Sebahagian besar dari kita pada minggu hadapan akan kembali menjalani kehidupan seperti biasa selepas bercuti menyambut hari raya puasa. Dan penulis yakin masjid-surau juga akan kembali seperti biasa. Waktu subuh akan dihadiri oleh muka-muka yang biasa, dulu semasa ramadhan bertambah safnya, sekarang entah dimana mereka?
Waktu maghrib-isyak pun tiada bezanya.
Tabung-tabung derma juga tidak terisi kerana 'musim' ringan tangan menghulur sudah berlalu. Kitab al AlQuran juga akan kembali disimpan pada tempat-tempat biasa, tidak tahu bila akan ditatap semula, mungkin menunggu setiap malam Jumaat! Berdoa juga ala kadar malah suka melayan nafsu tidur sehingga subuh tanpa sesekali paksa diri untuk bangun malam.
Begitu juga buah kurma tinggal beberapa biji atau tiada stok lagi kerana tidak terfikir mahu berpuasa lagi pada bulan-bulan mendatang.
Walaupun masih berlangsung rumah terbuka eid fitri, tetapi selepas ini hati tidak terbuka untuk menziarah atau tidak terbuka hati segera memohon salah silap. Ramah mesranya juga akan bersebab atau terpaksa!!
Akhlak lama akan kembali seperti sedia kala dengan gelojoh depan makanan, perut sentiasa penuh, kembali dengan perangai barannya, hasadnya, putar belitnya, mungkir janjinya, buruk sangkanya, menunjuk-nunjuknya, cakap besarnya, bodoh sombongnya, sukar menerima nasihat orang lain dan lain-lain. Seolah-olah akhlak mulia sepanjang ramadhan itu eklusif semasa berpuasa!
Ramai yang keliru bilamana orang yang suka beramal soleh ini dikatakan orang alim, sedangkan mereka ini sebenarnya mempraktikkan ilmuny seperti mana umum mengetahuinya dan umum melakukannya disepanjang ramadhan, malah ada pula istilah orang masjid,orang surau maka yang sukar berjemaah itu elok dipanggil 'orang rumah'!!
Kesimpulannnya adakah kita sudah kembali fitrah iaitu penyucian spiritual selepas sebulan berada dalam madrasah ramadhan yang lalu?
Ramadhan akan menyemarakkan lagi bulan-bulan selepas ini dalam beramal soleh, amal dakwah, amal kebajikan, amal sosial, amal peningkatan diri dan pesanan khas kepada anda supaya segera kembali cergaskan diri dengan amalan gaya hidup aktif. Bukannya terus kembali 'lembik'. Hebatkan diri dengan keseimbangan ruhi, emosi, minda, fizikal badan dan fizikal harta .