Pages

Friday, November 10, 2017

Thursday, August 11, 2016

Rehat yang sangat panjang

Artikel terakhir bertarikh 23 Jan 2015, bermakna setahun tujuh bulan yang lalu. Komitment mengajar dan belajar bahasa Arab AlQuran agak membataskan masa. Semoga ada lonjakan baru selepas ini

Friday, January 23, 2015

Ayam berketak bunyi sekampung, kemudian kembali sunyi.

Baru-baru ini hebuh berbunyi ( diketakkan) akan gadis Melayu bertudung yang sengaja rela dipeluk oleh artis lelaki Korea dengan budaya KPOP ( kami peluk orang perempuan).



Saya tidak pasti sejak bila budaya ' keKorean' ini mula menular dinegara kita, kerana ada orang Melayu yang sanggup melawat tempat pengambaran drama terkenal Korea. ( maaf lupa tajuk dan tidak pernah menonton).

Adegan pelukan artis Korea ini bukan perkara baru, cuma baru-baru ini terlepas videonya dan diviralkan  dalam aplikasi whatsapp. Maka ramailah yang mengutuk tindakan gadis-gadis bertudung itu dan tidak kurang yang menasihatkan supaya gadis tersebut diberikan kaunseling. Lebih seminggu isu ini dicanangkan dengan gambaran akan kerosakkan akhlak muda mudi zaman globalisasi ini.

Kini isu itu tiba-tiba sunyi dan masalah moral tidak lagi menjadi topik perbincangan, tiada lagi bunyi bising. Seperti biasa ramai pengulas dan pemberi pendapat, tetapi tidak ramai yang memberi cadangan penyelesaian masalah.

Sebahagian besar dari kita secara positif beranggapan wanita bertudung tentu sudah beres soal solat dan ibadah yang lain serta seorang yang beriman. Saya bersetuju walaupun tidak sepenuhnya betul, namun apabila sudah mampu beribadah belum tentu mampu menjaga akhlak. Wanita dewasa atau lelaki dewasa juga bermacam akhlaknya walaupun sudah selesai tuntutan beribadah, malah sudah bergelar haji atau hajah tetapi berakhlak seperti belum pernah menunaikan haji!!.

Isu moral adalah isu kitar semula mengikut generasi. Mungkin mereka yang hebat mengulas isu moral remaja ini, mungkin dahulu semasa remaja mereka tidak kurang hebatnya. Ataupun dia  masih lagi bermasalah?

Kajian menunjukkan faktor luaran hanya 10% mempengaruhi akhlak seseorang,10% dari rakan sebaya,  dimana sebahagian besar adalah kesan langsung didikan dirumah. Jika ibubapa " berjemaah" dengan anak-anak  dihadapan TV, mendengar lagu-lagu pop cinta dalam kereta, membaca lagi majalah hiburan , jarang solat berjemaah, jarang menuntut ilmu agama, jarang membawa anak-anak ke surau-masjid, tidak melatih anak terutamanya anak perempuan menutup aurat dengan betul dan lain-lain didikan yang dibuat sambil lewa, maka inilah contoh yang dikuti oleh anak-anak sejak mereka kecil lagi. Maka apakah yang hendak dihairankan ramai remaja yang bermasalah! Mungkin cucu juga akan mewarisi akhlak negatif itu!

Faktor luaran boleh dikawal terutamanya orang yang memegang teraju media massa orang yang berakhlak, pemimpin masyarakat yang berakhlak, penasihat pemimpin yang berakhlak. Namun untuk menukar pemimpin yang kurang akhlak ini sukar kerana yang memilihnya juga tidak mementingkan akhlak  sebagai syarat utama menjadi pemimpin. Akhirnya lagu bangau oh bangau tetap berkumandang dan menjadi carta pilihan utama.

Sebahagian ibubapa yang mula sedar dan mula  lebih beragama, sedangkan anak sudah besar atau sudah berumah tangga yang sukar atau tidak sesuai lagi ditegur! Saham ibubapa terhadap akhlak anak-anak itu tetap ada, namun selain berdoa,  merendah diri kerana silap mendidik mereka dahulu, boleh melembutkan hati anak-anak untuk berubah. Ada ibu-ibu muda yang menampilkan diri seperti anak dara. Ini juga terkait hasil didikan ibubapa mereka, kerana dia memilih suami yang setaraf ( sekufu) akhlak dengannya. Siapa mereka ini jika bukan dari pertukaran generasi.

Sunday, December 21, 2014

Semaknya kebun semaknya hati

Kita biasa mendengar bahawa bumi Malaysia ini subur, tanam apa sahaja, malah tanam pokok kurma sekali pun insyaAllah akan subur dan hidup, kecuali tanam jenazah sahaja yang tidak akan hidup.

Berkebun ini bunyinya mudah, tetapi untuk menjaga kebun bukanlah kerja sambil lewa. Kesuburan bumi kita dengan hujan dan cahaya matahari yang cukup akan menyuburkan semak. Semak yang tidak diurus akan menjadi belukar. Menanam tanaman kontan lebih sukar menjaga dan membersihkan rumput dan semak berbanding menanam pokok buah-buahan , sawit atau pokok getah. Namun jika selama tiga bulan sahaja dibiarkan, kebun sudah dipenuhi dengan semak yang bercampur aduk.


Begitu juga dengan hati kita ini, jika dibiarkan tanpa pembersihan dan penjagaan ia seperti kebun tadi akan menjadi semak yang bercampur aduk. Yang menyuburkan semak ini dari pelbagai sumber iaitu dari televisyen, internet, handfon, bacaan, media sosial, rezeki yang tidak jelas, banyak makan, banyak gelak, banyak gurau, banyak bohong dan bermacam lagi.

Sebahagian kita sekadar sambil lewa untuk membersihkan hati ini, seperti solat hujung waktu, solat sendirian, jarang berdoa, sedikit berzikir, jarang membaca AlQuran, jarang bersedekah . Apabila hati semakin semak, maka pokok iaitu iman akan tergugat kesuburannya, terbantut atau boleh mati.

