Pages

Tuesday, November 24, 2009

Biarlah Berpecah!! Dan Siapa Perlu Dirapatkan?

( tadabbur dari Surah Al An’aam : 159-165)


Maksud 159 : “ Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan AGAMAnya, dan mereka yang terpecah kepada beberapa golongan itu tidaklah sedikit pun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka itu hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka perbuat”


1. Ada orang memandang dengan pelbagai tanggapan terhadap fahaman tarikat, kesufian, Wahabi, Salafi, namun terlepas pandang akan mereka yang ramai bilangannya iaitu menganuti satu fahaman yang dinamakan ‘tidak ambil peduli’. Ada kariah masjid/surau yang sensitif dengan gerakan dakwah seperti Tabligh, tetapi tidak sensitif dengan ramai orang yang dalam gerakan ‘terbalik’. Mereka ini golongan yang tidak peduli agama dan tidak beramal dengan agamanya, hidup sudah terbalik dari amal Islam.

2. Sekian lamanya dan silih berganti generasi, umat ini berbeza pandangan perkara furu’ dan khilaf malah ada umat ini yang aqidahnya berbeza dan iktikadnya dalam bahaya. Begitu juga mereka yang mendakwa sebagai ahlulsunnah juga berlaku perbalahan, pertengkaran termasuk di kalangan ulamaknya, apalagi di kalangan orang awam.

3. Dan tidak dinafikan, para pendakwah juga berpecah dan berbalah, ada yang lembut perbalahannya serta tidak kurang yang keras pertelingkahannya. Dalam satu jamaah dakwah pun ada yang berbeza dan berdegil dengan pandangan masing-masing.


4. Bukan sahaja dalam urusan ibadah, aqidah , dakwah serta urusan agama yang lain , malah ketara berbalah dalam memahami dan melaksanakan ekonomi Islam, politik Islam, sosial Islam, pendidikan Islam , perundangan Islam dan displin yang lain.

5. Akhirnya perbalahan tidak membawa kemana-mana, masa dan tenaga terbuang , buang masa membahas, hati menjadi sakit kerana apa yang sudah difahami itu sudah berakar umbi. Sedangkan golongan tidak peduli tadi dan golongan terbalik itu adalah golongan majoriti dalam masyarakat, dan inilah sepatutnya sasaran dakwah serta merapatkan mereka dengan kesatuan Islam.


6. Allah yang mencipta dan Maha tahu akan perangai manusia ini. Dan pada ayat ini ingatan Allah, iaitu bukan urusan ( tanggung jawab) kita untuk menjawab dan memperbetulkan SEMUA penyakit kronik beragama ini .Di mana lain bangsa, lain adap dan lain geografi, maka lain pula perselesihannya.

7. Bukan tanggungjawab bermaksud dan merujuk kepada orang yang peduli kepada orang lain. Dan pendakwah ialah mereka yang peduli pada orang lain. Pendakwah yang risaukan perpecahan umat, yang mencari jalan untuk perdamaian. Tetapi hasil usaha untuk mendamaikan perpecahan itu bukan urusan pendakwah tetapi ianya adalah dengan keizinan-Nya.


8. Pendamaian yang utama ialah di dalam keluarga , satu kejiranan, satu kariah, satu organisasi, satu bangsa dan seterusnya penyatuan antara kumpulan berbeza

9. Pada hujung ayat 159 ini, Allah menyebut bahawa Allah sendiri akan memberitahu mereka yang berpecah itu akan perpecahan yang telah di buat. Membalasnya di dunia ini adalah urusan-Nya dan pasti mendapat balasan di akhirat kelak.



10. Perpecahan itu kronik dan rumit, maka kerja penyatuan ini juga sukar dan rumit. Pendakwah yang ingin bergerak kearah penyatuan ini mesti kemas kerja dan tanzimnya. Jika tidak lebih baik utamakan menjaga ukhwah di dalam organisasi sendiri. Pengalaman menunjukkan bahawa setelah selesai satu masalah perpecahan, timbul pula perpecahan yang lain, maka Allah menganjurkan kaedah penyelesainnya dalam ayat berikutnya iaitu pada :-

i) Ayat 160 : antaranya membawa maksud, beramallah dengan kerja yang ikhlas, bersungguh dan berkualiti dengan ganjaran sepuluh kali ganda dan Allah tidak pernah leka dari menunaikan janjiNYa. Beramal mengikut kemampuan yang terjangkau dan mengaku itulah kemampuan yang terdaya setelah berusaha melakukannya. Kerja ikhlas itu sifatnya bersungguh dan serahkan pada Allah untuk ganjarannya.
ii) Ayat 161 : antaranya membawa maksud, mencontohi jalan yang telah ditunjukkan oleh para Rasul, dimana dalam ayat ini merujuk kepada jalan Nabi Ibrahim AS, bapa susur jalur Nabi Muhammad SAW. Apakah ada jalan lain selain dari jalan para Rasul ? Dan sejarah kesukaran perjuangan mereka itu sepatutnya menjadi sejarah yang ingin kita cipta.

iii) Ayat 162 : Ayat ini merupakan aku janji dan bia’ah kehidupan dan kita mengikrarnya semasa solat ,

” Sesungguhnya solatku, ibadahku., hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”.


iv) Akujanji yang bermula ungkapan dengan sesungguhnya, juga bermakna memberi yang terbaik . Ianya bermula dengan kesempurnan dan memelihara solat, maka aqidah dan amal Islam akan terpelihara, dan dakwah akan terpelihara. Dengan kata lain, tiada dakwah untuk memperbetulkan umat jika solat itu tidak sempurna dijaga oleh pendakwah. Kemudian ibadah yang lain dan urusan hidup. Sehinggalah urusan untuk kematian juga dengan kesungguhan dan berkualiti. Mencari kaedah terbaik dan bersungguh untuk merapatkan mereka yang berpecah, sehingga sama-sama mencari jalan terbaik untuk ke alam baqa.

v) Ayat 163-Aqidah yang benar lagi jelas dan berserah diri pada Allah. Selagi mereka yang berselisih itu betul aqidahnya, maka serahkan kepada Allah memberi hidayah, tetapi jika aqidah yang terpesung , ianya di mana di luar bidang kuasa untuk melaksanakan hukum syariat.


vi) Ayat 164- membawa maksud, masing-masing menanggung dosa masing-masing, maka pendakwah harus memahami, kerja dakwah itu harus diteruskan dan mereka yang berdosa, sendiri menanggung dosa dan apabila melakukan kesilapan, maka kembalilah menyesal akan kesilapan dan bertaubat, Allah, dihujung ayat…” Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali dan akan diberitakan-Nya kepada mu akan apa yang kamu perselisihkan.

vii) Ayat 165: membawa maksud, tertibnya Allah mencipta manusia sebagai khalifah dibumi ini dengan berbeza pangkat dan kedudukan .Dan ianya sebagai ujian kepada manusia. Sepatutnya tertib ini tidak dijadikan perpecahan dan hasad dengki.

viii) Bukan sahaja untuk duniawi, juga bermaksud berbeza pangkat dan kedudukan dalam agama dan darjat manusia di sisi Rabbuljalil. Kurnian Rahmat-Nya di hujung ayat ini, Allah menyebut….” Dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Ini adalah di antara lebih dari 200 ayat yang disebut tentang keampunan Allah SWT.


.Inilah sebahagian pemahaman dari tujuh ayat di atas, lain individu berlain fahaman dan takwilnya. Hanya hak Allah memahami maksud sebenar ayat yang di tanzilkan.