Sepanjang bulan puasa dan dua minggu pada bulan syawal, saya berehat dari turun kekebun yang seluas 1.5 hektar di sebelah rumah.
Bukan sahaja ikan keli sudah hilang separuh, 100 batang pokok cili dan beberapa batang anak pokok buah mati akibat tidak di baja, dan semak sudah menjadi samun. Hujan yang sentiasa mencurah dan di tambah lagi pada ketika ini hujan turun hampir pada setiap hari telah menyuburkan rumput-rumput dan mengejutkan saya ialah pokok liar yang dulunya sekadar tinggi sekaki, selepas hampir dua bulan telah menjangkau lebih 4 kaki. Selain faktor hujan, tanah yang subur juga memainkan peranan- kebun ini terdapat anak sungai di tengah-tengahnya.
Jika rumput dan pokok renek, mudah di uruskan dengan meracun, tetapi lebih tenaga di perlukan untuk menebas pokok yang lebih besar. Kebelakangan ini sudah beberapa kali saya turun meracun, dan lenjun berpeluh bila menebas- mula berfikir untuk di upah sahaja. ( Waktu pagi memegang cangkul dan penyabit, sebelah petang memegang stethoscope, serta terfikir mahu menebas bola pula).
Berkebun memerlukan kesabaran yang tinggi, selain terpaksa menunggu beberapa tahun untuk pokok berbuah. Iaitu terpaksa berkala untuk membaja dan membuang semak samun.
Seperti bersukan, berkebun mesti dengan minat, jika hangat-hangat tahi aykebun akan bertukar menjadi belukar semula. Berkebun, memelihara ikan di kolam dan bersukan adalah aktiviti sihat, yang boleh menenangkan fikiran dan mengerakkan sendi-otot- apalagi kebun saya antara dua lembah.
Semak-samun itu boleh diumpamakan dengan gejala negatif dan mungkar yang ada disekeliling kita- baik semak dalam fikiran dan pada perbuatan. Jika di biarkan, semak semakin menjadi-jadi. Jika semak ini subur kerana sumber hujan, maksiat pula subur kerana promosi media masa dan banyaknya tempat-tempat berhibur. Jika pohon lalang sahaja semakin tinggi di sekeliling rumah, kita semakin rimas, apalagi semak menjadi belukar. Apa yang di tanam, akan mati dan binasa begitu sahaja serta mungkin banyak binatang berbisa di dalamnya.
Siapakah yang sepatutnya menjadi penebas atau peracun gejala maksiat ini? Bukan sahaja di luar rumah, malah ‘semak-semak’ ini sudah masuk ke dalam kamar. Jika sekadar tunggu dan lihat, maka lihatlah ‘semak berduri’ sudah lama menyucuk kita dan orang di sekeliling kita.
Semak itu ada dalam minda, emosi dan perbuatan. Ianya juga bernama hasad dengki, sombong, sentiasa rasa betul, buruk sangka, tidak sabar, malah ada unsur semak dalam berdakwah dan semak dalam organisasi dakwah.
Dan bagaimana pula dengan kemampuan, kudrat untuk menebas serta tahu dos yang sesuai untuk meracun? Pengalaman saya meracun rumput, jika dos racun tidak mencukupi- lambat mati dan dalam 3 minggu sahaja sudah tumbuh semula! Dakwah memerlukan kudrat yang kuat dan jika DOS MENCEGAH tidak mencukupi, lihatlah suburnya kemungkaran.
Maaruf mesti di seru, mungkar mesti di tebas dan di racun. JIka sekadar berkempen ( amal maaruf) untuk bercucuk tanam dan berkebun, samalah seperti menyeru kepada gaya hidup Islam, sebaliknya tidak ambil kisah untuk membuang semak samun, maka pokok buah-buahan itu tenggelam dalam semak, tidak subur dan menunggu saat matinya sahaja. Dan ini yang berlaku dalam dakwah.
Ada pegawai pertanian yang hebat ilmu bercucuk tanam, dia sendiri tidak berkebun. Ini samalah seperti pendakwah / ustaz yang pandai berteori sahaja. Bila sudah letak DUA-DUA kaki dalam kebun, barulah tahu susah senangnya bertani. Jika berdakwah dengan sebelah kaki, sebelah lagi untuk urusan lain, maka hasilnya seperti petani tadi- mungkin berputih mata sahaja…
Sepeti berkebun tadi yang tiada TITIK BERHENTI selagi mahu memetik hasilnya- membaja, menebas dan meracun adalah kerja-kerja ASAS yang mesti di buat. Selagi mahu melihat hasil natijah Islam dalam kehidupan, maka proses membaja maaruf, memcantas dan meracun mungkar TIDAK boleh berhenti dan MENGIKUT KAEDAH yang betul.
Ada pekebun yang rajin menebas dan meracun, tetapi tidak menanam pokok, ini saya alami sendiri beberapa bulan yang lepas kerana sukar mendapat benih pokok yang baik dan juga kerana tertangguh-tanguh untuk menanam. Ini samalah seperti ada pendakwah yang kuat dengan program dakwahnya tetapi tidak betul-betul merancang, asal berdakwah dan ada TAKWIM TAHUNAN DAKWAHNYA!!. Atau dakwahnya seperti pernah saya sebut sebagai touch n go atau smart tag!!