Untuk melihat hasil tanaman yang subur, semak mesti dijaga selain membaja. Baja iman adalah dengan meningkatkan amalan, menambah ilmu, mengawal percakapan, mengawal gurau-senda dan banyak lagi perlakuan positif.


Sebahagian dari kita menjaga kebun hatinya pada musim tertentu terutama pada bulan ramadhan, atau ketika umrah atau menunaikan haji. Mereka ' pulun' membersihkan hati dengan meningkatkan amalan ketika itu dan selepas itu kembali sambil lewa menjaga hati.  Walaupun sudah rasa banyak beramal, tetapi bukan mudah untuk membersihkan hati yang sudah tebal semaknya.

" Didalam hati mereka ada penyakit". AlBaqarah,2:10

" Demikianlah Kami telah mengunci mati hati orang-orang yang melampaui batas"- S.Yunus 10:74




Thursday, December 18, 2014

Ketam memang berjalan mengiring

Ketam tidak pernah berjalan kehadapan melainkan mengiring kekiri atau kekanan untuk bergerak. Bijaknya orang Melayu zaman dahulu yang memerhatikan tabiat ketam ini, sehingga ada bidalan yang menyebut seperti ketam menyuruh anaknya berjalan lurus.                            .

Yang tersirat ialah menyuruh orang lain berbuat baik, sedangkan diri sendiri tidak baik. Mungkin ada dua keadaan orang yang seperti ini iaitu pertama melarang orang lain supaya tidak melakukan keburukan yang pernah dia buat sebelum ini, dan mungkin untuk menutup kelemahan yang ada pada dirinya agar dipandang mempunyai imej yang baik.

Ketika zaman ledakan media sosial, adalah amat mudah menyuruh atau mengajak atau memberitahu sesuatu kebaikan dengan hanya 'memforwardkan' mesej melalui FB, twitter, whasapp, telegram atau instagram. Kadang-kadang mesej itu dibaca sekali lalu atau tidak ditapis dan terus dihantar kepada orang lain. Dakwah melalui media sosial ini amat mudah dan biasanya bagi mereka yang agak rendah diri sekadar menulis copy paste dari orang lain. Pernah terdapat komentar dari ibubapa yang menyuruh berpakaian sopan dan tidak ketat pada anak-anak gadis, sedangkan anak gadisnya sendiri berpakaian ketat. ( mungkin mahu menegur anak yang sudah jadi rebung, tetapi sepatutnya bukan di khalayak).

Tidak kurang juga terdapat forum dan perbincangan didalam media sosial ini terutamanya dalam isu agama dan politik. Masing-masing memberi pendapat mengikut kecetekan ilmu dan pengalaman, malah kadang-kdang berbincang dengan mereka yang tidak pernah dikenali. Adalah lebih baik tidak membuang masa berbicang tanpa taaruf dan tanpa kesimpulan yang konkrit.

Dalam keadaan lain, apabila merasakan orang lain tidak mengenali dirinya siapa iaitu dengan menggunakan nama samaran atau nama betul dimana satu keadaan negatif yang berleluasa ialah memberi teguran yang menggunakan kata-kata kesat keatas sesuatu tulisan , yang mungkin tidak kan terkeluar oleh mereka yang menjaga kewarakan. Seolah-olah merasakan amalan buruk itu terlepas dari dicatat oleh malaikat. Sudahlah jalan mengiring, menyepit orang pula.


 

Sunday, October 19, 2014

Pengorbanan Akhbar Untuk Haji Akhbar

Pada tahun ini Jemaah haji seluruh dunia berwukuf pada tarikh 3 oktober 2014 ( 9 zulhijrah 1435H) pada hari JUMAAT. Sekiranya berwukuf pada hari jumaat sepertimana ibadah haji kali pertama dan terakhir yang Nabi SAW lakukan disebut sebagai HAJI AKHBAR. Ada ulamak menyebut ganjaran haji akhbar seperti melakukan haji sebanyak 70 kali. Sebelum ini haji akhbar berlaku pada tahun 2006, 1999, 1991.

Alhamdulillah saya dan isteri bersama 3 juta jemaah lain berwukuf diArafah pada tahun ini. Dikatakan 2.08 juta adalah dari luar Saudi dan bakinya adalah rakyat serta mereka yang menetap disana. Saya yang menaiki pernerbangan awal ( hari ke3) dan terus ke Madinah, dan kebetulan sampai pada subuh hari Jumaat. Pada hari jumaat berikutnya, saya dapati Masjid Nabi sangat sesak dan menurut petugas haji, biasanya pada awal-awal begini tidaklah seramai ini.


Seperti biasa yang kita dengar, jemaah yang kononnya cintakan syurga dan cintakan Nabi SAW ada yang seperti hilang kawalan diri untuk masuk kedalam Rhaudah. Mereka ingin berdoa dan solat didalam Rhaudah, ibadah ini untuk berhubung dengan Allah, tetapi mereka tidak menjaga hubungan dengan manusia. Bukan sekadar tolak menolak, malah ketika sujud, kepala dilangkahnya. Untuk memasuki Rhaudah, kita perlu ada strategi dan masa yang sesuai seperti selepas 10 malam sehingga 3 pagi ( masa orang sedang tidur dihotel). Begitu juga ketika menziarahi kubur Nabi, ramai yang tidak menjaga adap dan mementingkan diri sendiri selain beberapa amalan khurafat dan ini bukan jemaah dari Malaysia, seperti mengusap-gusap tiang.

Selepas 8 hari, kami ke Mekah dan pada minggu pertama masjidilharam masih belum sesak dan masih ada karpet lagi. Masuk minggu kedua di Mekah, jemaah Malaysia sudah tenggelam oleh jemaah dari India, Bangladesh dan Pakistan. Kami yang memasuki masjidilharam melalui jalan antara Zam-Zam Tower dan Hotel Hilton dibanjiri oleh 3 Negara ini ( anggaran 300- 350 ribu orang). Mereka bukan sahaja memenuhi tiap sudut masjid pada lima waktu, malah jam 2-3 pagi lagi mereka sudah berduyun-duyun keMasjid. Pada waktu awal pagi ini, jemaah dari Malaysia boleh dikira dengan jari.

