Pages

Monday, September 10, 2007

Wahai Para Pelajar Sekelian, Berikan Saya TELINGA anda!!

( ...... petikan dari buku yang bakal terbit: Pelajar Hebat Bila Ibadahnya Hebat)


Sekiranya anda membaca buku-buku atau menghadiri kursus motivasi tentang kecemerlangan pelajar, senarai utama kenapa anda tidak memahami apa yang guru atau pensyarah ajarkan ialah kerana TUMPUAN TERGANGGU berbanding alasaan lain seperti pengajar tidak pandai mengajar, suasana tempat belajar yang tidak selesa atau subjek yang diajar itu sememangnya sukar di fahami.

Tahukah anda penyebab utama mudah hilang tumpuan atau tumpuan terganggu? Jawapannya ialah anda TIDAK MENDENGAR apa yang diajar walaupun mata anda memandang muka guru / pensyarah anda! Walaupun pada awalnya anda mendengar tetapi ketika mana telinga mula mendengar benda-benda lain, anda pasti akan terlepas dengar butiran yang disyarah oleh guru.

Bermula dengan mendengar dan memastikan kekal terus memasang telinga, barulah anda akan memahami apa yang diajar. Subjek yang anda tidak minat atau sukar difahami akan lebih mudah di fahami dan akan mula meminatinya. Sekiranya subjek itu anda minat dan mudah difahami tetapi gegendang telinga tidak fokus, keluar dari bilik darjah atau bilik kuliah dalam keadaan terpinga-pinga.

Seperti yang anda tahu, ramai orang yang buta boleh menjadi pelajar cemerlang, sedangkan orang yang pekak sejak kecilnya akan jadi bisu walaupun dia boleh melihat. Kajian menunjukkan orang buta lebih ramai yang menjejaki menara gading berbanding orang bisu. Pernah seorang buta yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti berkata,"saya bersyukur kerana buta, jika saya pekak, tentu lebih sukar saya akan sampai ke tahap ini”.

Walaupun pelbagai teknik untuk memberi tumpuan ketika belajar seperti jangan duduk dibarisan belakang, duduk berdekatan dengan guru / pensyarah, tetapi jika tidak mendengar apa yang diajar, duduk sebelah guru pun, anda tetap tidak faham. Kerap disarankan supaya anda membaca dahulu pelajaran yang akan diajar nanti tetapi berapa ramai dari anda mampu melakukannya!! Sekiranya teknik pembelajaran begini sudah menjadi displin anda, tentunya anda lebih cepat faham dari rakan-rakan yang lain. Namun begitu jika anda sudah membaca dahulu sebelum kelas bermula, dan tidak menumpukan pendengaran, anda masih sukar memahami subjek itu. Maka yakinlah bahawa MENDENGAR itu faktor terpenting untuk memberi tumpuan. Anda tentu tahu, pendengaran ialah deria yang mula-mula sekali dirangsang semasa di dalam perut ibu lagi!

2. Faktor kedua ialah PERSEPSI anda terhadap subjek yang diajar. Persepsi yang positif terhadap subjek yang diajar, akan menimbulkan minat yang mendalam tetapi jika persepsi negatif maka yang senang akan menjadi susah. Anda jangan terpengaruh dengan persepsi secara umum, jika pelajar lain mengatakan subjek Matametik itu susah atau menjadi doktor itu susah, sepatutnya persepsi ini anda boleh di tukar dan di positifkan. Sama jugalah, jika persepsi umum mengatakan untuk khusyuk dalam solat itu susah, sedangkan ada kemahiran dan skil untuk menghadirkan hati ketika solat.

3. Teknik seterusnya untuk memberi tumpuan ialah tidak mudah terganggu oleh usikan rakan-rakan atau sesuatu yang berlaku di luar kelas atau bilik kuliah. Kemungkinan ketika anda mengalih perhatian tadi, guru sedang bercakap sesuatu perkara penting dan anda terlepas memahaminya! Jika anda khusyuk mendengar kata-kata guru / pensyarah adakah anda akan mudah diganggu?

