985 sudah pun menulis sebuah buku yang bertajuk." Jalan Dakwah- Antara Keaslian Dan Penyelewengan" dan cetakan ketiga terjemaahan pada 1999. InsyaAllah akan dihayati buku ini pada tulisan akan datang dimana apa yang beliau tuliskan itu benar-benar sudahpun berlaku dan sedang berlaku.