Pergorbanan yang terpaksa dilalui oleh jemaah Malaysia yang sopan santun ini ialah gelagat kasar dan pentingkan diri oleh jemaah lain ini. Ketika tawaf, kesabaran perlu lebih tinggi dan jika hilang sabar, kita dengan mereka tiada beza. Saya tidak pasti, mengapa mereka bersikap sedemikian, adakah kerana sangat teruja untuk beribadah atau memamg itulah sikap mereka?

Sukar untuk melihat orang yang datang solat sunat sebelah kita, dan sebaik selesai solat dia tersenyum atau menghulurkan tangan bersalaman, jika ada, itu adalah orang Malaysia. Saya pernah melakukannya pada seorang jemaah  Pakistan, dan dia lambat untuk menyambut salam saya dan seperti terkejut ( mungkin dia tidak biasa).

Maka tidak hairan, kerajaan Arab Saudi kerab memuji Jemaah Malaysia yang lebuh bersopan, mengikut arahan dan dikatakan berilmu sebelum datang ke Mekah untuk menunaikan haji.

Namun satu keadaan yang perlu jemaah Malaysia ubah ialah kurang teruja untuk solat berjemaah di Masjidilharam, dimana surau hotel pula sentiasa sesak dan juga setiap aras hotel juga penuh orang solat. Boleh terima alas an,jika surau hotel sesak pada waktu zuhur dan asar dimana cuaca masih panas, tetapi masih sesak pada waktu subuh, maghrib dan isyak. Malah yang menyedihkan bilal dan imam yang sama SENTIASA disurau ini ( bila masa keMasjid?).

Seorang ketua pembimbing haji permh memberi tazkirah yang agak tegas dan keras kepada Jemaah Malaysia yang tidak mahu bersusah diri, tidak mahu berpanas dan bersesak, sedangkan dengan hanya memandang Kaabah sahaja sudah berpahala, malah tawaf hanya ada di Kaabah. Setelah menunggu bertahun-tahun, mengeluarkan ribuan ringgit, jauh berjalan, akhirnya lebih memilih surau hotel untuk berjemaah? Saya melihat, Jemaah yang melewati usia 60an, tidak mahu bersusah payah, sebaliknya jemaah dari  luar juga tidak jauh usia, sebagai contoh jemaah dari China lebih berusia lagi, hotel mereka lebih jauh, mereka gagah berjalan kaki hampir 5 waktu solat. Saya akui perlu mujahadah besar ketika bersesak-sesak keMasjid dan tolak menolak ketika tawaf, apalagi semakin ramai jemaah berkulit gelap.

Orang kita mungkin lebih beradab, sopan, lebih berilmu tetapi kurang teruja beribadah- bukan semua tetapi kebanyakkannya. Keselesaan di Malaysia terbawa-bawa sehingga ke Mekah.

Hujan renyai-renyai sebentar di Arafah dan di Mina seolah-olah meraikan haji akhbar tahun ini. Cuaca panas, agihan makanan yang tidak teratur dan kesukaran menggunakan bilik air adalah satu kebiasaan di Arafah dan Mina ini. Namun perjalanan ke Arafah dan Mina ini lebih teratur dan cepat, begitu juga melontar jamrah. Lagi sekali kita akan melihat Jemaah luar ini sangat teruja, sehingga melontar sekuat hati  dari 20-30 kaki dari takungan melontar!!Namun mujahadah besar jemaah lain ialah oleh kerana bilangan mereka mencecah lebih 100 ribu, ( contoh :- Bangladesh seramai 130 ribu,Indonesia - 180 ribu),untuk mengelakkan kesesakan bas, sebahagian mereka terpaksa berjalan kaki dari Arafah ke Muddzalifah yang jauhnya lebih kurang 7km dan seterusnya berjalan kaki ke Mina iaitu lebih 3 km. Antara jemaah yang berjalan kaki ini ialah dari Negara Pakistan, Turki, Indonesia, Bangladesh juga China yang memilih berjalan kaki walaupun t mereka tidak seramai jemaah Malaysia, malah ada jemaah dari China ini sudah berjalan kaki dari Mekah ke Arafah lagi- subhanallah ( jauhnya lebihkurang 20 km). Bangsa ini layak bersusah payah sedemikian, kerana itulah tahap kelasakan mereka.   Jemaah Malaysia pula sentiasa menaiki bas yang selesa dan berhawa dingin. Jika rakyat Malaysia disuruh berjalan kaki, mungkin berkurangan jemaah dari Malaysia  pada setiap tahun!

Sebenarnya keadaan penting diri, tidak mesra dengan jemaah lain, jahil beribadah, amalan khurafat adalah cerita lama yang berulang. Umat Islam ini ramai, sesama bangsa mereka bertelagah, apa lagi mahu menguatkan silaturahim dengan berlainan bangsa. Jika orang yang sedang menunaikan haji dan umrah yang mungkin lebih beragama begini sikpanya, apalagi mereka yang jauh dari Allah! Islam masih dagang lagi dan masih jauh lagi untuk kembali menguasai dunia. Kita melontar batu, tetapi tidak melontar sikap negatif keluar dari diri kita!

 

 

Wednesday, July 9, 2014

Sembah Ramadhan?

Jika bulan haji adalah bulan ' eksklusif' kepada jemaah haji iaitu sekali seumur hidup, manakala bulan puasa pula menjadi eksklusif beribadah pada setiap tahun.

Ada  yang boleh bertukar watak apabila datangnya bulan ramadhan ini, malah itulah puasanya yang terkini selepas ramadhan yang lepas. Dia menjengah surau-masjid selepas setahun berlalu, selain seminggu sekali pada hari jumaat. Mungkin ada yang mula membuka AlQur'an setelah setahun meninggalkannya atau dibaca pada malam jumaat. Kaum wanita pula lebih sopan berpakaian atau yang menutup rambutnya.

Ramai yang cuba menghambakan diri pada Allah dengan mengharapkan ganjaran pahala dari ibadah yang secara tiba-tiba dibuat itu.