4. Budaya bertanya terus kepada guru / pensyarah.

Mana-mana yang sukar difahami, anda berpeluang bertanya terus didalam kelas tetapi ramai dari anda malu bertanya, takut dikatakan bodoh atau mengada-mengada atau penyibuk! Inilah budaya yang biasa pada orang Melayu Malaysia berbanding Melayu Indonesia, pelajar-pelajar Cina, pelajar di negara maju seperti Jepun dan negara barat yang mana guru atau pensyarah tidak cukup masa untuk menjawab pelbagai soalan dari pelajarnya. Budaya ekspresif ini kurang dikalangan kita. Ini boleh dilihat berbezanya graduan luar negeri yang biasa dilatih lebih ekpresif berbanding graduan tempatan. Juga graduan yang lebih bergaul dengan graduan bukan Melayu. Saya akan bincangkan tajuk BUDAYA EKSPRESIF ini dibahagian lain dalam buku ini.

Penulis pernah diberitahu, oleh kerana budaya bertanya ini tidak diamalkan, ada guru segelintir guru / pensyarah yang kreatif akan menyuruh beberapa pelajar secara bergilir-gilir mesti menyediakan soalan setiap kali selepas dia mengajar, sehingga beberapa bulan kemudian tiada lagi giliran kerana para pelajar sudah biasa bertanya, bukan sahaja bertanya kepada guru /pensyarah tadi, juga kepada tenaga pengajar lain yang mengajar, agaknya berapa orang guru / pensyarah yang kreatif sebegini?

Siapa guru anda? Siapa pensyarah anda? Bagaimana dia mengajar? Menarik? Membosankan? Itu bukan soal utamanya, andalah sepatutnya yang pandai merubah minda supaya memahami apa yang diajar. Bukankah guru / pensyarah itu penyampai, anda penerimannya? Anda tiada kuasa untuk memilih tetapi anda pilihan untuk memberi tumpuan. Lainlah anda berani menegur guru / pensyarah yang membosankan itu!

Bukan sahaja budaya bertanya ini kurang di kalangan pelajar, malah semasa majlis pelajaran agama di surau dan masjid, orang-orang kita malu dan pasif untuk bertanya, berdiskusi dengan penceramah. Inilah juga pengalaman saya semasa berceramah. Beberapa kenalan saya dari Indonesia pernah memberitahu yang dia hairan kelas-kelas agama di tempat kita ini tidak ramai yang bertanya selepas habis ceramah, di mana menurutnya jika di Indonesia, ramai yang bertanya semasa dan selepas ceramah malah ada yang mampu berhujah dengan penceramah jika dia tidak bersetuju dengan syarahannya.

Sepatutnya budaya pelajar yang suka bertanya ini dicemburui oleh pelajar lain, bukan diperlekeh. Dizaman persekolahan dahulu, saya juga tergolong dari segelintir pelajar yang suka bertanya, mungkin otak lembab faham, tebalkan muka bertanya. BERTANYALAH WALAUPUN SOALAN ITU DIKATAKAN SOALAN BODOH BERBANDING ORANG YANG TIDAK FAHAM TETAPI BODOH SOMBONG BILA TIDAK MAHU BERTANYA, LAGAKNYA SUDAH FAHAM SEMUA.

5. Pemahaman ketika masih dalam kelas.

Jika 50 peratus atau kurang apa yang diajar tidak difahami, anda akan menghadapi masalah besar!. Apalagi anda akan belajar subjek lain pula pada hari itu. Sekiranya anda ingin menambahkan kefahaman itu apabila balik nanti, jawabnya anda sudah merancang kegagalan pada hari itu. Jika ditanggguh beberapa hari berikutnya untuk lebih memmahami subjek tadi, anda semakin gagal. Untuk memahami pelajaran dengan pembacaan sendiri dan anda perlu sedar bahawa sedang ’bertarung’ dengan masa, esok akan belajar pelajaran lain pula, agaknya jika pemahaman sekadar 50 peratus, berapa peratus pula akan diingati?

