Pages

Monday, September 8, 2008

Nafsu Berfikir Mengatasi Ikatan Syaitan

Rasanya setiap dari kita maklum bahawa pada bulan Ramadhan ini pergerakan syaitan terbatas apabila dibelenggu oleh Allah SWT. Dan kita juga maklum mereka yang berpuasa tetapi masih terpedaya melakukan kemungkaran disebabkan oleh sifat kesyaitanan yang sudah lama melekat dalam diri mereka.

Saya pernah ditanya didalam email tentang aduan sukar untuk khusyuk solat didalam bulan Ramadhan ini seperti juga pada bulan-bulan lain. Sedangkan sepatutnya tiada bisikan syaitan untuk merosakkan solat. Perkara ini memang saya akui kebenarannya dan anda pembaca juga mengakuinya.

Selain bisikan syaitan yang akan menghasut agar kita 'menjela-jela' melawan apa yang terlintas dalam fikiran ketika solat, sememangnya fitrah penciptaan otak manusia yang tidak pernah berhenti berfikir dan tetap aktif walaupun ketika tidur. Nafsu berfikir ini akan lebih ketara kepada mereka yang sudah biasa melayan angan-angan, melayan emosi dan kita yang sentiasa sibuk serta ditambah banyak perkara baru yang berlaku.

Apabila sudah terbiasa melayan nafsu berfikir ini, maka ketika solat dalam bulan Ramadhan ini akan masih terbawa-bawa. Sebahagian dari kita terlupa bilangan rakaat tarawih yang sudah dibuat atau sentiasa lalai sepanjang bertarawih.

Latihan dan reflek untuk bersungguh beramal sepanjang Ramadhan dan reflek latih tubi ( berulang-ulang) iaitu dengan berturutan puasa selama sebulan, juga sama dengan bersungguh untuk khusyuk ketika solat yang juga bersifat latih tubi.

Sepatutnya kombinasi untuk bersungguh-sungguh menjaga puasa dan solat ini akan memantapkan lagi kualiti amal.