Tahniah untuk mereka berbanding ada yang tiada perbezaaan bila datangnya ramadhan! Namun apakah ulangan demi ulangan pada setiap tahun ini sebagai rutin sehinggalah keakhir hayat?  Bukankah natijah ramadhan ialah berlaku peningkatan taqwa?

Tentunya ingatan seperti ini sudah jelak didengar, namun peringatan itu adalah kaedah untuk hidup Berjaya didunia dan diakhirat

Sunday, June 15, 2014

Aura Bola dah tiba, aura Ramadhan ?

Seluruh dunia kini tertumpu ke negara Brazil kerana sedang berlangsung bolasepak Piala dunia.Rakyat negara yang berjaya masuk kepiala ini tentu seronok sakan, tetapi turut dirasai oleh rakyat negara lain termasuk diMalaysia ini.

Ramai yang mempunyai pilihan pasukan kegemaran masing-masing, sedangkan negara itu tiada apa-apa kiatan lansung dengan mereka. Ada yang minat sesebuah negara kerana ada para pemainnya mereka minati menerusi kelab masing-masing , dan cuma sedikit minat kerana corak permainannya. Tidak kurang yang minat bola ini adalah kaki bangku atau sudah lama tiidak menyepak bola.

Bola kini adalah perniagan, maruah, kebanggaan, pesta hiburan dan pesta keseronokan. Melihat media masa cetak dan elektronik, jelas faktor hiburan dan keseronokan yang lebih ditonjolkan.

Aura bola ini sudah datang termasuk pada sebahagian besar umat Islam diseluruh dunia yang akan menyambut bulan ramadhan dan nanti sepanjang dua minggu bulan ramadhan pesta bola ini akan terus berlangsung.

Yang gagal mengawal aura bola ini, biasanya gagal untuk merasakan kehadiran aura Ramadhan. Sanggup bersengkang mata demi bola, tetapi tidak untuk beribadah. Nasihat ini sudah biasa disebut, tetapi umpama mencurah air kedaun keladi. Jiwa yang sentiasa seronok sukar untuk membendung minat, malah rasa seronok bakal datang bulan Ramadhan ialah kerana pesta makanannya atau persediaan rayanya!

Alangkan baiknya keseronokan mengikuti perkembangan bola ini dapat diagihkan kepada seronok dengan kedatangan Ramadhan. Benarlah, dunia ini syurga bagi orang yang kurang taqwanya dan bagi orang kafir

Thursday, May 15, 2014

Bakar Kelambu Bocor

Malaysia sudah ditakdirkan dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama. Bangsa china dan India  yang kini menjadi warganegara yang memiliki kad pengenalan adalah generasi yang ke 4 atau lebih lama lagi. Orang China menguasai ekonomi, bangunan perniagaan dan bangunan pencakar langit, manakala orang Melayu masih memiliki  tanah yang lebih banyak termasuk tanah simpanan Melayu dan Tanah adat yang sebahagiannya terbiar.

Sesama Melayu saling berbalah, berkelahi, bermusuhan, caci mencaci, maka tidak hairan ianya boleh berlaku dengan bangsa yang berlainan.

Terkini parti politik MCA, DAP dan Gerakan menyatakan secara terbuka menentang hudud dengan alasan hukuman yang tidak sesuai lagi pada masa ini  dan melihat Malaysia akan memulakan langkah menjadi Negara Islam.

Terdapat kenyataan lantang yang akhirnya pihak polis membuat siasatan apabila perkataan pendatang dan penceroboh digunakan kepada orang China yang berada di Malaysia.

Dalam kehangatan cuaca politik dan isu hudud, perkataan provokasi ini lebih menghangatkan keadaan. Perkataan yang keluar selepas 57 tahun Malaysia merdeka!

Secara psikologi,perkataan yang tidak berhemah dan tidak berhat-hati biasanya keluar dari minda yang gopoh dan tidak dapat mengawal kebencian. Ini fakta yang boleh diterima oleh sesiapa sahaja.

Sekiranya 'benar'  maklumat sehingga mendatangkan rasa marah, persoalannya bolehkan dikeluarkan kenyataan yang tersasar itu tanpa berfikir panjang? Kenyataan ini mungkin keluar setelah beralasan orang China semakin 'naik kepala', namun apakah provokasi seperti ini adalah jalan penyelesaiannya?

Alasan orang Melayu terlalu berlembut dan pemaaf sejak lebih 50 tahun dahulu terhadap bangsa lain adalah tidak tepat, kerana ianya melibatkan politik , perundangan yang dibuat oleh pemimpin terdahulu dan sedia ada.  Berapa banyak kegagalan untuk memajukan ekonomi orang Melayu dan berapa banyak tanah Melayu dibenarkan dijual kepada bukan Melayu tanpa prosidur yang betul?

Sepatutnya kegagalan ini yang harus dibincang. Dilema Melayu yang kronik ini sebenarnya dimulakan oleh orang Melayu sendiri. Melayu sendiri yang membocorkan kelambu, maka mudah dimasuki nyamuk.

Apa selepas ini setelah mengeluarkan kata-kata provokasi ini? Apakah orang China akan mengalah atau mengaku mereka memang membuli orang Melayu?

Selesaikah masalah kebencian? Atau mencurah  minyak kedalam api? Perkataan yang keluar dari mulut kita memberi gambaran cara fikir kita. Ilham untuk bercakap dan mendapat idea yang baik sangat berkait rapat dengan amalan masing-masing.  Orang yang bibirnya basah berzikir, banyak solat sunatnya, banyak puasa sunatnya serta bermunajat dinihari, InsyaAllah ilhamnya berbeza.

Sunday, May 4, 2014

Berselawat disana sini

Jika sebelum ini  konsert nasyid mendapat sambutan, kini semakin galak pula acara berselawat terutama yang dipelopori para habib.

Ada beberapa pandangan yang seperti meremehkan acara ala hiburan  dan ala bersantai ini,  malah ada yang melebelkan sebagai satu bidaah  dalam mengingati Nabi SAW, serta acara politik tertentu untuk mengumpulkan orang ramai. Amalan berdendang ini cenderung kepada kesufian yang berbentuk alunan yang biasa dibuat oleh ahli Sufi yang memilih pendekatan sedemikan untuk menghayati sesuatu amalan.