Sedangkan 70 peratus pelajaran yang difahami tadi anda akan terlupa dalam tempuh sehari, apalagi pelajaran yang hanya sebahagian anda fahami. Maka berikan telinga anda didalam kelas, berfikiran positif, berikan minat dan ringankan mulut bertanya serta pastikan 80-100 peratus anda faham sebelum keluar kelas.

Hebatnya Deria Pendengaran Dan Bagaimana Melatih Pendengaran

Sesungguhnya MENDENGAR bacaan sendiri dan bacaan imam ketika SOLAT boleh melatih telinga anda memberi tumpuan untuk mendengar. Semakin leka anda mendengar setiap sebutan bacaan, anda semakin fokus memberikan tumpuan. Bukankah anda berulang-ulang kali pada setiap hari bermula dengan solat subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak.

Walaupun pada setiap subuh hari persekolahan atau hari kuliah, anda pelajar lelaki terpaksa segera bersiap sehingga tidak sempat berjemaah dan tidak sempat mendengar bacaan imam, maka berusahalah membaca bacaan solat subuh anda dengan kua dan dengar bacaan anda itu walaupun anda solat sendirian. Dengarlah semua bacaan, bermula dari doa iftitah, al Fatihah, bacaan surah, bacaan rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan bacaan tahiyat.

Mendengar bacaan solat ialah kunci kedua penting selepas penetapan matlamat solat iaitu untuk Khusyuk di dalam kaedah BioMekanik Solat.

Begitu juga, anda berlatihlah mendengar zikir-zikir yang dibaca selepas solat, paksa minda supaya telinga fokus mendengar. Dan sepatutnya anda dengar apa yang imam doakan dan dengarlah doa yang anda baca sendiri. Doa itu senjata umat Islam tetapi senjata itu tumpul bila anda tidak dengar dan tidak faham apa yang didoakan.

Berlatih juga mendengar bacaan alQur'an yang anda baca atau bila membuka CD-kaset-dalam radio bacaan Al Qur'an.

Jika di dalam ilmu pertahanan diri, seorang yang ditutup matanya boleh melawan musuhnya yang celik, ini disebabkan latihan pendengaran yang berulang tubi, tanpa jemu, tanpa kenal erti penat selain latihan gerak hati. Mereka di latih untuk mendengar bunyi-bunyi halus dan rendah mangnitude seperti bunyi desiran pasir, bunyi orang bernafas dan sebagainya.

Sekiranya orang ini begitu berdisplin dan sukar untuk melatih meningkatkan kepekaan telinga, mengapa kita tidak berdisplin diri cuba mendengar ayat-ayat Allah SWT semasa mendirikan solat, semasa berdoa, semasa menbaca atau mendengar orang lain membaca Al Qur'an.

Bila telinga anda semakin dilatih fokus mendengar, maka lihatlah kesannya nanti anda akan mudah 'memberikan telinga' semasa guru-pensyarah mengajar. Inilah dinamakan reflek dan satu kebiasaan, ini juga ialah minda separa sedar.

Baiklah, anda berhenti seketika dari membaca buku ini, sila baca al Fatihah sekarang secara perlahan, jelas sebutan, baca ayat demi ayat dan dengar satu persatu bacaan anda itu. Mulakan sekarang, Al Fatihah.....

....Amin....Tentu anda dapat rasai perbezaannya bila anda mendengar bacaan Al Fatihah tadi, walaupun tidak sepenuhnya anda mendengarnya. Anda lebih tenang, lebih fokus dan lebih mendengar. Anda bukan mendengar perkataan manusia tetapi perkataan-perkataan Allah!

Seterusnya, sebut secara perlahan dan dengar bacaan rukuk dan sujud, mulakan sekarang...

Melatih mendengar ini boleh dibuat diluar solat, sebelum ulangkaji pelajaran, atau semasa duduk santai, bacalah Al Fatihah dan dengarlah satu persatu.

Maka benarlah dan yakinlah teknik-teknik khusyuk dalam beribadah khasnya solat, tilawah Al Qur'an, berdoa, berzikir akan mengaktifkan minda separa sedar anda, mengaktifkan otak kanan dan anda semakin cerdik!!