Pages

Tuesday, September 25, 2007

Terantuk Baru Ternadah vs 'Melatah'

Apabila barangan dapur tiba-tiba naik sejak awal ramadhan,dan akan terus naik menjelangnya hari raya puasa kelak, ramai yang 'melatah' dan memberi pandangan. Namun begitu ada yang memberikan ulasan yang bernas iaitu sepatutnya pada bulan ramadhan ini peniaga kekurangan pelanggan kerana masing-masing tidak makan dan tidak minum maka kurang keperluan untuk barang-barang dapur tetapi sebaliknya pula berlaku! Dan yang pasti bila pemintaan tinggi, harga barang akan naik, itu teori asas ekonomi. Persoalannya kenapa keadaan begini boleh berlaku? Anda tentu ada jawapan tersendiri atau anda sebahagian yang menyebabkan kenaikan harga barang tadi!

Pada bulan yang lepas, di lebuhraya PLUS berhampiran R n R Simpang Renggam, penulis dalam perjalanan pulang ke J.Bahru, semua kenderaan diarahkan membuat lencungan masuk ke R n R tersebut kerana ada operasi bersepadu untuk memeriksa pemandu khasnya pemandu lori dan bas. Dan begitu juga terpampang dalam akhbar, ramai penumpang bas terkandas kerana pemandu bas tidak muncul-muncul, takutkan operasi. Ini semua ekoran kejadian bas ekspres yang sudah lanjut 'usia' dipandu laju oleh pemandu yang sudah menerima berdozen saman dan kemalangan itu mengorbankan banyak nyawa. Adakah ini dinamakan ternadah melihat palang pintu bila dahi sudah benjol! Penulis adalah antara pengguna lebihraya yang acap kali berulang dari J.Bahru ke N.Sembilan atau ke Kuala Lumpur, sejak dahulu lagi biasa terjumpa pemandu bas ekspres yang 'selamba' memotong kenderaan yang dipandu pada kelajuan 120km/j termasuklah bas dua tingkat. Malah pada hari ahad yang lepas, dua buah bas ekspres yang had kelajuannya 90km/jam dipandu begitu laju sekali. Dan penulis juga adalah pengguna tetap lebuhraya Pasir Gudang dimana tempat racing pemandu-pemandu lori yang mengejar trip. Persoalannya adakah kerana kelemahan penguat kuasaan atau masalah sikap pemandu atau sikap pemandu jadi begini kerana kurang penguat kuasaan atau sikap penguasa yang 'rambang mata' melihat sikap pemandu yang suka 'menghulur' ??

Begitu juga tentang halal haram sesuatu makanan yang mana bukan logo halal itu sahaja yang dipertikaikan malah pengguna keliru logo yang mana satu yang sebenarnya diguna pakai. Menurut PPIM, orang Islam ada hak untuk bertanya sijil halal dari pengusaha hotel dan bukan ditunjuk sijil sembelih ayam!! Dulu kes sosej kulit babi, roti high 5, ikan air tawar yang makan sisa-sia babi, khabarnya baja "limau Ipoh " juga dari adunan produk babi- wallhuaklam. Kita akui sejak dulu, sekarang, kini dan mungkin selamanya orang-orang Islam akan menjadi masyarakat penggguna kepada banyak produk makanan. Sebenarnya dahi kita sudah lama benjol, ada mahu menadah ada yang buat tidak tahu sahaja, asal kenyang, jangan tanya banyak sumber makanan, nanti kempunan!

Banyak lagi isu-isu lain yang dilihat seperti membenarkan peribahasa terantuk baru ternadah ini dan anda tentu lebih arif. Semoga kita tidak terus melatah kerana akhirnya akan penat dan semakin cedera bila acap kali terhantuk!!