Golongan pendakwah dan ilmuan yang bersifat haraki dimana lebih mementingkan dan mendahulukan ilmu Islam yang syumul, membentuk akhlak masyarakat, bercita-cita mendaulahkan Islam, dimana ada yang tidak berkenan dan tidak bersetuju dengan acara sekadar santai berselawat berirama seperti ini.

Memang secara pandangan kasar, acara berselawat ini mendapat sambutan dan dihadiri oleh mereka yang melihat Islam dari   amalan di masjid, bermarhaban, berzanji, baca Yasin malam Jumaat, bermusabaqah AlQuran, juga dihadiri oleh mereka yang belum sempurna menutup aurat atau yang masih istiqomah solat dirumah. Mungkin  tidak ramai  muka-muka yang hadir dikalangan mereka yang berjemaah haraki yang orang biasa atau bertaraf ustaz-ustazah.


Medan dakwah para penasyid dan para perselawat ini berbeza dengan mereka yang berharaki. Walaupun kesan untuk membentuk akhlak itu kurang berkesan, paling tidak roh Islami itu masih ada dikalangan para pengunjungnya. Soal pahala dan keikhlsan itu bukan kerja manusia.

Jangan dipandang remeh amalan kecil seperti ini dan jangan merasa besar amalan yang lebih mantap seperti pendekatan pendakwah berharaki. Bila kita berlapang dada, dan mengharap mereka yang masih minat pada acara santai-santai ini akan lebih serius melihat Islam, InsyaAllah paling tidak lebih subur untuk Islam kembali gemilang

Jika mencari perbezaan, kita akan jadi letih yang tidak berkesudahan
 

Wednesday, September 18, 2013

Yang Pelik Sudah Lama Popular.

Tidak dinafikan, wanita boleh dijadikan   KPI ( penanda aras)  bagi sesebuah keluarga atau organisasi atau sebuah masyarakat. Secara umumnya diketahui kualiti remaja sebagai penanda aras utama, namun lebih tepat ialah kualiti remaja perempuan.  Penampilan secara fizikal, emosi dan intelektual seorang wanita  didalam sesebuah keluarga, secara langsung boleh mencerminkan sesebuah keluarga itu. Dengan kata lain,penampilan seorang nenek, ibu, anak perempuan  ataupun cucu perempuan adalah reflek dan memberi impak yang  besar kepada masyarakat.

Perbincangan disini bukan   mahu menjaga tepi kain, sebaliknya salah satu saranan untuk anjakan paradigm dan bersama muhasabah diri. Pada zaman fitnah dan cabaran besar umat Islam masa kini,  adalah satu kejayaan bagi mereka yang mampu memaksimakan amalan syarak, dimana menjaga aurat adalah sebahagian dari amalan syarak bagi menyempurnakan Islam yang holistik ( syumul). Cara berpakaian adalah terjemahan ilmu dan amalan seseorang, selain boleh juga diterjemahkan melalui aspek kebiasaan yang lain seperti apa yang dibaca, ditonton, didengar dan sebagainya. Kaum lelaki adalah ketua kepada wanita iaitu sebagai abang, suami, ayah , datuk atau pemimpin. Siapa dia wanita yang rapat dengan anda, juga boleh membayangkan siapa anda disisi manusia dan disisi Allah.

Namun begitu didalam kes tertentu, dimana ada ibubapa yang lambat mendapat kesedaran untuk memenuhi tuntutan syarak dan kembali berwatakan seorang yang soleh, tetapi anak-isterinya masih dengan gaya 'jahiliyah'.

Mengimbas sejarah lama, wanita Melayu Islam  yang berumur 40-60tahun, sejak dibangku sekolah rendah lagi mereka sudah biasa bergaul dengan lelaki seperti sekarang ini, dengan istilah yang biasa disebut mereka berdiri  sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki.  Mereka sudah bergaul dengan lelaki sejak kecil, kesan langsungnya mengurangkan sifat malu pada lelaki, dan pendedahan pada dunia serba moden , berkerjaya,dan teknologi canggih ini akan menjurus pada cara fikir, cara pakaian yang moden dan ringkas. Sebahagian besar dari mereka sudah pun moden ataupun sudah berada pada zaman moden.

Sejak tahun 1960an lagi, disekolah anak-anak lelaki sudah biasa berseluar pendik, malah anak perempuan memakai  skirt, serta kelas bercampur jantina. Pada tahun 1976, baharulah pelajar sekolah menengah dibenarkan berseluar panjang, manakala pada tahun 1980an,  terdapat segelintir pelajar perempuan sekolah menengah mula bertudung. Ketika itu kehidupan para remaja lelaki ramai yang berambut panjang, bergaya hippies dan ganja merupakan satu kebiasaan. Sebahagiannya jahil agama, tidak solat malah tidak tahu membaca Al Quran.  Siapa remaja  ketika itu? Mereka ialah datuk atau ayah atau ayah mertua anda sekarang. Pengalaman dalam pergaulan saya, mereka yang berusia 45 tahun keatas pada ketika ini ramai yang masih buta AlQur'an, cetek ilmu fekah dan tidak sempurna solat 5 waktu.

Begitu juga dengan nenek atau ibu yang ada sekarang, ketika mudanya sudah biasa mendedahkan aurat, memakai skirt ketika sekolah, tidak bertudung walaupun ketika itu sudah berada di tingkatan 5,  dan sudah biasa bergaul dengan lelaki.

Dengan kata lain, masalah sosial ini sudah lama POPULAR  dan TIDAK lagi PELIK. Gaya remaja yang berpakaian ketat walaupun bertudung pada masa kini, sebenarnya  adalah PUTARAN yang sama ketika mana ibu mereka remaja dahulu. Bukan remaja masa kini yang ketat pakaiannya, tetapi terdapat para ibu mereka masih   sendat pakaiannya dan kecilnya tudung. " Mak borek, anak gadis rintik".




Tidak boleh dinafikan dengan memiliki ilmu agama yang cetek, apatah lagi mereka juga berpakaian yang hampir sama ketika remaja dulu, maka para ibu-bapa ini tidak mampu untuk memperbetulkan penampilan anak mereka, khususnya anak gadis. Ada yang berfahaman bahawa anak mereka sudah pun bertudung dan bergaya adalah citarasa remaja. Sebenarnya isu MENUTUP AURAT TETAPI MASIH NAMPAK URAT ini, sudah banyak dibincangkan, tetapi seolah menuang air didaun keladi.

Sesiapa yang mengatakan masalah ini jelik dan pelik, sebaliknya mereka akan dituduh pelik, kerana ianya sudah lama popular  dan menjadi fenomena biasa!! " Eh, Biasalah...apa yang peliknya!!".

 Jika dalam 100 orang remaja wanita, agaknya berapa orang yang bergaya seperti gambar diatas? Saya berpendapat seramai 90-95 orang yang berterampilan sedemikian. Jadi ianya sudah popular dan sangat biasa, gaya begini juga popular di pusat pengajiaan tinggi, apalagi dipusat belibelah.

Walaupun mungkin gaya bertudung kepala satu pemandangan biasa, namun sebaliknya pakaian yang ada dibawah kepala sehingga kaki pula menyalahi dan luar  dari  syarak.

Sekitar tahun 1990an, kelihatan fahaman Islam semakin kuat, tetapi ianya tidak kekal dan meleset sama sekali, malah pendakwah semakin lesu. Mungkin terdapat peningkatan wanita yang bertudung dan lebih ramai yang berilmu agama dan mendirikan solat, tetapi penampilan pakaian mereka tetap pelik pada pandangan orang yang beragama dan berilmu. Contoh mudah yang biasa ditengok ialah pengantin bertudung tetapi keterlaluan solekannya dan sendat bajunya serta acara bersanding kembali menjadai satu agenda penting, sedangkan acara tidak bersanding sudah pun diterima masyarakat  pada1990an dahulu.

 Penting sangatkah soal berpakaian ini, sedangkan wanita ini tidak meninggalkan solat, berbudi bahasa, baik dengan ibu-bapa, berpuasa Ramadhan? Inilah soalan yang dikemukakan oleh si jahil murakkab  apabila fahaman Islam berjuzuk-juzuk dan terpisah. Penampilan wanita ini sangat bertentangan ketika mana mereka solat ,dan cara pakaina dan solekkan begini adalah satu gambaran kecintaan yang SANGAT TINGGI pada dunia.

Akhirnya  hidup ini akan berputar semula, besar kemungkinan penampilan wanita zaman ini  akan diulangi semula oleh anak-anak mereka ( mungkin lebih dahsyat lagi), kerana sebenarnya sekarang mereka sedang mengulangi apa yang pernah dibuat oleh ibu mereka dahulu.

Islam kembali  DAGANG  (  PELIK )  untuk diamalkan, sepertimana orang jahil Quraish merasa pelik dengan Islam yang Nabi SAW  bawa.

Ini sebahagian kecelaruan para wanita, bagaimana pula kecelaruan para seorang datuk, ayah, abang atau adik lelaki? Hanya menjadi angan-angan selagi mana gagal mendaulahkan Islam didalam diri   individu muslim, bukan semua, jika boleh mencapai seperempat sahaja, Islam boleh mengorak kembali berdaulah.

Tuesday, September 10, 2013

Biduk Lalu, Kiambang Tidak Bertaut

Biduk terkini yang sahaja lalu ialah kenaikan harga minyak, manakala biduk besar sebelumnya ini ialah PRU 13. Biduk ini telah menguakkan malah merosakkan banyak kiambang, namun  kiambang yang bernama bangsa Melayu ini, banyak yang tidak bertaut kembali. Masih ada diantara mereka tidak bertaut di surau atau di masjid.

 Biduk yang bernama pemerentah sentiasa sahaja nampak kesalahan biduk si pembangkang, begitulah sebaliknya, pembangkang sukar untuk melihat kebaikan yang ada pada pemerentah. Yang keruh tetap diambil, yang jernih dibiarkan. Apabila pendayung biduk ini bersikap begini, maka tidak hairan penumpangnya juga mengikut rentak si pendayung. Apakah sentiasa salah pandangan dari pembangkang atau sentiasa tidak betul apa yang dibuat oleh si pemerentah? Pemerentah rasa tercabar apabila ditegur dan didesak, manakala pembangkang menegur sekadar  'hangat-hangat tahi ayam', sedangkan isu yang ditegur datang bertimpa-timpa, tetapi banyak separuh jalan sahaja.

 Semasa biduk PRU 13, terdapat biduk yang tidak kurang besarnya iaitu perbezaan  fahaman dan pendekatan politik yang diambil oleh NGO-NGO Islam. Namun begitu, masih tiada lagi tanda-tanda kiambang  dikalangan mereka ini akan bertaut. Mereka ini melaungkan bersilaturrahim dan menguatkan ikatan ummah, tetapi mereka tetap ditempat lama, serta tiada usaha yang kuat untuk mereka bertaut. Mereka terikut-ikut dengan rentak orang politik yang berlainan parti, sedangkan agenda mereka adalah ummah yang satu, yang tidak kira bangsa atau keturunannya. Walaupun bunga kiambang ini berbeza, tetapi bentuk daunnya masih sama. Kiambang tetap kiambang, Melayu tetap Melayu, yang berbeza ialah fahaman.

Terkini juga sedang lalu " biduk lama" yang dikenali sebagai syiah. Tiba-tiba sahaja biduk ini cuba dihalang, sedangkan sudah lama mereka diberi laluan terutama di IPT. Namun yang agak positifnya kiambang kuat bertaut dan tidak memberi laluan mudah untuk biduk ini lalu.

Dalam kesibukan  menghalang penularan syiah, mereka yang mendakwa sebagai ahli sunnah, tetapi sebaliknya mereka beramal seperti bukan  ahli sunnah ketika mereka berpakaian, kepala bertudung, tetapi masih menarik perhatian dan 'mengiurkan' lelaki, tidak Nampak mengikut sunnah ketika mereka mengadakan kenduri kahwin dan ramai yang tersasar dari mengikuti sunnah dalam amalan khusus. Sepertimana, sunnah yang paling dituntut ialah solat secara berjemaah, sedangkan majoriti dari mereka lebih ramai solat lima waktu secara sendirian.

Begitu juga biduk yang masih ingin melanggar kiambang iaitu isu kalimah Allah oleh orang kafir!  Walaupun nampak seperti kiambang ini kuat bertaut, namun ada yang bermotifkan politik dan bangsa Melayu, dan bukan kerana mahu meletakkan Allah pada tempatnya yang sebenar.





 

 

Tuesday, June 25, 2013

Jerebu Hakiki

1. Hampir 3  bulan tidak menulis di blog ini, mungkin  "jerebu" dengan pelbagai urusan  serta kepenatan memulakan semula aktiviti  riadhah yang sudah ditinggalkan lebih dari setahun yang lalu, iaitu berjalan 3 km sambil memukul bola dan menarik   beg golf.


2. Ahad lepas, turun juga dengan memakai mask. Bila semakin biasa riadhah, rasa tidak selesa pula jika tidak  beriadhah. Kebun pula tidak banyak kerja lagi, kerana pokok-pokok sudah makin membesar.

3. Buat pertama kalinya di istiharkan DARURAT JEREBU di Malaysia dan kali terakhir jerebu teruk pada 1997.  Setiap tahun, banyak ladang dibakar di Indonesia, cuma kali ini perubahan angin yang menyebabkan jerebu melanda Malaysia dan Singapura.

4. Jerebu ini  bermusim, tetapi "  jerebu pada minda  dan  amal "  itu tidak bermusim, malah ianya sentiasa berjerebu pada sebahagian orang.  Malah ramai yang tidak tahu yang  minda dan amalan mereka itu berjerebu.

5. Ada yang mahu membuang jerebu dengan melakukan ibadah umrah, dan bersungguh-sungguh menjaga solat berjemaah dan berzikir, tetapi  apabila kembali ke rumah, jerebu datang kembali, solat kembali   istiqomah sendirian, Qur'an tidak dibuka. Namun ada juga tidak berasa nikmat beribadah ketika umrah.  Mereka yang sudah biasa  menjaga kualiti ibadah, umrah akan meningkatkan lagi amal selepas  kembali.

6. Fahaman mencari sebesar-besar pahala dengan bermusim ini adalah fahaman yang salah, atau beribadah ketika dipuncak  seperti umrah dan haji   atau   di puncak bulan, iaitu bulan ramadhan nanti, juga satu amalan yang bukan sunnah.

7. Mengapa jerebu minda dan amal  ini sukar dibuang? Tentulah jerebu yang sudah melekat pada sekian lamanya  sukar dibuang  pada waktu singkat dan bermusim.

8. Biarlah beramal di mana-mana sahaja dibumi Alllah ini secara beransur, tetapi istiqamah.

Monday, April 1, 2013

Salah Faham Terhadap AIR


Ilmu tentang air tidak dipelajari secara mendalam oleh pelajar perubatan dan juga pelajar yang mengambil jurusan pemakanan. Apabila dikatakan air adalah terapi dan boleh merawat penyakit, maka segelintir doktor pakar yang tidak tahu akan kajian ini, terpinga-pinga dan tidak percaya.

Sebahagian manusia yang cerdik, tetapi tetap membangkang sesuatu yang tidak diketahuinya.  Jika dulu ramai pakar perubatan yang 'dibawah tempurung' dengan memperlekehkan terapi  refleksologi, homeopati, akupuntur, nuturopati, assyifa' dan terapi alternatif yang lain, tetapi kini ada pakar perubatan ini yang mendapat rawatan alternatif ini untuk dirinya, malah ada sudah yang mempraktikkannya, malah di Kementerian kesihatan Malaysia sudah ada unit khas rawatan pilihan ini

Apa ada pada air kosong?" Bila haus, minumlah, jika tak haus, tak perlu minumlah"- inilah diantara jawapan yang biasa diberikan.

Sebenarnya kita mempunyai pusat haus di dalam otak, iaitu sama seperti pusat mengantuk. Semakin meningkat usia, pusat haus ini didapati kurang peka terhadap haus, dimana sebenarnya badan memerlukan air, tetapi kita tidak merasa haus. Lama kelamaan ianya sudah menjadi satu kebiasaan. Kita biasa mendengar jemaah haji yang sudah berumur mengalami masalah dehidrasi, kerana mereka tidak mahu lebih awal minum banyak air dengan alasan tidak haus.

Orang dewasa dicadangkan untuk mengambil 8 gelas air dalam sehari. Ini termasuk air teh dan air minuman bergula yang lain. 8 gelas ini bukan bermakna mesti air kosong semata-mata.Namun disyaratkan 70%  dari 8 gelas itu adalah air kosong. Kajian menunjukkan sebahagian  besar dari kita hanya mengambil 5- 6 gelas air sehari dimana 3-4 gelas adalah bukan air kosong.

Didalam buku ' You are not sick but you are thirsty',tulisan Dr. Batmanghelid, dinyatakan dengan  banyak sekali testimoni bagi mereka yang dapat mengekalkan minum air sebanyak 8 gelas ini. Diantaranya dapat menghilangkan sakit sendi, alahan kulit, muka lebih 'merah', kurang rasa pening ketika cuaca panas atau kepenatan, malah ada yang dapat mengawal kemarahan! Anda boleh mencari banyak maklumat tentang air ini didalam internet.

Air adalah makhluk istimewa yang Allah ciptakan, sebahagian besar badan manusia terdiri dari air. Kajian Dr Emoto tentang Kristal air, dimana beliau 'terpaksa' mengaku bahawa Kristal air zam-zam adalah yang paling cantik. Kristal ini yang dilihat melalui mikroskop khas boleh pecah apabila air itu tercemar, dengan kata lain pada hakikatnya air ini HIDUP atau ada ROH. Air yang dibacakan doa atau ayat-ayat AlQur'an tentulah berbeza 'zat'nya berbanding air biasa. Maka tidak salah kita meminum 'air Yasin' atau membaca bismilah dan fatihah pada air yang akan kita minum.

Tayammum tidak sah bagi orang yang tiada halangan berwuduk dengan air, sedangkan berwuduk bukan tujuan untuk mencuci kotoran pada 4 anggota wajib wuduk. Air mempunyai aura tersendiri, dan Allah sahaja yang tahu mengapa berwuduk wajib dengan air, sedangkan pada zaman Nabi SAW, air umpama mutiara, kerana sukar untuk mendapatkannya.

Mudah sahaja untuk mengetahui samaada kita sudah cukup mengambil air atau tidak, jika melihat warna air kencing kuning pekat, ini bermakna anda kurang air. Saya mempunyai pengalaman boleh bermain golf selama hampir 2 jam ketika puasa, dimana ketika sahur saya mengambil hampir 3 gelas air kosong, manakala  jika tidak puasa, ambil segelas air kosong sebelum t off.

Jika anda terasa pening kepala, lupakan dahulu mengambil panadol, sebaliknya minumlah air kosong 2 gelas, anda lihat kesannya nanti. Pada permulaannya anda akan kurang selesa jika mengamalkan minum air kosong ini kerana akan lebih kerap buang air kecil, tetapi alah bias tegal biasa. Air kosong adalah modal mudah untuk sihat.

Politik BUKU vs Politik "buku lima"

1. Politik adalah satu kompenan yang sangat penting didalam kehidupan manusia. Nabi Muhammad SAW  adalah seorang negarawan dan ahli politik yang ulung.

2. Baginda bermula dengan diri baginda sahaja, dan ketika baginda wafat, umat Islam sudah mencecah ratusan ribuan ( ketika wukuf arafah pada Haji pertama dan terakhir baginda, jemaah haji ketika itu dikatakan melebihi 100 ribu orang). Selepas wujud kerajaan Madinah, kemudian disusuli dengan kerajaan di Mekah, baginda mewujudkan sistem pemerentahan.

3. Ketika baginda wafat, baginda tidak mewasiatkan siapakan bakal penganti sebagai pemimpin nombor satu umat Islam, namun ketika baginda tidak sihat, Saidina Abu Bakar beberapa kali menjadi imam solat.

4. Politik dan pemerentahan yang diwarisi mengikut puak dan keturunan hanya bermula ketika zaman khalifah Umaiyyah dan Abbasiyah.

5. Ramai ulamak terdahulu dan terkini yang mengajar dan menulis tentang politik ( syiasi) ini dan tidak satu pun yang boleh dianggap fatwa yang mesti diikuti oleh seluruh umat Islam di seluruh negara  pada sepanjang zaman! Adalah keterlaluan jika menolak 100% sistem demokrasi atau difatwakan sebagai haram.

6. Malah bukan juga satu kemestian untuk umat Islam untuk kembali kepada sistem PIMPINANAN TUNGGAL  sebagai KHALIFAH selepas negara Islam terpecah-pecah sejak tahun 1924.  Namun adalah kemestian bagi setiap negara umat Islam ini kembali mengambil syariat Allah dalam pemerentahan. Jika negara-negara Islam ini pemimpin masing-masing masih celaru, masih hanyut dengan minda dan amalan jahiliyah, mana mungkin ada seorang bakal khalifah itu nanti  mampu memimipin setiap pemimpin negara Islam? Memegang fikrah hanya 1 khalifah sahaja yang menjadi ketua kepada Presiden atau Raja atau Perdana Menteri bagi setiap negara Islam, masih boleh dihujahkan.

7. Tidak dinafikan, adalah idea dan ilmu yang baik untuk kembali kepada melantik seorang KHALIFAH yang akan memimpin setiap pemimpin yang ada pada setiap negara Islam. Ada gerakan khalifah ini, tetapi bila ditanya apakah kaedahnya untuk kembali melantik khalifah ini, mereka tiada jawapan yang konkrit.

8. Untuk mencari seorang pemimpin yang berjiwa 'Islamik' dalam satu negara Islam adalah satu kesukaran yang amat besar, malah TIDAK ada satu negara Islam KETIKA INI yang mempunyai pemimpin Islamik yang selesa memerintah. Sebagai contoh, Dr.Murshi di Mesir kini sedang berjuang untuk menentang rakyatnya yang sekular dan ancaman dari Amerika dan Yahudi.

9. ADA individu atau organisasi Islam yang masih leka membelek-belek buku dan hujah ulamak tertentu didalam berhukum dalam politik dan lebih utama dalam keunikan politik rakyat Msia yang hanya 58% orang Muslim, dan baki 42% bukan Islam yang terdiri dari kafir ( cina, india, iban, singh dll) yang boleh diajak berunding dan sebahagian kafir yang mahu memerangi Islam.

10. Ilmu politik dari buku adalah rujukan, tetapi turut penting ialah ILMU REALITI ( waqiq)  dan PENGALAMAN. Orang yang kurang pengalaman, akan bersandarkan buku sebagai hujah, tetapi orang yang berpengalaman akan menggunakan buku dan pengalaman sebagai hujah. Kaedah tahaluf ( kerjasama) dengan orang kafir menjadi topik besar, dan bermacam pendapat.

11. Ada yang sangat berpegang kepada buku untuk mematikan hujah orang lain dan gagal pula untuk duduk semeja untuk berbincang secara mendalam dengan orang yang dihujahnya. Ulamak Arab dan bukan Melayu tentu menulis ilmu politik mengikut persekitarannya seperti di Mesir dan negara Arab lain yang majoritinya orang Islam dan berbangsa Arab. Dan realiti ketika Islam hebat semasa pemerintahan kerajaan umaiyah dan Anassiayh jauh berbeza ketika umat yang terpecah-pecah seperti sekarang.

12. Lebih malang, ada yang kabur dengan pemerintah  yang amat jelas akan keTARGHUTANnya, tetapi mereka beranggapan pemerentah seperti ini yang diberi harapan untuk membela bangsa dan Islam???

13. Politik provokasi sehingga bersingsing lengan sudah lama berlaku, tunggu dan lihat pada ibu PRU nanti.Namun politik buku jauh lebih baik dari politik 'buku lima'!